Selasa, 19 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Nick Xenophon tidak layak jadi pemerhati pilihan raya, kata SPR

Posted: 19 Feb 2013 03:03 AM PST

KUCHING, 19 Feb — Senator bebas Australia Nick Xenophon ialah seorang yang berat sebelah, tidak profesional dan hanya memihak kepada sebuah parti sahaja, justeru itu tidak layak menjadi pemerhati pilihan raya, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata SPR pernah mengadakan perbincangan dengan Xenophon atas jemputan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi perkara yang ditimbulkannya sama seperti isu yang dibangkitkan parti pembangkang.

"Jadi pemerhati patut bebas, tidak berat sebelah, yang tidak betul tegur walaupun siapa buat salah...Bila bias (dia) tidak dapat hendak jadi pemerhati yang adil dan saksama. Dia mewakili parti politik tertentu, (untuk) jadi pemerhati tidak bolehlah begitu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau sebelum itu merasmikan taklimat ulangan untuk 96 peserta terdiri daripada pegawai pengurus dan ketua pasukan Penguatkuasaan Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) Pilihan Raya Umum Ke-13. Abdul Aziz berkata sebagai negara berdaulat, Malaysia tidak perlu mengikut telunjuk (individu dari) negara lain untuk melakukan sesuatu.

"Saya percaya negara dia pun (Australia) tidak suka kalau Malaysia beritahu perdana menterinya supaya melantik Malaysia jadi pemerhati atas sebab (kononnya) banyak perkara tidak betul berlaku, itu maknanya kita sudah campur tangan dalam kedaulatan negara lain," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata isu-isu yang cuba dibangkitkan Xenophon adalah isu yang sama yang disuarakan oleh parti pembangkang.

"Untuk makluman, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar pernah mengadakan perjumpaan dengan dia. Pertanyaan serta keraguannya boleh dikatakan tidak berbeza langsung dengan perkara-perkara yang selalu ditimbulkan parti politik (pembangkang), seratus peratus serupa.

"Walaupun sama, kami tetap beri penjelasan kepada mereka," katanya.

Menurutnya antara isu yang dibangkitkan ialah persempadanan kawasan pilihan raya dan daftar pemilih.

"Saya sendiri pernah terangkan isu itu kepada Duta Australia ke Malaysia...beliau faham dan mengatakan beliau tidak bermaksud untuk campur tangan dalam sistem kita, tetapi cuma untuk pemahaman beliau sahaja," katanya. — Bernama

Selangor akur pilihan raya negeri serentak dengan parlimen

Posted: 19 Feb 2013 03:00 AM PST

SHAH ALAM, 19 Feb — Kerajaan negeri Selangor akur supaya pilihan raya negeri diadakan serentak dengan pilihan raya parlimen dan menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikhnya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara itu telahpun disepakati semua anggota Dewan Undangan Negeri Selangor (Adun) daripada pakatan pembangkang.

"Kami setuju supaya tarikh pilihan raya ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan kami tidak keberatan supaya pilihan raya negeri dilaksanakan serentak dengan pilihan raya parlimen," katanya selepas merasmikan Konvensyen dan Pelancaran Pembudayaan SPIES (Spiritual, Physical, Intelectual, Emotional, Social) negeri Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini Khalid berkata tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor akan diumumkan selepas sambutan Chap Goh Mei masyarakat Cina setelah mengadakan pertemuan dengan Adun pakatan pembangkang.

Mengulas isu air, Abdul Khalid berkata beliau tidak menerima sebarang aduan daripada para pelabur di Selangor mengenai bekalan air terawat dan menegaskan bahawa jumlah pelaburan asing di negeri ini tahun lepas masih tinggi. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved