Khamis, 20 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Sabah minta Kementerian Pengangkutan selesaikan masalah membabitkan landasan KKIA

Posted: 20 Dec 2012 01:52 AM PST

Sabah minta Kementerian Pengangkutan selesaikan masalah membabitkan landasan KKIA

KOTA KINABALU, 20 Dis — Kerajaan Sabah meminta Kementerian Pengangkutan untuk menyelesaikan masalah membabitkan landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang didakwa kontraktor tidak selamat.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri, berkata ini adalah satu perkara yang agak serius kerana membabitkan perkhidmatan penerbangan di negeri ini.

"Masalah ini memerlukan satu pendekatan dan penyelesaian yang mesti berpaksi kepada keselamatan dan Kementerian Pengangkutan telah pun memberi penjelasan landasan di lapangan terbang ini selamat digunakan.

"Adalah diharapkan Kementerian Pengangkutan akan turut menyelesaikan masalah dan isu yang ditimbulkan oleh kontraktor (Global Upline Sdn Bhd - GUSB), yang melakukan kerja-kerja menaik taraf lapangan terbang itu, katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Pegawai-Pegawai Daerah Peringkat Negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, Pairin berharap Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha dapat datang untuk melihat sendiri landasan KKIA secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Pada 18 Dis lepas, Ketua Penasihat GUSB Tan Sri Ting Pek Khiing berkata syarikat itu telah menghentikan semua kerja pembinaan di KKIA berkuat kuasa 17 Dis lepas dan menyalahkan Kementerian Pengangkutan kerana gagal memberikan Sijil Siap Praktikal (CPC) kepada syarikat itu selepas kerja-kerja disiapkan mengikut jadual pada seksyen satu dalam Pakej 2 projek di lapangan terbang tersebut.

Sebaliknya, katanya Kementerian Pengangkutan mengeluarkan Sijil Perakuan Tidak Siap Kerja (CNC) dan mendakwa landasan KKIA tidak selamat untuk sebarang aktiviti kerana ia tidak diiktiraf sebagai sudah siap.

Beliau juga mendakwa kementerian itu enggan memulangkan 50 peratus Jaminan Bank (BG) serta gagal membayar tuntutan kontrak RM113 juta untuk kerja menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan RM21 juta untuk Lapangan Terbang Labuan sehingga GUSB mengambil tindakan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan semula pembayaran yang dijanjikan.

Semalam, Kementerian Pengangkutan mengeluarkan kenyataan menolak dakwaan GUSB bahawa landasan itu tidak selamat dan menjelaskan Jabatan Penerbangan Awam (DCA), yang bertanggung jawab menetapkan piawaian lapangan terbang, dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang mengendali lapangan terbang berkenaan, telah mengesahkan KKIA mematuhi piawaian Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).— Bernama

Semua parti dicadang hantar nama calon PRU-13 untuk ditapis oleh SPRM

Posted: 20 Dec 2012 01:49 AM PST

KUALA LUMPUR, 20 Dis — Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) mencadangkan supaya semua parti menghantar nama-nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) untuk ditapis atau melalui proses pemeriksaan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengerusi PPPR Datuk Johan Jaafar berkata cadangan itu bagi memastikan calon-calon yang bakal bertanding 'bersih' daripada rasuah selain mengelak sebarang tohmahan tidak berasas ke atas mana-mana individu atau parti di belakang calon itu.

"Kita mengambil semangat bahawa semua parti telah menyatakan sokongan untuk memerangi gejala rasuah. Maka itu, kami mengharapkan sokongan semua pihak dalam soal ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat panel itu di sini, hari ini.

Beliau berkata tapisan itu membabitkan semua calon dari semua parti sama ada mereka yang sudah menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) yang bakal dicalonkan semula atau pertama kali bertanding. Menurutnya mekanisme tapisan atau pemeriksaan itu akan ditentukan oleh pihak SPRM.

Dalam pada itu, Johan berkata PPPR turut mencadangkan supaya semua anggota pentadbiran kerajaan di peringkat pusat dan negeri serta anggota keluarga terdekat tidak melibatkan diri dalam permohonan untuk kontrak kerajaan.

Beliau berkata cadangan itu untuk mengelakkan berlakunya konflik kepentingan dan juga menutup ruang dan peluang bagi perlakuan rasuah.

PPPR turut mengesyorkan agar semua Anggota Parlimen dan Adun mengisytiharkan harta setiap tahun kepada SPRM bagi membuktikan komitmen mereka terhadap perang melawan rasuah.

"Mereka bukan sahaja harus berbuat demikian sebelum menjawat jawatan tetapi juga setelah setiap tahun semasa menjawat jawatan. Tidak ada pengecualian dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Johan berkata program jabatan angkat akan diperluaskan ke jabatan dan agensi lain dalam usaha menutup ruang dan peluang rasuah. 

Buat masa ini, katanya PPPR telah mengadakan siri perbincangan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Ia diharapkan dapat membaiki nama baik jabatan dan agensi berkenaan di mata rakyat termasuk soal persepsi," katanya.

Selain itu, PPPR yang bermesyuarat hari ini turut berpendapat bahawa pemberian dalam bentuk apa sekalipun termasuk hamper pada hari-hari perayaan, patut dihentikan walau apa pun niat dan motifnya.

"Kami menyedari pemberian cara ini adalah sebahagian daripada budaya rakyat negara ini. Bagaimanapun, kami berpendapat ada kemungkinan bahawa pemberian ini digunakan bagi tujuan tertentu sebagai 'mengambil hati' atau pujukan," katanya.

Memandangkan penjawat awam mempunyai pekeliling khusus kerajaan berkaitan hal itu, Johan berkata PPPR menyeru agar pihak swasta merangka tatacara khusus mengenai hal itu sesuai dengan konsep tadbir urus dan amalan baik bagi meningkatkan integriti pegawai.

PPPR turut mengesyorkan dewan bandaraya, majlis perbandaran dan kerajaan tempatan menggunakan model DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) atau mana-mana model yang telus dan baik bagi mengelakkan rasuah dalam urusan pemberian lesen Bazar Ramadan serta bazar lain sewaktu musim perayaan. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved