Khamis, 8 November 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pekerja Lynas sambut keputusan mahkamah dengan linangan air mata gembira

Posted: 08 Nov 2012 12:32 AM PST

KUANTAN, 8 Nov — Tiada ungkapan yang mampu dilafazkan sebilangan besar pekerja kilang Lynas Advance Material Plant (Lynas), Gebeng dekat sini selain mengalirkan air mata gembira tanda kesyukuran selepas Mahkamah Tinggi memutuskan kilang tersebut dibenarkan beroperasi hari ini.

Hakim Datuk Mariana Yahya dalam keputusannya hari ini menolak permohonan injunksi interim ke atas Lesen Operasi Sementara (TOL) yang diberikan kepada Lynas sebelum ini, oleh tiga penduduk Kuantan sekaligus membolehkan Lynas memulakan operasinya setelah digantung sementara waktu ekoran injunksi berkenaan.

Kumpulan yang terdiri daripada kira-kira 500 orang itu berkumpul di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuantan di sini sejak awal pagi dan laungan takbir bergema sejurus seorang wakil memberi perkhabaran gembira tersebut.

Suasana di kompleks tersebut menjadi sayu seketika apabila ada di kalangan mereka mula menangis dan manadah tangan berdoa tanda bersyukur di atas 'kemenangan' kecil tersebut.

Dengan memakai pakaian seragam berwarna kuning manakala penyokong pula memakai baju berwarna biru muda, mereka turut membawa kain rentang tertulis 'jangan kacau periuk nasi kami', 'siapa nak bagi anak kami makan', 'hentikan fitnah terhadap Lynas', 'saya memang sayang Lynas' dan 'Lynas Kuantan bakal Pusat Teknologi Hijau Negara'.

Keputusan itu bagaimana pun disambut dengan keadaan yang berbeza oleh pihak anti-Lynas yang hanya dianggarkan sekitar 200 orang sahaja hadir.

Kumpulan anti-Lynas seperti Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) yang sebelum ini begitu ghairah hadir ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan seperti tidak dapat menerima kenyataan apabila beredar meninggalkan mahkamah sebaik sahaja mengetahui permohonan mereka ditolak.

Dalam pada itu, Naib Presiden Lynas Corporation Datuk Marshal Ahmad berkata kepada pemberita, beliau bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini kerana kesusahan yang dialami oleh pihaknya sejak sekian lama berakhir.

"Kami sekarang akan menumpukan segala usaha untuk memulakan operasi kilang secepat mungkin kerana ia adalah pelaburan yang terbesar. Mudah-mudahan dengan keputusan ini pelabur-pelabur asing akan kembali yakin dan melabur di Malaysia yang kita kasihi," katanya.

Beliau juga berharap dengan keputusan itu segala tohmahan dan fitnah yang dilemparkan ke atas Lynas dapat dihentikan segera.

"Saya juga ingin menjemput semua pihak termasuk kumpulan anti-Lynas untuk datang sendiri ke kilang kami dan membawa pakar masing-masing supaya mendapat fakta yang betul," katanya.

Seorang pekerja, Muhammad Syafiq Sukri, 24, berkata kebenaran telah terbukti dengan keputusan mahkamah hari ini dan berharap yang menentang dapat berhenti daripada terus menabur fitnah ke atas 'periuk nasi' beliau dan rakan-rakan sekerja yang lain. — Bernama

Pas hanya retorik politik mengegakkan syiar islam

Posted: 08 Nov 2012 12:26 AM PST

PASIR MAS, 8 Nov — Kerajaan Kelantan pimpinan PAS yang dikatakan berteraskan kepada perjuangan Islam dilihat lebih kepada retorik politik dalam menegakkan syiar Islam dan membawa pembangunan kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun negeri ini dipanggil Serambi Mekah dan PAS sudah 22 tahun memerintah negeri ini, masih banyak yang boleh dilakukan bagi tujuan tersebut tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri.

"Orang Kelantan boleh saksikan sendiri ia dibuat atau tidak, telah terbukti masih banyak yang boleh dilakukan di Kelantan tetapi tidak dilakukan oleh kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara, Lubok Jong di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri  Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Husin dan Ketua Umno Bahagian Rantau Panjang Datuk Abdullah Md Zin.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno berkata tempoh 22 tahun  memerintah negeri ini bukan suatu tempoh yang singkat tetapi tempoh yang  panjang itu sepatutnya diisi dengan pelbagai perkara untuk meningkatkan syiar  Islam dan kemajuan rakyat.

Beliau berkata usaha meningkatkan syiar Islam ini bukan sekadar  lambang tetapi perlu diterjemahkan dengan pelaksanaan program dan inisiatif  tertentu yang menunjukkan hakikat sebenar perjuangan dan ia mampu dirasai oleh rakyat.

Katanya manifestasi kesungguhan kerajaan Barisan Nasional (BN) meningkatkan syiar Islam dan membela nasib rakyat, memberi perubahan besar terhadap perkembangan Islam di negara ini serta taraf hidup rakyat yang lebih baik.

Katanya di samping kemajuan dalam bidang infrasruktur untuk kemudahan rakyat, kerajaan BN berjaya mengurangkan jumlah rakyat miskin melalui pelbagai program yang dilaksanakan.

"Apabila kita membuat perbandingan bukan dari segi politik sahaja tetapi rakyat hari ini hendak menilai sesuatu itu betul-betul diterjemahkan secara konkrit, rakyat nak rasa sendiri perubahan hidup," katanya.

Beliau mengajak rakyat Kelantan membuat perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah negeri ini supaya apa yang tertinggal dalam tempoh 22 tahun itu dapat dilakukan oleh kerajaan BN yang berkeupayaan.

"Inilah (pilihan raya umum ke-13) peluang terbaik, 22 tahun bukan tempoh yang pendek. Saya di Johor menjadi Menteri Besar 9 tahun 6 bulan (13  Ogos 1986 hingga 6 Mei 1995), banyak benda boleh buat," katanya.     

Beliau berkata kerajaan BN serius untuk melakukan perubahan sebagaimana yang dikehendaki rakyat Kelantan termasuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih yang berlarutan sekian lama, dan semua perkara itu akan dimasukkan dalam manifesto BN dalam PRU Ke-13 bagi negeri ini.

Mengenai projek pembangunan yang melibatkan kerajaan Kelantan dengan syarikat swasta yang mendapat teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011, Muhyiddin berkata kerajaan negeri perlu memastikan perjanjian yang dimeterai dipatuhi supaya kepentingan rakyat tidak terjejas.

Terdahulu semasa berucap, Muhyiddin mengingatkan Umno Kelantan supaya  sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi PRU Ke-13, memperkukuhkan perpaduan, mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved