Khamis, 6 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Selangor belum putuskan pengerusi JK Khas isu Batu Caves, kata exco

Posted: 06 Dec 2012 02:18 AM PST

SHAH ALAM, 6 Dis — Exco kerajaan negeri Selangor Ronnie Liu menyatakan menteri besar (MB) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim belum lagi membuat keputusan muktamad bagi melantik pengerusi jawatankuasa khas untuk menyelesaikan pembinaan kondominium kontroversi di Batu Caves.

Menurut Ronnie, senarai calon telah pun dikenalpasti tetapi cuma ia hanya belum diumumkan sahaja lagi oleh MB.

"Ya, senarai calon sudah ada. Cuma belum diumumkan sahaja lagi," kata beliau.

Apabila ditanya mengapa mengambil masa terlalu lama, beliau menjelaskan ia bertujuan mengelak perkara sama berulang apabila bekas ketua pengarah (KP) Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) Datuk N Sadasivan menolak tawaran kerajaan negeri untuk mempengerusikan jawatankuasa tersebut sebelum ini.

"MB perlu membuat pengesahan dan meneliti beberapa perkara terlebih dahulu.

"Kalau boleh beliau (Abdul Khalid) tidak mahu kesilapan sama berulang selepas Sadasivan menolak tawaran sebelum ini," kata Ahli Dewan undangan negeri (Adun) Pandamaran.

Ronnie (gambar) juga berkata "arahan pemberhentian kerja" yang diberikan sebelum ini masih dijalankan dan akan diteruskan sehingga keputusan diperoleh daripada jawatankuasa yang ditubuhkan itu.

Pada 14 November lalu, Sadasivan menolak jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa daripada kerajaan Pakatan Rakyat (PR)itu tanpa memberikan sebarang alasan.

"Ya saya terima tawaran itu. Tapi saya telah menolaknya.

"Buat ketika ini saya tidak boleh komen. Terima kasih," kata Sadasivan.

Isu pembinaan kondominium 29 tingkat tersebut mendapat perhatian umum, malahan pada Perayaan Deepavali yang lalu, perdana menteri (PM) Datuk Seri Najib telah membuat pengumuman bahawa kerajaan pimpinannya akan membatalkan projek Dolomite Park Avenue berhampiran pusat keagamaan masyarakat Hindu di Batu Caves jika kembali memerintah Selangor selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Pada 30 Oktober lalu, kerajaan negeri Selangor memberikan arahan untuk menghentikan pembinaan kondominium 29 tingkat di Batu Caves serta melantik badan penyiasat bebas.

Projek kondominium Dolomite Park Avenue yang dibangunkan oleh Dolomite Properties Sdn Bhd, adalah isu sensitif kerana projek tersebut berhampiran dengan Batu Caves, tempat keagamaan penganut Hindu kira-kira 1.7 juta orang di kawasan bandar di Selangor.

Ambiga dakwa pihak membencinya gunakan isu sensitif untuk serang peribadi

Posted: 06 Dec 2012 02:12 AM PST

KUALA LUMPUR, 6 Dis — Pengerusi bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk Ambiga Sreneevesan berkata pihak yang menyerang beliau dalam isu Bersih, bukan disebabkan apa yang diperjuangkannya, tetapi kerana isu bangsa dan agama.

"Saya boleh kata, yang mereka menggunakan isu agama dan bangsa untuk menyerang saya, bukan apa yang saya perjuangkan.

"Saya fikir orang ramai akan marah kepada mereka sekiranya mereka menyerang seorang Sasterawan Negara," kata Ambiga (gambar) semasa soal jawab dalam inkuiri mengenai keganasan yang berlaku pada 28 April semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang diadili oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), sambil merujuk kepada seorang lagi pengerusi bersama Bersih, Datuk A Samad Said.

Ambiga mendakwa, pada 6 April 2012 Ketua Wira Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), yang mewakili sayap pemuda pertubuhan tersebut, Irwan Fahmi berkata bahawa dirinya akan menyerang habis-habisan terhadap Ambiga kerana Anti-Christ kepada orang Islam.

"Irwan telah membuat kenyataan bahawa beliau akan menyerang saya habis-habisan dengan mengatakan saya adalah Anti-Christ kepada orang Islam, kerana menyokong hak LGBT dan hak untuk orang Islam murtad.

"Untuk terus kekal Islam, beliau berkata kepada wartawan pada tarikh tersebut supaya tidak ke Bersih kerana pemimpinnya adalah pengkhianat bangsa dan agama," kata Ambiga membacakan kenyataan Irwan.

Ambiga juga berkata terdapat satu perhimpunan mengecam beliau di Universiti Putra Malaysia (UPM) sambil melaungkan slogan "Tolak Ambiga, Tolak LGBT", serta laungan-laungan menuduh beliau sebagai anti-Islam.

"Ini sama sekali tidak benar. Saya bukan anti-Islam," kata Ambiga lagi.

Ambiga juga mendakwa provokasi seperti senaman punggung, menjual burger daging lembu di hadapan rumahnya dan membuka tapak warung di hadapan rumahnya adalah satu provokasi jahat untuk menghina dirinya.

"Saya tak pasti apa yang dilakukan oleh mereka ini sudah diambil tindakan," kata Ambiga lagi.

Pada Mei lalu, kira-kira 10 askar bersara membuat senaman punggung pagi tadi dalam protes kedua yang dilakukan di luar rumah Datuk Ambiga Sreenevasan di Bukit Damansara untuk membantah perhimpunan Bersih pada 28 April lalu.

Ahli-ahli Persatuan Veteran Tentera Malaysia (PVTM) melakukan senaman punggung itu sebagai protes terhadap pengerusi Bersih yang mereka dakwa sebagai "musuh" negara.

"Kami tentera veteran ada hak untuk membantah 'musuh' yang cuba cemarkan nama negara," presiden PVTM Datuk Mohd Ali Baharom berkata.

Apabila Ambiga berjumpa dengan veteran askar di luar rumahnya, mereka memberikan poster yang ditulis "tolak Ambiga Anwar" kepadanya, yang merujuk kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di poster itu juga terdapat lukisan seorang lelaki berpakaian kuning, iaitu warna rasmi Bersih, dengan seluarnya terbuka dan punggungnya terdedah di bawah perkataan "perusuh haram Bersih 3.0".

Perhimpunan 28 April menyaksikan ribuan peserta berkumpul di enam lokasi berasingan sebelum bergerak menuju ke Dataran Merdeka pada mulanya aman bertukar ganas apabila Ambiga mengarahkan peserta untuk bersurai.

Panel inkuiri diketuai Naib Pengerusi Suhakam Datuk Dr Khaw Lake Tee dan dibantu dengan ahli suruhanjaya Prof Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abdul Majid and Detta Same, untuk menyiasat punca keganasan yang berlaku pada 28 April lalu.

Inkuiri seterusnya akan diberitahu oleh para panel pada tarikh yang akan ditentukan kemudian.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved