Ahad, 2 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Najib: Dr M masih memantau saya

Posted: 02 Dec 2012 01:57 AM PST

Dr Mahathir diatas pentas dengan Najib dan Kayveas. — Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Datuk Seri Najib Razak mengakui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad masih mempunyai pengaruh yang kuat dalam pentadbiran Barisan Nasional (BN), mengatakan bahawa perdana menteri keempat itu masih "memantaunya".

Sementara melancarkan perhimpunan agung tahunan (AGM) Parti Progresif Rakyat (PPP) hari ini, Najib mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir kerana wawasannya menuju Wawasan 2020, pelan untuk Malaysia mencapai negara maju yang dilancarkan pada tahun 1991.

"Dia ada tugas yang mudah, tapi tugas saya susah," kata Najib dalam nada bergurau.

"Dia umumkan wawasan tersebut, tetapi saya perlu mengisi wawasannya. Sebab dia masih memantau saya."

Dr Mahathir juga disebut oleh presiden PPP Datuk Seri M Kayveas dalam ucapannya, dengan berterima kasih kepada bekas perdana menteri tersebut kerana sumbangannya kepada negara.

Kayveas menggambarkan Dr Mahathir sebagai "mutiara yang tidak ternilai harganya" dan arkitek moden Malaysia, yang beliau katakan punca pengaruh PPP untuk terus relevan.

"Tidak salah untuk saya katakan, PPP telah diberi sokongan penuh ketika zaman Tun sehingga menjadi parti yang stabil selepas sekian lama di zaman gelap," kata Kayveas dalam ucapannya di hadapan 4,000 ahli PPP hari ini.

Dr Mahathir hadir dalam acara hari ini dan berkata BN boleh mendapat majoriti dua pertiga majoriti parlimen dalam pilihan raya nanti.

"Saya rasa hari ini kita boleh nampak, PPP contohnya, mempunyai semangat yang cukup baik," kata Dr Mahathir selepas perhimpunan PPP hari ini.

"Anda boleh lihat, anda boleh merasainya. Saya percaya kita boleh lakukan dengan lebih baik dari pilihan raya yang lalu, dan mungkin boleh mendapat dua pertiga majoriti."

Bekas perdana menteri itu masih aktif sejak meletak jawatan dari pemimpin tertinggi Umno pada Oktober 2003, tetapi menjadi semakin penting setiap kali BN menghadapi pilihan raya.

Pemimpin pembangkang sering mengkritik Umno dan Najib kerana takut dengan pengaruh Dr Mahathir dan enggan untuk mendiamkan beliau, dan memberi amaran bahawa kenyataan radikal bekas perdana menteri itu mungkin menggoyangkan sokongan golongan pertengahan Najib.

Najib, tidak mengkritik Dr Mahathir, seperti presiden sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah, yang dipilih oleh Dr Mahathir sebagai perdana menteri selepas meletak jawatan, telah menjadi ahli politik yang sangat berkuasa dengan menggunakan polisinya sendiri dan enggan merujuk nasihat Dr Mahathir dalam pentadbiran.

Dalam pilihan raya 2008, BN mengalami kekalahan paling teruk menyaksikan Umno dalam keadaan paling lemah apabila tidak berjaya mendapatkan dua pertiga majoriti dan tewas empat negeri kepada pembangkang.

Najib semalam memuji bekas perdana menteri itu kerana secara "sukarela" berkempen untuk Umno.

Dr Mahathir, yang duduk di kerusinya di Dewan Merdeka, kelihatan terkejut apabila menyebut namanya.

Apabila orang ramai di dewan memberi tepukan gemuruh kepada bekas perdana menteri itu, Dr Mahathir tersenyum dan melambai tangan tanda menerima penghargaan kepada beliau.

Kayveas: Bimbang dengan diskrimikasi, prejudis punca rakyat mengundi Pakatan

Posted: 02 Dec 2012 01:22 AM PST

Dewan dipenuhi dengan penyokong PPP. — Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Ramai pengundi mengundi Pakatan Rakyat (PR) kerana mereka bimbang dengan dakwaan diskrimikasi dan prejudis di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri M Kayveas hari ini.

Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) berkata, kebimbangan mengenai sesetengah isu menyebabkan sokongan terhadap BN goyang.

"Terdapat kerisauan dan kebimbangan, yang menyebabkan keyakinan mereka terhadap Barisan Nasional hilang," kata Kayveas ketika memberi ucapan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) parti hari ini.

"Orang Melayu  risau undi Umno tidak akan adil dalam pembahagian kekayaan.

"Pengundi Cina merasakan mereka disisihkan dari peluang perniagaan dan pendidikan.

"Pengundi India merasakan mereka disisihkan dalam semua aspek, mereka merasakan mereka sendiri miskin walaupun di dalam negara sendiri," katanya lagi.

Kayveas berucap dengan penuh bersemangat.

Kayveas berkata status bumiputera, agama dan tanah rizab Melayu adalah isu yang menyebabkan kemarahan pengundi kerana merasakan diskrimikasi dan prajudis di kalangan rakyat Malaysia.

"Dalam perhimpunan kita akan ada doa, ini untuk orang Islam, bagaimana pula dengan bukan Islam, bagi mereka untuk duduk dan dengar kepada bacaan doa, mereka mungkin merasakan ini satu prejudis," kata Kayveas kepada pemberita.

Tetapi Kayveas juga menyerang pakatan pembangkang dalam ucapannya, dengan berkata "bagai berjalan di atas jambatan yang rapuh".

"DAP dahulu adalah musuh PAS satu ketika dulu, kini mereka teman sebantal.

"PKR pula orang tengah, yang memastikan mereka tidak bercerai talak tiga," kata bekas ahli parlimen Taiping itu.

Menurut Kayveas, parti PR tidak mampu memahami isu diskrimikasi dan prejudis apabila mereka prejudis sesama sendiri.

"Pakatan tidak faham dengan isu sebenar negara ini, mereka cuma mahu kuasa.

"Pakatan Rakyat semuanya parti ahli keluarga, tidak ada siapa yang dapat mempunyai peluang untuk menyertainya," kata Kayveas kepada wartawan.

"DAP adalah parti perkauman, anda boleh nampak itu. Sementara PAS lebih teruk, diskrimikasi di kalangan gender," katanya merujuk kepada kontroversi salon gunting rambut di negeri yang diperintah PAS.

"Jika BN boleh menangani isu diskrimikasi dan prejudis ini, semua orang akan kembali menyokong BN."

Dalam respon kepada ucapan Kayveas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mahu BN berubah dalam ucapan pelancarannya, dengan berkata pengundi mengundi PR kerana mereka mahu parti pemerintah itu berubah.

"Ini adalah mesej untuk kita untuk berubah sebagai parti," kata pengerusi BN itu.

"Mereka mahu BN menjadi parti yang lebih adil secara menyeluruh, agar rakyat Malaysia merasakan dapat layanan yang sama dari BN."

Lebih 4,000 ahli PPP menghadiri AGM yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sehari selepas Umno, parti komponen utama BN, mengadakan perhimpunan agungnya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved