Khamis, 3 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pahlawan Negara Kunang diberikan penghormatan negara Ahad ini

Posted: 03 Jan 2013 01:56 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Pahlawan Negara Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau, yang meninggal dunia awal pagi ini, akan diberikan penghormatan negara apabila disemadikan di Sarawak, Ahad ini, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Kanang anak Langkau. — Gambar ehsan dari steadyaku-husseinhamid.blogspot.com

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkannya untuk melakukan persiapan bagi memberikan penghormatan kepada mendiang dengan kerajaan negeri yang akan turut menyelaras majlis penghormatan itu.

"Kami mengenang jasa-jasa Kanang Anak Langkau bukan sahaja kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi juga kepada negara.

"Saya kehilangan seorang teman yang merupakan pahlawan yang menerima dua anugerah terbesar negara iaitu Pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB)," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Graduasi Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (MPAT) di sini, hari ini.

Beliau berkata mendiang menerima kedua-dua pingat itu pada 3 Jun 1981.

Katanya mendiang berkesempatan meriwayatkan perjuangannya melalui beberapa wawancara dan pengkisahan perjuangannya, namun filem yang bertajuk "Kanang Anak Langkau" itu belum sempat disiapkan.

 "Saya terkilan kerana filem tersebut belum sempat disiapkan. Bagaimanapun, saya akan meminta penerbit dan pengarah berkenaan agar menggunakan bahan-bahan penggambaran yang telah ada itu untuk disiapkan bagi dipertontonkan kepada khalayak umum.

Ahmad Zahid berkata jawatan terakhir mendiang semasa berkhidmat dengan ATM adalah Pegawai Waran 1.

"Mendiang semasa khidmatnya, telah menempuh beberapa pertempuran terutamanya di Perak. Oleh sebab itu pengkisahan beliau dilakukan sebagai mengenang jasa beliau untuk dijadikan contoh kepada pegawai-pegawai dan anggota tentera yang ada sekarang," katanya.

Kanang, 68, meninggal dunia di sebuah hospital umum di Kuching, Sarawak, akibat serangan jantung pukul 1.45 pagi ini.

Kanang adalah anak jati Sarawak yang menjadi kebanggaan negara kerana keberaniannya menentang komunis ketika bersama Angkatan Tentera Malaysia dari 1962 hingga 1963. – Bernama

Bekas pensyarah mengaku salah rasuah beri diploma kepada penuntut

Posted: 03 Jan 2013 01:52 AM PST

KUALA LUMPUR, 3 Jan – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 ke atas seorang bekas pensyarah Kuala Lumpur Metropolitan University College (KLMU) setelah mengaku bersalah atas pertuduhan rasuah.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan tertuduh, Elmy Shadzli Wahi, 41, menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini dan jika gagal membayar denda ditambah kepada enam bulan lagi penjara.

Elmy Shadzli didakwa memperoleh RM1,500 melalui akaun Malayan Banking Berhad daripada penuntut Muhammad Asrull Aizat Solehan sebagai balasan untuk memberi diploma di bidang kulinari kepada penunut itu tanpa beliau (Muhammad Asrull) perlu menghadiri kuliah dan menduduki peperiksaan.  

Kesalahan didakwa dilakukan di Dataran Maybank Bangsar No. 1, Jalan Maarof di sini pukul 3.30 petang, 13 Julai, tahun lepas.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan tertuduh daripada pertuduhan kedua melibatkan kesalahan memperoleh rasuah, setelah peguam S.I.Rajah, yang mewakili tertuduh memberitahu surat representasi telah diterima dan disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Nur Lokman Samingan daripada SPRM.

Bagi pertuduhan kedua itu Elmy Shadzli didakwa cuba memperoleh RM1,500 daripada Muhammad Asrull bagi tujuan yang sama di Jalan Sri Ehsan 2, Taman Perindustrian Sri Ehsan dekat sini pukul 8.30 malam, 16 Julai tahun lepas.

Kedua-dua kesalahan, didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Terdahulu, di Mahkamah Sesyen yang berlainan, Elmy Shadzli juga mengaku bersalah terhadap dua lagi pertuduhan rasuah memberi sijil diploma kepada penuntut yang lain, pada tahun lepas.

Elmy Shadzli yang sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu menukar pengakuannya hari ini ketika kes itu disebut di hadapan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Ahmad Zamzani menetapkan 23 Jan ini untuk jatuhan hukuman dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar juga daripada SPRM. – Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved