Ahad, 4 November 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Hudud dan masyarakat Cina

Posted: 03 Nov 2012 06:23 PM PDT

4 NOV — Pendedahan tinjauan pendapat yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, UMCEDEL mengenai pemahaman masyarakat Cina terhadap hudud baru-baru ini, nyata membuka mata ramai pihak. 

Tinjauan tersebut mendapati, terdapat peningkatan sokongan masyarakat Cina terhadap pelaksanaan hukum hudud di Malaysia. 

Lebih signifikan, bilangan peratusan mereka yang menerima pelaksanaan hukum hudud di negara ini meningkat dari 12 peratus dalam tinjauan terdahulu kepada 24 peratus dalam tinjauan terbaru. 

Ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus. Manakala peratusan masyarakat Cina yang tidak pasti dengan hudud telah menurun daripada 38 peratus sebelum ini kepada hanya 25 peratus. 

Apa yang menarik mengenai tinjauan pendapat tersebut ialah generasi muda Cina telah mempamerkan kecenderungan untuk memahami pelaksanaan hudud berbanding golongan yang lanjut usia. 

Kesemua hasil tinjauan pendapat UMCEDEL itu jelas menidakkan tanggapan selama ini bahawa masyarakat Cina mempunyai persepsi serong terhadap hudud. 

Pastinya, pendedahan oleh UMCEDEL ini bakal mengundang perasaan gundah-gulana kepada parti MCA yang begitu lantang membantah pelaksanaan hudud. Persoalannya, apakah pucuk pimpinan MCA di bawah kendalian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek akan memberi perhatian kepada kajian ini atau meneruskan agenda untuk menentang hudud dan menolak bulat-bulat kajian itu? 

Sekalipun bilangan responden Cina yang ditemuramah oleh UMCEDEL  tidak sebanyak mana, namun bilangan kecil responden juga mewakili suara hati akar umbi. 

Nyata, beberapa mesej tersirat dapat disimpulkan menerusi tinjauan pendapat itu. Antaranya, masyarakat Cina kini sudah makin celik dan berpengetahuan. Berbekalkan pengetahuan yang dimiliki dan ditambah pula dengan pendedahan terhadap ICT, maka tidak mustahil orang Cina tidak akan menerima sebarang propaganda secara membuta-tuli. 

Orang Cina juga menghantar mesej kepada MCA bahawa hudud bukanlah isu utama yang dibimbangi mereka. Sebaliknya, isu-isu yang bersifat seharian seperti jenayah, rasuah, kos sara hidup dan keselamatan yang mendominasi pemikiran mereka. 

Dalam keadaan ekonomi global yang masih terumbang-ambing, soal kelangsungan hidup makin kuat kedengaran.  Jika kita meneliti kembali isu-isu yang mendominasi pada PRU ke-12 lalu, kebanyakan isu yang menjadi tumpuan masyarakat Cina bukannya hudud. 

Malah sebagai seorang pengundi, isu-isu yang bersifat seharian inilah yang  akan mempengaruhi pertimbangan parti politik yang akan disokong penulis kelak. 

Apabila MCA baru-baru ini beria-ia menghentam pelaksanaan hukum hudud atas dasar ia akan mengheret negara ke kancah kemunduran, ada baiknya isu berkenaan tidak dipanaskan sebegitu rupa. 

Walaupun bukan beragama Islam, penulis yakin dan percaya ada manfaatnya jika segala kekeliruan dan kecelaruan pihak berkaitan terhadap hudud diperjelaskan dengan sebaik-baiknya. 

Oleh itu, penjelasan yang diberikan oleh tokoh-tokoh agama sedikit sebanyak dapat membantu meleraikan kekeliruan yang berbangkit. Walaupun secara prinsipnya MCA tidak akan berkompromi dalam isu hudud, tetapi sekurang-kurangnya dengarlah penjelasan oleh tokoh-tokoh agama terlebih dahulu. 

Usahlah membuat tanggapan atau persepsi melulu bahawa hudud adalah negatif dan memudaratkan.  Isu agama bukanlah sesuatu yang boleh dibangkitkan secara sewenang-wenangnya. 

Apa faedahnya isu ini terus digembar-gemburkan hingga kecoh jadinya di seluruh negara? Mengapa tidak MCA mengambil pendirian yang lebih pragmatik dalam mendidik masyarakat Cina dalam isu hudud? 

Dimanakah kewajaran untuk terus bertegas tetapi pada masa yang sama, kefahaman masyarakat Cina terhadap isu itu semakin meningkat? Tidakkah strategi sedemikian hanya memakan diri? Bukankah ini juga bercanggah dengan realiti semasa? 

Hidup dalam sebuah masyarakat berbilang kaum dan agama seperti di Malaysia, menuntut kita semua untuk bertoleransi antara satu sama lain. Apa yang tidak difahami dan tidak jelas, maka diperjelaskan kepada golongan yang terbabit. 

Tidak rugi untuk MCA mendengar penjelasan tokoh-tokoh agama mengenai hudud. Tidak rugi juga untuk masyarakat Cina mendengar perkara yang sebenarnya. Soal untuk menerima atau membantah hukum hudud, itu soal kedua tetapi kesediaan mendengar itu adalah langkah permulaan yang baik. 

Sama ada masyarakat Cina menerima pelaksanaan hudud atau tidak, masih terlalu awal untuk menentukannya. Tetapi apa yang pasti, masyarakat Cina perlu diberi kebebasan untuk menilai apa yang baik dan apa yang tidak baik. 

Sebarang bentuk paksaan atau amaran yang dilakukan parti tertentu mungkin memberi kesan yang sebaliknya. Tidak semestinya semua strategi yang digunapakai akan memberi kesan yang dimahukan. 

* Pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.

Pasar Seni — dulu dan sekarang

Posted: 03 Nov 2012 05:15 PM PDT

4 NOV — Antara musim yang terbaik bagi saya sebagai seorang anak muda sedang mencari arah hidup adalah sewaktu melepak saban hari di Pasar Seni (Pasar Budaya) pada pertengahan tahun 80an dahulu sehinggalah ke tahun 2005. 

Pasar Seni yang yang dinaiktaraf secara rasminya sebagai pusat yang membudayakan kesenian pada pertengahan tahun 80an dahulunya adalah Pasar Basah yang menjual ikan, daging, sayur-sayuran, barangan runcit dan keperluan harian. 

Bangunan tersebut mula dibina pada tahun 1888 oleh pihak British dan disiapkan sepenuhnya pada tahun 1937. 

Kedudukannya yang terletak di tengah bandar Kuala Lumpur membuatkan ianya unik kerana Pasar Seni tidaklah sama dengan mana-mana kompleks beli belah komersial popular yang terdapat di Kuala Lumpur waktu itu seperti Petaling Street, Kompleks Campbell, Pertama Kompleks, Sungai Wang Plaza mahupun Sogo. 

Unik kerana di dalamnya terkandung segala macam bentuk nilai kesenian yang berteraskan kejiwaan tanpa melibatkan banyak kepentingan dan elemen kebendaan. Kemudahan pengangkutan bas dan teksi juga mudah didapati. 

Pertama kali ke sana sewaktu ianya dibuka pada 15h April 1986 jiwa saya terus melekat sehingga Pasar Seni itu sudah saya anggap seperti rumah ke dua saya. 

Bagi saya dan rakan-rakan yang sama-sama menghabiskan masa di sana, kami anggap Pasar Seni itu adalah sebuah'Universiti Kehidupan'. 

Apa istimewanya sangat Pasar Seni pada waktu itu ? Banyak sebab — antaranya di situlah tempat saya dicekup sewaktu sedang busking dengan dengan rakan seperjuangan di ruang pejalan kaki Hang Kasturi oleh para pegawai polis cawangan IPK, lantas digari, diangkut ke dalam van untuk ujian air kencing di lokap pudu pada tahun 2005. 

Sempatlah saya bermalam di lokap tersebut selama empat malam sebelum menunggu hasil keputusan ujian dari hospital. 

Saya juga memulakan karier busking saya di situ pada tahun 2000 dahulu. Jadi ianya memang tempat yang menemukan saya dengan segala macam rasa suka duka peristiwa dan pengalaman hidup sepanjang bergelar manusia di muka bumi Tuhan ini. 

Di dalamnya juga terkandung segala macam perangai dan sikap manusia yang boleh kita tonton. 

Ada orang gila, ada orang sihat, ada 1001 macam sikap dan ragam manusia dan yang paling penting terdapat pula sebuah restoran mamak untuk kita melepak minum teh tarik dari siang sampai ke malam bersembang tentang hal-hal dunia dan falsafah semaksimumnya. 

Ada aktiviti busking, juga ada geng-geng tiang lampu yang diketuai oleh seniman Sani Sudin, Nasir Jani, Pyanhabib dan geng-geng seniman rabak melalak bersajak menggamit anak-anak muda untuk enjoy dengan persembahan mereka. 

Sepanjang saya melepak di sana, memang ramai orang gila mencari jiwa atau jiwa yang tersangkut yang datang. Saya tidak tahu apa yang mereka cari tapi seakan ada sentuhan magnet yang menarik jiwa mereka untuk ke situ. 

Mungkin juga saya tergolong di kalangan mereka yang gila itu, saya pun tidak pasti tapi jika sehari saya tidak ke situ terasa macam tak sempurna hidup saya untuk hari itu. 

Seperkara yang pasti di situ juga ramai kawan yang sealiran dan itu yang membuatkan Pasar Seni itu tempat perjumpaan yang membahagiakan jiwa. 

Teringat saya dalam satu babak dalam filem Little Buddha (1993) arahan Bernardo Bertolucci lakonan Keanu Reeves, yang mana dalam satu babak seorang guru telah membisikkan sesuatu ke telinga anak muridnya yang katanya 'tali itu jika terlalu tegang akan putus, jika terlalu kendur tidak berfungsi pula. Kita perlukan keseimbangan'. 

Apabila kita tidak berkepentingan sangat dalam banyak hal-hal dunia saya percaya kita lebih ikhlas dan lebih jujur terhadap diri kita sendiri, mungkin terlalu telus memungkinkah kita tersalah memilih arah samada terang mahu pun gelap. Pun ianya hanyalah sekadar proses semata. 

Setiap detik adalah pelajaran dan Pasar Seni secara tidak langsungnya telah membukakan mata dan pengalaman saya dalam mengenal makna hidup dengan lebih jelas dan nyata. Banyak yang saya pelajari sewaktu di situ. 

Pasar Seni telah dinaiktaraf sebanyak dua kali iaitu sewaktu pelancarannya pada 15hb April 1986 oleh Menteri di waktu itu Datin Paduka Rafidah Aziz. 

Ianya juga telah dinaiktaraf untuk kali ke dua pada 15hb April 2004 dan untuk kali ini saya boleh katakan Pasar seni sudah kurang nilai seninya lagi melainkan penuh dengan elemen materialistik. 

Segala ruang di niaga dan dinaikkan kadar sewa sehingga berkali ganda demi untuk memenuhkan kantung para pemodal yang rakus. 

Yang menjadi mangsanya adalah para peniaga terutamanya golongan seniman yang melukis sepenuh masa di situ. Kerjaya seni kreatif dari segi untungnya sangat subjektif dan agak bergantung kepada nasib juga. 

Ruang lepak di jalan Kasturi yang sebelumnya milik DBKL sudah menjadi sebahagian nadi Pasar Seni. Saban hari tempat itu penuh dengan pihak penguasa dari RELA mahupun Special Branch (SB) yang mengawasi setiap waktu. 

Salah satu sebabnya kerana kehadiran para warga asing dari Indonesia, Myanmar, Nepal mahupun Bangladesh yang memenuhi kawasan tersebut, maka apabila itu berlaku timbullah segala macam masalah sosial yang berlaku seperti pergaduhan dan kejadian jenayah. 

Maka dari sehari ke sehari semakin hilanglah seri Pasar Seni yang sudah ditukar nama Pasar Budaya. Ruang busking untuk anak-anak muda di jalan Kasturi sudah di ubah suai menjadi ruang dereten Kiosk untuk disewakan kepada para peniaga. 

Apabila setiap ruang itu adalah ringgit semata maka dari segi nilai artistiknya bagi saya semakin kuranglah melainkan nilai seni yang plastik. Maka itu bagi saya tidak ada bezanya Pasar Seni hari ini dengan Petaling Street mahupun Sungai Wang Plaza yang terletak di Bukit Bintang sana.

* The views expressed here are the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved