Rabu, 19 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Aktivis dedah nama peguam terlibat dalam akuan bersumpah Bala kepada Majlis Peguam

Posted: 19 Dec 2012 01:43 AM PST

Aktivis dedah nama peguam terlibat dalam akuan bersumpah Bala kepada Majlis Peguam

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Aktivis, Haris Ibrahim menulis kepada Majlis Peguam sekali lagi hari ini, kali ini mendedahkan nama peguam yang terlibat dalam menulis akuan bersumpah kedua P Balasubramaniam berkenaan dengan pembunuhan Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006.

Dalam suratnya, Haris mengekalkan pendiriannya bahawa peguam yang bergelar "Tan Sri" itu tidak sepatutnya menulis akuan bersumpah kedua Balasubramaniam tanpa merujuk kepada penyiasat persendirian itu, dengan mengatakan Balasubramaniam sudah mengaku membuat pembohongan dalam akuan bersumpah tersebut semasa beliau menandatangani dokumen itu.

Surat tersebut, yang diterima oleh sekretariat Majlis Peguam pada 1.45 tengah hari, turut mencadangkan untuk kali kedua bahawa ini adalah salahlaku professional yang dilakukan oleh peguam bergelar "Tan Sri" itu.

Menulis diblognya, Haris mendedahkan bahawa beliau menegur presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee dalam suratnya, mendakwa peguam tersebut menyalah anggap karekter Deepak Jaikishan dan tidak menyiasat dakwaan ahli perniagaan itu.

Deepak, yang juga menjadi punca kepada kontroversi dalam kes akuan bersumpah Balasubramaniam,  menyebut nama peguam dibelakang akuan bersumpah kedua ketika temuramah beliau bersama lidah rasmi PAS, Harakah.

Tetapi apabila temuramah itu disiarkan oleh "TVPAS" di Youtube, nama peguam tersebut dipadamkan.

MENYUSUL LAGI

Presiden Susilo dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan dan Keamanan UUM

Posted: 19 Dec 2012 01:41 AM PST

Presiden Susilo dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan dan Keamanan UUM

KUALA LUMPUR, 19 Dis— Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono hari ini dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Kepemimpinan dan Keamanan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang juga Canselor UUM berkenan menyampaikan anugerah itu kepada Susilo pada konvokesyen khas di Istana Negara, di sini.

Tuanku Abdul Halim pada majlis itu bertitah anugerah yang julung kali diberikan itu adalah bagi mengiktiraf sumbangan besar Susilo kepada kepada keamanan sejagat.

Seri Paduka berharap penganugerahan itu dapat menjadi sumber inspirasi kepada pemimpin hari ini dan akan datang untuk terus mempergiat usaha ke arah keamanan dunia terutama bagi rantau Asia.

Baginda juga bertitah tautan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia-Indonesia beserta negara serantau dapat disemarakkan lagi dengan adanya sifat kepimpinan keamanan dalam kalangan pemimpin negara Asia Tenggara serta kemuafakatan penduduk.

 "Keakraban Malaysia-Indonesia yang terjalin selama ini baik di peringkat kepimpinan dan juga di peringkat rakyat jelata telah menjamin keamanan rantau ini.

Walaupun terdapat beberapa usaha untuk melemahkannya namun keakraban dan kesefahaman antara Malaysia-Indonesia terus kukuh seterusnya menjamin keamanan dan kemakmuran rantau ini," titah Seri Paduka.

Turut berangkat Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Tuanku Abdul Halim, yang juga Pro Canselor UUM

Susilo tiba di sini semalam bagi menghadiri Rundingan Tahunan Kesembilan Malaysia-Indonesia di Putrajaya, dan berlepas pulang tengah hari ini.

Naib Canselor UUM Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak pada majlis itu turut berkata kesungguhan serta usaha Susilo untuk mewujudkan keamanan sejagat tidak dapat diragukan dengan kejayaannya menyelesaikan konflik Acheh yang selama 30 tahun menggugat kestabilan Indonesia serta menggunakan pendekatan insaniah atau 'soft power' dalam membina hubungan dengan Timor Leste.

"Presiden Susilo juga memulakan inisiatif untuk merumuskan suatu consensus Asia Tenggara mengenai Laut Cina Selatan yang  kemudian dikenali sebagai 'six-point principles' selain mementingkan gerak kerja keamanan dunia dengan mengirimkan pasukan keamanan  ke kawasan konflik seperti di Congo dan Lubnan," tambahnya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved