Sabtu, 5 Januari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


NGO tidak beretika jika mengadu kepada PKR, kata Wan Ahmad

Posted: 05 Jan 2013 03:13 AM PST

KUALA LUMPUR, 5 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata, pihak NGO yang mengadu kepada PKR adalah tidak beretika kerana mereka dilantik untuk memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut menolak dakwaan dari Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail bahawa SPR menyekat pemerhati NGO ini dari memantau pilihan raya.

"Saya dah kata dalam banyak kenyataan sebelum ini, kenapa NGO-NGO ini perlu nak mengadu kepada PKR yang merupakan sebuah parti politik?

"Kalau NGO ini benar-benar mahu menjadi pemerhati (pilihan raya), ia harus bebas dari mana-mana parti politik," kata Wan Ahmad (gambar) apabila dihubungi The Malaysian Insider.

Menurut Wan Ahmad lagi, pihak SPR menemui kesemua NGO yang mahu menjadi pemerhati dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada tahun ini.

"Asas pelantikan NGO-NGO ini ialah berkecuali, itu syarat utamanya.

"Tapi saya sangat sedihlah, kalau NGO-NGO ini pergi mengadu dengan PKR, ini tidak beretika.

"(Datuk) Saifuddin Nasution (Ismail) ini pandai-pandai bercakap, tak patut macam ini," kata Wan Ahmad lagi.

Pada Rabu lalu, Saifuddin dalam sidang medianya SPR mendakwa masih lagi menyekat enam badan pemerhati tersebut daripada memantau keseluruhan proses pilihan raya secara bebas.

Antara badan pemerhati yang SPR bercadang untuk memberi akreditasi terdiri daripada enam badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Transparency International Malaysia (TI-M), Merdeka Center, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM), dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham).

Wan Ahmad pada esoknya berkata, pemerhati tidak dibenar bercakap dengan mana-mana agen parti dan petugas SPR di pusat mengundi supaya tugas mereka tidak terganggu di samping tidak dibenar bercakap kepada media bagi mengelak berlaku pelbagai kenyataan dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Mereka yang dilantik adalah mengikut undang-undang dan tertakluk kepada akujanji pelantikan yang tidak membenarkan mereka berkomunikasi dengan pihak ketiga sebelum laporan hasil pemantauan diserah kepada SPR," katanya.

"Adalah tidak logik pemerhati dibenar untuk menemuduga petugas SPR yang dilantik, jangan cakap kalau tiada fakta yang betul, saya cabar Saifuddin untuk dapatkan kepastian penjelasan daripada SPR sendiri."

Hari ini, Wan Ahmad dilaporkan berkata pihak pemerhati haruslah menyampaikan apa yang mereka tidak puas hati kepada SPR.

"NGO ini boleh dilihat sebagai penyampai maklumat kepada parti-parti politik. Ini jelas melanggar kerahsiaan yang pihak NGO perlu tahu. SPR telah memberitahu beberapa kali bahawa perbincangan ini adalah rahsia.

"Mereka ini tidak beretika. Kita juga mahu tahu yang mana antara mereka yang membuka mulut," kata Wan Ahmad menurut laporan dari The Star.

Beliau juga menolak dakwaan Saifuddin pemantau bebas tidak dibenarkan memantau proses pengiraan undi, dengan berkata mereka juga dibenarkan untuk melihat pengiraan tersebut.

"Pengiraan undi adalah penting dalam proses pilihan raya, bagaimana kita boleh tidak benarkan mereka memantau? Tetapi kita tak boleh nak beri kepada semua sebab kita tidak cukup ruang.

"Agen kepada calon akan hadir untuk memantau sendiri (proses pengiraan undi).

"Saya tak tahu sama ada NGO tersebut tidak faham apa yang kami katakan, atau parti politik tersebut memutarbelitkan isu," katanya lagi.

Penguatkuasaan tugas mereka selaku pemerhati hanya akan bermula apabila Parlimen dibubar.

Mayat wanita hampir reput ditemui di Pelabuhan Klang

Posted: 05 Jan 2013 01:39 AM PST

PELABUHAN KLANG, 5 Jan — Mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian dan hampir reput ditemui di tingkat tiga sebuah rumah flat di sini malam tadi. 

Mayat wanita itu ditemui kira-kira pukul 7.30 malam dalam sebuah unit tidak berpenghuni di kediaman berkenaan selepas orang ramai terhidu bau busuk di sekitar tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Mohamad Mat Yusop berkata siasatan awal pasukan forensik polis mendapati wanita itu telah mati lebih 10 hari.

"Pemeriksaan fizikal tidak dapat dilakukan ke atas mayat kerana keadaannya yang hampir reput. Tiada kesan tikaman atau sebarang senjata dan objek dijumpai di kawasan itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamad berkata polis masih belum boleh mengesahkan identiti wanita itu. 

Beliau berkata buat masa ini kes berkenaan diklasifikasi sebagai mati mengejut dan pihaknya akan membuka kertas siasatan jika wujud unsur jenayah. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved