Sabtu, 29 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Polis Kelantan rampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM125,000

Posted: 29 Dec 2012 02:37 AM PST

KOTA BAHARU, 29 Dis — Polis Kelantan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM125,000 dan menahan tiga suspek termasuk seorang wanita dalam satu sekatan jalan raya di sini kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Supt Amran Ramli berkata kejayaan itu susulan penangkapan ketiga-tiga suspek yang berumur dalam lingkungan 20-an itu dalam satu sekatan jalan raya di Lemal, Pasir Mas, pada 10 malam, Khamis lepas. 

"Ketika pemeriksaan ke atas kereta pertama yang dinaiki suspek lelaki dan perempuan itu, 200 pil kuda  disorokkan di dalam 'dashboard' hadapan kereta manakala1,000 pil kuda lagi dijumpai di dalam poket seluar lelaki tersebut. 

"Rakan suspek yang memandu kereta berasingan turut ditahan dalam sekatan jalan raya itu di mana 193 biji pil kuda dijumpai di atas lantai bahagian pemandu," katanya kepada pemberita di IPK Kelantan di sini, hari ini. 

Amran berkata ketiga-tiga suspek kemudian membawa polis ke sebuah hotel murah di sini pada 2 pagi Jumaat di mana 60 biji pil Eramin 5 dan 4,000 biji pil kuda di jumpai di beberapa bilik erasingan, disamping wang tunai RM22,050. 

"Kami percaya dapat melumpuhkan satu sindiket dadah yang aktif mengedarkan barangan larangan tersebut di negeri ini dengan menjadikan hotel murah sebagai stor tempat menyimpan dadah tersebut," katanya. 

Katanya ketiga-tiga suspek ditahan reman sejak semalam hingga 3 Januari depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  Bernama

Hampir 14,000 peminjam PTPTN nikmati tawaran diskaun 20 peratus

Posted: 29 Dec 2012 02:31 AM PST

KUALA LUMPUR, 29 Dis  Seramai 13,900 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tampil menyelesaikan pinjaman pembiayaan pendidikan PTPTN bagi menikmati tawaran diskaun sebanyak 20 peratus seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. 

Pengerusi PTPTN Datuk Ismail Mohamed Said berkata jumlah tersebut direkodkan bagi tempoh 1 Okt sehingga 15 Dis lepas melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM47.94 juta manakala jumlah bayaran balik yang diterima adalah RM38.36 juta. 

Katanya, jumlah diskaun pengurangan bayaran balik adalah sebanyak RM9.59 juta itu dianggap sebagai hadiah kepada peminjam PTPTN serta galakan supaya peminjam tampil membuat pembayaran. 

"Diskaun 20 peratus itu diberikan kepada peminjam yang menyelesaikan hutang secara sekali gus dalam tempoh 1 Oktober 2012 hingga 30 September 2013," katanya kepada Bernama di sini, hari ini. Ismail berkata daripada 13,900 peminjam yang membuat bayaran balik secara sekali gus itu, seramai 629 merupakan peminjam yang telah disenarai hitam dengan jumlah pembiayaan pendidikan sebanyak RM4.07 juta. 

"PTPTN sebelum ini telah mengumumkan bahawa golongan ini layak menikmati diskaun 20 peratus sebagai satu langkah realistik yang membuka ruang kepada mereka untuk melunaskan pinjaman," katanya. 

Beliau berkata PTPTN turut memberikan diskaun sebanyak 10 peratus kepada peminjam yang membuat ansuran bayaran balik mengikut jadual bayaran balik yang ditetapkan PTPTN iaitu selama 12 bulan berturut-turut atau 12 bulan ke hadapan bermula 1 Oktober lepas. 

Dalam Belanjawan 2013 yang dibentangkan September lepas, Perdana Menteri mengumumkan diskaun 20 peratus bagi mereka yang membayar jumlah pinjaman tertunggak sepenuhnya sebelum 30 Sept tahun depan. 

Mereka yang gagal membayar selepas tarikh akhir tetapi telah berusaha membayar pinjaman mereka pada masanya untuk tempoh 12 bulan juga layak mendapat diskaun 10 peratus. Tambah beliau, selaras dengan pengumuman Belanjawan 2013 juga, PTPTN memberi kelonggaran pertukaran ujrah sehingga hujung bulan ini kepada semua peminjam termasuk peminjam yang telah disenarai hitam. 

"PTPTN menyeru agar peminjam PTPTN yang telah disenarai hitam tampil berunding dengan PTPTN dan tidak melepaskan peluang untuk menikmati insentif yang telah disediakan itu," katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Ketua Eksekutif PTPTN, Agos Cholan mengumumkan bahawa PTPTN menawarkan kepada peminjam yang disenarai hitam atau disaman membuat pertukaran ujrah bermula 17 Oktober lepas. 

Sistem ujrah yang menawarkan upah satu peratus setahun atas kadar rata adalah kaedah pembiayaan berlandaskan prinsip syariah bertujuan mengurangkan beban peminjam yang selama ini gagal menyelesaikan pinjaman pembiayaan pendidikan. 

Katanya, setiap peminjam yang tampil ke PTPTN akan diberikan surat tawaran yang perlu diisi dengan maklumat terkini dan diserahkan semula ke PTPTN dalam masa 90 hari dari tarikh surat tawaran diperoleh. 

"Kaedah ini memberi peluang kepada golongan berkenaan menstruktur semula pembayaran balik pinjaman melalui kaedah ujrah atau mengikut kadar yang mereka mampu," kata Ismail. Dalam pada itu, beliau berkata sehingga 30 November lepas, seramai 18,098 peminjam telah mendapat Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian Kelas Pertama atau setaraf dengannya yang melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM503.34 juta.  Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved