Selasa, 12 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


SUPP dapat sokongan berlandaskan semangat setiakawan BN

Posted: 12 Feb 2013 03:41 AM PST

KUCHING, 12 Feb — Parti gabungan Barisan Nasional (BN) Sarawak akan mempamerkan permuafakatannya dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berlandaskan semangat setia kawan BN untuk mendapatkan semula sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum akan datang, kata setiausaha agung BN negeri Datuk Dr Stephen Rundi hari ini.

Dr Rundi, yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata beliau menyokong kenyataan ketua menteri dan pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud (gambar) semalam bahawa SUPP perlu menunjukkan bahawa ia sebuah parti yang bersatu padu dan bekerjasama dengan semua parti komponen BN, termasuk PBB, yang menjadi tonggak BN Sarawak.

"Dalam semangat setia kawan BN, saya bersetuju dengan pendirian ketua menteri tentang perkara itu," katanya kepada Bernama di sini.

Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin dilaporkan berkata Taib, yang juga presiden PBB, memberi komitmen bahawa PBB akan memberi segala sokongan yang termampu olehnya kepada SUPP bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 ketika menghadiri majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina yang dihoskan Chin di Miri.

Pada pertemuan itu, Taib juga menasihati SUPP supaya bekerja lebih keras untuk mendapatkan undi pemilih Cina serta bekerjasama dengan semua parti komponen BN bagi memastikan BN memperoleh kemenangan besar.

Pada pilihan raya umum 2008, SUPP, yang bertanding di tujuh kawasan parlimen, kalah kerusi parlimen Bandar Kuching kepada DAP dan mengalami nasib yang sama pada pilihan raya kecil parlimen Sibu dua tahun kemudian.

Ditanya sama ada golongan muda dan pengundi luar bandar, yang secara tradisi merupakan penyokong BN, akan merupakan "pengundi atas pagar", yang menentukan keputusan pilihan raya kali ini, Dr Rundi berkata beliau yakin golongan itu akan menyokong BN.

Dr Rundi berkata beliau yakin dengan sokongan golongan itu walaupun pembangkang begitu sibuk menyebar propaganda mereka, termasuk cuba mempengaruhi penduduk luar bandar melalui stesen radio rahsia yang beroperasi di luar negara untuk memburuk-burukkan kerajaan.

"Kami harap dasar kami akan dibaca dan difahami dengan jelas oleh kumpulan ini," katanya, merujuk kepada pelbagai program transformsi sosioekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan sebagai inisiatif berterusan untuk membawa perubahan besar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Mengikut tradisi, bagi pilihan raya umum, PBB diperuntukkan 14 kerusi parlimen, SUPP (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) masing-masing diperuntukkan enam dan empat kerusi daripada sejumlah 31 kerusi di Sarawak. — Bernama

Pengusaha bas swasta mahu pampasan jika industri bersikap ‘berat sebelah’

Posted: 12 Feb 2013 01:09 AM PST

KUALA LUMPUR, 13 Feb — Syarikat-syarikat operator bas di seluruh negara menuntut persaingan lebih adil antara mereka dan syarikat berkait kerajaan (GLC), dan menuntut kerajaan membayar pampasan yang adil atau persaingan lebih terbuka tanpa skap 'berat sebelah'.

Menurut presiden Persatuan Operator Bas Se-Malaysia (PMBOA), Datuk Mohamad Ashfar Ali, beliau menggambarkan industri bas sebagai "tidak berfungsi", serta dasar berat sebelah polisi pengangkutan kerajaan "merosakkan sektor industri bas swasta"

"Dasar kerajaan bukan sahaja menentang Model Ekonomi Baru (NEM), tetapi menyebabkan kerajaan mempunyai kepentingan sendiri dan mengakibatkan penurunan produktiviti dan efisiensi.

"Sudah diketahui ramai bahawa industri bas swasta kini dalam keadaan murung walaupun wang rakyat banyak mengalir dan banyak subsidi diberikan," kata Ashfar.

Beliau menyatakan lima perkara yang menjejaskan perniagaan, terutamanya ruang yang tidak adil antara syarikat milik kerajaan seperti Prasarana, Rapid dan Mara dengan syarikat pengusaha bas swasta.

Ashfar merujuk kepada kenyataan Prasarana di akhbar News Straits Times, pada 4 Januari bahawa syarikat tersebut mahu mendapatkan RM6 billion melalui bon sukuk untuk membiayai projek-projek Prasarana akan datang.

"Ini kerana syarikat pengusaha bas swasta tidak dapat beroperasi dan terpaksa mengurangkan operasi, kegagalan memberi pampasan kepada syarikat swasta operator bas, ia adalah pemiliknegaraan jalan belakang, atau dengan kata lain, adalah satu bentuk rampasan," kata Mohamad Ashfar dalam kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, PMBOA merasakan kehilangan peluang ekonomi apabila ruang tidak diberikan seadilnya untuk mereka menjalankan operasi mereka, dan pencerobohan dalam koridor mereka apabila Rapid diperluaskan.

"Kehilangan dalam kebebasan ekonomi tidak hanya menyebabkan kelembapan pertumbuhan ekonomi, tetapi memberi masalah kepada sosial seperti kesihatan, masalah kemiskinan, gagal melindungi alam sekitar dan kehilangan masa produktif kerana kesesakan jalan raya," kata Ashfar lagi.

"Sudah jelas niat kerajaan bahawa Rapid, (walaupun kos operasi Rapid KL berjumlah RM280 juta, berbanding pendapatan cuma RM180 juta tahun lalu), adalah untuk memiliknegarakan industri bas, jadi ia hanya akan jadi adil jika kerajaan membayar pampasan kepada syarikat swasta.

Ashfar berkata, formula yang digunapakai kerajaan negeri Melaka apabila mahu mengambil alih perkhidmatan bas adalah dengan membayar pampasan kepada operator bas berdasarkan harga pasaran operasi bas, bayaran pampasan kepada pekerja, dan bayaran secara 'lump sum' kepada syarikat bagi tujuan penutupan operasi.

"Ini adalah hak melindungi hak individu dan melindungi harta, yang memjadi perkara penting dalam demokrasi, dan untuk membayar penghargaan kepada mereka yang berkorban untuk masyarakat dan ekonomi tempatan, serta kebajikan negara ini," kata Mohamad Ashfar lagi.

Rapid kini dalam proses menambah kawasan liputan perkhidmatan merekaa, selain di Lembah Kelang, Pulau Pinang, dan Kuantan, dan berkemungkinan akan turut diwujudkan di Kota Bharu sekiranya Barisan Nasional berjaya memenangi negeri Kelantan daripada PAS.

Pada Bajet 2013, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan akan mengembangkan perkidmatan Rapid ke Ipoh dan Seremban.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved