Ahad, 30 Disember 2012

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Kalimah Allah muncul lagi

Posted: 29 Dec 2012 04:42 PM PST

30 DIS — Apa pun yang diperkatakan oleh orang ramai tentang mengganti kalimah Allah dengan God atau Tuhan untuk kegunaan orang Kristian menunjukkan keagungan kalimah Allah ini. Allah sebagai perkataan yang difahami pengertiannya oleh semua pihak mampu memberikan makna dengan tepat tentang KeagunganNya dan KebesaranNya. Tidak dapat dinafikan semua pihak termasuk penganut agama Kristian di Malaysia mahu kalimah ini menjadi milik mereka yang selama ini secara eksklusif dipakai oleh umat Islam. 

Perspektif Al Quran 

Secara positifnya kalimah Allah ini mempunyai peminatnya lantas membuktikan kebenaran ayat dari Al Quran (Luqman, 31:25): "Jika kamu bertanyakan kepada mereka, siapakah yang mencipta Langit dan Bumi ini, pasti mereka akan memperakui bahawa Allah yang menciptakanNya, Katakanlah Alhamdulillah tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahuinya" secara literalnya ayat ini mahu menjawab golongan yang mengingkari kewujudan Sang Pencipta yang menghidupkan mereka dan mematikan mereka dan mereka akan dibangkitkan untuk dibuat perhitungan. Secara kontekstualnya golongan yang tidak mempercayai kewujudan Allah tetap menggunakan kalimah Allah bagi menggambarkan ketundukan mereka kepada Keagungan dan Kebesaran Tuhan. Ini bermakna perkataan Allah adalah universal. Ahlul Kitab iaitu penganut agama Yahudi dan Kristian digambarkan oleh Al Quran telah menyebut nama Allah di Biara dan Gereja mereka, seperti firmanNya (Al Haj,22:40): "Jika tidak Allah mencampakkan perasaan ingin mempertahankan simbol agama masing-masing, akan hancurlah (tanpa perasaan itu) tempat ibadat Yahudi (Sinagog) Kristian ( Gereja) dan rumah ibadat serta , Islam     (Mesjid) di mana di dalam semuanya itu disebut nama Allah dengan banyak sekali, Allah pasti akan membantu siapa yang membantu agamanya, Allah Maha Gagah dan Mulia" Ayat ini secara literal menggambarkan perasaan ingin mempertahankan simbol agama masing-masing dan lerasaan itu dicampak oleh Allah. Secara kontekstualnya ayat ini menyebut bahawa di dalam rumah ibadat ini semua di sebut nama Allah bagi menggambarkan berbagai penganut khususnya Yahudi dan Kristian menggemakan nama Allah sebagai tanda kebesaranNya. 

Perspektif akademik 

Secara akademiknya perbahasan menggunakan kalimah Allah oleh penganut agama lain adalah satu perbahasan yang menarik dan saya secara peribadi tidak melihat ianya satu kesalahan dari sudut akademik. Namun isu ini bukan akademik semata-mata ia ada kaitan dengan perundangan, norma, budaya dan politik. Jadi amat malang jikalau kita hendak menjawab persoalan ini secara mudah tanpa memperincikan keperluan-keperluan lain sebelum kita membuat rumusan. 

Perundangan 

Dalam konteks Malaysia kedudukan Islam sebagai agama resmi persekutuan diperuntukkan dalam Artikel 3. Walaupun Artikel 11 menetapkan kebebasan agama namun kedudukan Islam itu mesti dilihat sebagai keutamaan dan sebab itu enakmen negeri-negeri diberi kuasa untuk memperkukohkan Artikel 3 ini melalui kuasa enakmen Islam. Perundangan tidak lahir secara lompang melainkan ia terbentuk dari latarbelakang sejarah dan budaya sesebuah masyarakat. Kalimah Allah tidak terlepasa dari aspek ini, sebab itu dalam enakmen Islam negeri ada menyebut tentang beberapa perkataan yang tidak boleh dipakai oleh oleh orang bukan Islam dan salah satunya termasuk perkataan Allah. Ia diterima selama ini sebagai enakmen yang ada keabsahannya dan tidak pernah dipertikaikan oleh bukan Islam. Secara perundangan ianya dilarang di Semenanjung mengikut enakmen agama negeri yang ada. 

Norma dan budaya 

Bahasa yang difahami dan digunakan adalah lebih utama daripada berbahas menggunakan apakah kalimat yang sesuai. Tidak pernah terdengar selama ini penganut Kristian di Malaysia mahu menggantikan kalimah Allah dalam penggunaan keagamannya. mereka mungkin terdorong dalam satu kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tahun 2009 bahawa penerbitan Herald Christian boleh menggunakan perkataan Allah dalam tulisannya yang disekat pengedarannya oleh KDN kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya. Begitu juga injil terjemahan yang disekat kemasukannya di Sarawak tempoh hari kerana menggunakan perkataan Allah di dalamnya akhirnya terpaksa dilepaskan kerana penganut Kristian Sarawak mendakwa mereka menggunakan perkataan Allah sejak sekian lama. Ringkasnya, di Semenanjung isu ini hanya timbul dalam kes yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi 2009, walaupun KDN membawanya ke Mahkamah Rayuan dan hingga kini belum diputuskan. Manakala di Sarawak, perkataan Allah oleh penganut Kristian sudahpun menjadi polemik sejak sekian lama. 

Memahami motif 

Saya tidak boleh mengelak untuk bertanya apakah motif isu ini dibangkitkan semula oleh YAB Ketua Menter Pulau Pinang itu? Saya yakin media longkang akan mengambil isu ini untuk memenuhi nafsu politik sempit tuannya, tapi saya masih belum ada jawapan mengapa Lim Gua Eng menyebutnya dalam ucapan Krismasnya kepada penganut Kristian di Malaysia? Menurut Zairil Khair Johari pemimpin Melayu dalam DAP, LGE menujukan isu ini kepada penganut di Sabah dan Sarawak, namun Karpal Singh pula merujuk kepada aspek perundangan bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh umat Kristian tanpa mengkhususkannya untuk Sabah Sarawak sahaja. Isu ini dibawa ke mesyuarat Pakatan namun luka dan kesannya terus meninggalkan bekas kepada yang menyokong dan yang menentang. 

Hak atau penghayatan agama 

Hak menggunakan perkataan Allah perlu dilihat kepada penghayatan kerana beragama adalah penghayatan. Apatah lagi memilih perkataan yang memberikan makna kepada pengibadatan kita. Jika mahu dipakai kalimah Allah hanya kerana hak dan perundangan tanpa mengasaskan kepada penghayatan adalah satu kezaliman kepada isu ini. Umat Islam memang sinonim dengan kalimah Allah kerana ia berasal dari perkataan Arab dan dari sudut istilah ia melambangkan ketauhidan mutlak. Jadi bagi umat Islam ada satu disiplin teologi yang perlu dihayati oleh umat Islam. Apakah penganut Kristian di Malaysia yang terbiasa dengan perkataan God atau Tuhan selama ini tidak berasa selesa kerana kurang penghayatan lalu mahu menggantikan yang lebih selesa dengan menggunakan perkataan Allah? ataukah sekadar mahu membuang eksklusifiti perkataan untuk umat Islam? Saya tidak boleh menjawabnya kerana penganut agama masing-masing lebih mengetahui tentang penghayatan agamanya. Kedua, dengan satu tuntutan yang besar ini, adakah LGE dan sesiapa yang menyokong penggunaan kalimah Allah ini mewakili hasrat 1.9 juta penganut Kristian dari berbagai denominasi di Semenanjung ataukah di Sabah dan Sarawak sahaja? Saya harap dengan permintaan besar ini LGE dan yang menyokongnya telah membuat setiap perkiraan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Azam dan harapan untuk tahun baharu 2013

Posted: 29 Dec 2012 04:39 PM PST

30 DIS — Kurang 48 jam sahaja lagi, tahun 2012 bakal melabuhkan tirainya. 

Ia juga sekaligus mengakhiri tahun yang penuh kontroversi dan berwarna-warni bukan sahaja dalam dunia politik bahkan juga dalam dunia hiburan dan masyarakat sivil. 

Seperti kebiasaan, saban kali menjelangnya kedatangan Tahun Baharu, ramai daripada kita yang sudah menanamkan azam baharu. 

Ada yang bertekad mahu menjadi seorang manusia yang lebih berguna, ada juga yang mendoakan agar kesihatan diri lebih terpelihara dan tidak kurang juga yang mahukan kesejahteraan negara sentiasa dipertahankan. 

Apa yang diluahkan menerusi azam Tahun Baharu itu sememangnya baik dan wajar diteruskan. Sekurang-kurangnya masih ada segelintir manusia yang mempunyai hala tuju jelas mengenai apa yang mahu dicapai pada tahun baharu nanti. 

Bagaimanapun, itu tidak bermakna mereka yang tidak menanamkan azam tahun baharu merupakan kumpulan manusia yang tidak bertanggungjawab. Cumanya dalam menanamkan azam tahun baharu, segala tindakan yang berbangkit harus praktikal dan konsisten. 

Dalam kebanyakan insiden, azam tahun baharu yang ditanamkan awal tahun kebiasaannya tersadai di pertengahan jalan. Semangat berkobar-kobar yang ditonjolkan pada awal tahun lama-kelamaan hilang begitu sahaja. Sering kali, alasan yang diberikan untuk tidak meneruskan azam tahun baharu itu ialah kurangnya motivasi dan tidak praktikal. 

Jika kebanyakan daripada anda mendoakan agar kesihatan diri lebih baik pada 2013 ini, penulis pula mempunyai beberapa azam Tahun Baharu 2013 yang boleh disifatkan agak "ambitious". 

Antaranya, gesaan kepada pemimpin-pemimpin politik negara untuk menjaga tingkah laku dan tutur kata di khalayak.  Sejak kebelakangan ini, terdapat kecenderungan dalam kalangan pemimpin politik yang cuba mengambil kesempatan mengungkitkan isu-isu yang tidak sepatutnya dengan harapan dapat meraih sokongan pengundi. 

Bagi kumpulan pemimpin politik sedemikian, soal sensitiviti dan kebertanggungjawaban sudah tidak berbangkit lagi. Mereka merasakan dirinya lebih berkuasa daripada rakyat awam walhal rakyat sebagai pengundi yang bakal menentukan nasib pemimpin politik dalam PRU nanti. 

Apa yang dikesali ialah tindakan tidak bertanggungjawab pemimpin politik sedemikian tidak ditegur pihak berkuasa. Sikap membisu itulah yang memberi gambaran bahawa sikap sedemikian dihalalkan. 

Tanpa mengira sama ada pemimpin politik itu dari pihak pemerintah mahupun pembangkang, pihak berkuasa harus memastikan tidak wujud sikap berat sebelah dalam penguatkuasaan undang-undang. Bagi mereka yang melakukan kesalahan, hukuman tetap perlu diberikan agar ia menjadi satu "deterrent" kepada pihak lain untuk tidak mengulangi kesilapan sama. 

Kepada pemimpin-pemimpin politik, mereka perlu ingat bahawa kekuasaan dan jawatan yang dipegang ketika ini hanya bersifat sementara. Apa yang dinikmati sekarang datangnya daripada mandat yang diberikan oleh rakyat pada PRU dan adalah menjadi tanggungjawab untuk rakyat menarik balik mandat berkenaan jika ianya tidak dipatuhi. 

Selain itu, penulis juga mengharapkan agar semangat hormat-menghormati antara penduduk berbilang kaum di Malaysia yang pernah menjadi tonggak kekuatan akan dapat diperkukuhkan. Apa tidaknya, sejak kebelakangan ini, terdapat kes-kes terpencil yang memberi gambaran semangat tersebut makin pudar. 

Masyarakat kita nampaknya lebih bersifat communal, defensif dan terlalu sensitif. Apa sahaja isu akan digembar-gemburkan hinggakan ia menjadi berita panas walhal ianya tidak seperti yang dilaporkan. 

Pada hemat penulis, keadaan tersebut tidak sepatutnya berlaku. Sebaliknya, masyarakat harus berfikir ke hadapan dan memberikan tumpuan sepenuh bagaimana untuk membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani ramai. 

Malaysia cukup bertuah dalam aspek ini. Negara kita kaya dengan sumber alam, tiadanya bencana alam, dan wujudnya kestabilan politik. Ketiga-tiga elemen inilah yang menjadi resipi penting untuk membentuk sebuah negara yang stabil. Ibarat pepatah yang berbunyi "Kota Rom tidak dibina dalam sehari", begitu jugalah dengan keharmonian dan keamanan negara. Mahukah kita merosakkan segala yang dikecapi dalam sekelip mata? 

Perbezaan pendapat berlaku di mana-mana waima dalam keluarga kita sendiri. Tetapi ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak terbabit dalam agenda pembangunan negara. 

Kekuatan negara terletak pada konsep perpaduan dalam kepelbagaian. Tiada sebuah negara di dunia yang memiliki kepelbagaian unik seperti yang berlaku di Malaysia. 

Oleh itu, mengapa tidak kekuatan itu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya? 

Hayatilah mesej ini dan marilah semua melangkah ke tahun baharu 2013 dengan semangat dan sikap baharu untuk membawa Malaysia ke satu era gemilang. 

SELAMAT TAHUN BAHARU 2013! 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved