Khamis, 21 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tiada sebab untuk penjawat awam tukar kerajaan, kata presiden CUEPACS

Posted: 21 Feb 2013 03:16 AM PST

KUALA LUMPUR, 21 Feb ― Penjawat awam tidak mempunyai sebab untuk menukar kerajaan Barisan Nasional (BN), kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman hari ini dan menambah pertukaran pemerintah belum mampu menjanjikan kemajuan kepada negara.

Dalam majlis bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di ibu kota, Omar (gambar) berkata Putrajaya telah menunaikan hampir kesemua tuntutan mereka membuktikan kerajaan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sentiasa peka dan dekat dengan penjawat awam.

"Tidak ada sebab untuk menukar kerajaan yang sedia ada kepada pihak yang belum tentu dapat menjamin apa-apa.

"Tidak pernah satupun cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS kerajaan menolak. Sebagai contoh ialah tuntutan kenaikkan dua peratus wang pencen kepada pesara penjawat awam," kata Omar kepada pemberita.

Menurut Omar lagi, sokongan hampir 1.4 juta orang penjawat awam dan 500 ribu pesara sentiasa tidak berbelah bagi kepada kerajaan yang dipimpin oleh Najib dan yakin perkara tersebut akan diterjemahkan dipeti undi dalam Pilihan Raya 2013 yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

"Saya yakin 1.4 juta penjawat awam bersama dengan hampir 500 ribu pesara CUEPACS akan sentiasa menyokong kerajaan sedia ada.

"Penjawat awam dan CUEPACS adalah tiang seri (asas kukuh) kepada kerajaan dan yakinlah sokongan mereka akan sentiasa utuh kepada kerajaan," ujar beliau lagi.

Selain itu, Omar juga menegaskan penjawat awam berhak untuk terlibat dalam politik secara langsung tetapi perkara itu mestilah dengan kebenaran oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan tidak melanggari undang-undang yang termaktub bagi penjawat awam.

"Ya, mereka mereka boleh berpolitik tapi mestilah dengan kebenaran oleh JPA.

"Dan penjawat awam yang berpolitik juga mestilah mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan, antaranya tidak boleh berpolitik di dalam pejabat atau semasa waktu bekerja," ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga berucap semasa perhimpunan hari ini menggesa penjawat awam supaya memainkan peranan aktif dan berkesan memandangkan kumpulan tersebut juga bertanggungjawab dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan kepada masyarakat serta kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan negara.

"Penjawat sektor awam adalah imej kerajaan, jadi mereka haruslah memainkan peranan yang penting dan berkesan terutamanya dalam menyampaikan polisi dan dasar kerajaan," tambah beliau.

Penjawat awam merupakan sebahagian daripada 13 juta pengundi berdaftar pada pilihan raya kali ini, serta antara penentu sama ada Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) untuk menawan Putrajaya.

PRU ke 13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun dan dianggap paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Selangor gantung semua projek kerajaan pusat hingga selesai rayuan AES

Posted: 21 Feb 2013 02:43 AM PST

KUALA LUMPUR, 21 Feb —  Kerajaan negeri Selangor memutuskan menggantung semua projek kerajaan pusat di negeri tersebut sehingga selesai rayuan di Mahkamah Tinggi ekoran kekalahan dalam permohonan semakan kehakiman kepada kontraktor kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) Beta Tegap Sdn Bhd.

Keputusan tersebut dinyatakan oleh Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataan media hari ini yang mengganggap keputusan oleh Hakim Datuk Zaleha Yusof tersebut sebagai sangat mengecewakan.

"Pada masa yang sama mana-mana kebenaran pembangunan yang telah diberikan kepada jalanraya dan prasarana persekutuan hendaklah digantung buat sementara waktu sehingga proses rayuan selesai.

"Kerajaan negeri kesal dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa terhadap struktur yang dibina diatas jalan persekutuan," kata Abdul Khalid (gambar).

Dalam keputusan hari ini, Zaleha menyatakan kerajaan pusat adalah penguatkuasa sebenar untuk meluluskan pemasangan kamera AES dan bukannya kerajaan tempatan.

"Berdasarkan hujah di atas, saya berpendapat tempat dimana struktur AES dibangunkan adalah terletak di jalan persekutuan dan tidak jatuh di bawah bidang kuasa responden.

"Permohonan dibenarkan," kata beliau sambil menambah tiada arahan untuk membayar kos oleh kerana ini adalah kes berkait dengan kepentingan awam.

Abdul Khalid juga berkata arahan dikeluarkan kepada agensi kerajaan negeri Selangor untuk menyemak dan meneliti semula daripada sudut perundangan keatas keputusan yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tersebut.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri melihat perkara ini amat serius dan telah merangka beberapa tindakan susulan termasuk mengarahkan kamar Penasihat undang-undang Negeri Selangor dan jabatan undang-undang Majlis Perbandaran Sepang (MPS) untuk menyemak nota kehakiman dan memfailkan rayuan," kata Abdul Khalid lagi.

Selain itu, satu semakan semula oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri juga akan dilakukan keatas semua senarai cadangan pembangunan persekutuan samada lebuhraya atau Prasarana Transit Aliran Ringan (LRT) demi memastikan kepentingan rakyat Selangor dan kerajaan negeri terjamin.

Jabatan Peguam Negara, yang bertindak sebagai pencelah dalam kes itu, minggu lepas berhujah bahawa Akta Pengangkutan Jalan 1987 menyatakan menteri kerja adalah pihak berkuasa sepatutnya yang mempunyai bidang kuasa untuk meluluskan permohonan untuk mendirikan AES di lebuh raya.

Hakim juga berkata hakikat tanah itu adalah tanah kerajaan tidak bermakna MPS adalah pemilik tanah.

"Kerajaan tempatan adalah satu entiti yang berbeza daripada kerajaan negeri," katanya.

Hakim juga berkata isu tidak mendedahkan perjanjian konsesi tidak relevan dalam kes ini.

Beliau merujuk kepada undang-undang kerajaan tempatan, sebelum mengatakan tiang AES adalah dianggap sebagai "bangunan".

Peguam Beta Tegap Alex de Silva minggu lepas berhujah tiada seorang pun yang munasabah akan mentafsir tiang AES dan kamera untuk menjadi sebuah "bangunan", apabila mencabar kesahihan notis MPS '.

MPS telah mendakwa "tiang" termasuk dalam takrif "bangunan" dalam Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Jabatan Peguam Negara menafikan definisi dalam Akta, mendakwa tiang perlu disambungkan ke rumah, pondok, bangsal atau mana-mana kepungan beratap sebelum ia dianggap "bangunan."

Pada November tahun lepas, MPS telah mengeluarkan dua notis untuk mengarahkan Beta Tegap membuat permohonan rasmi untuk kebenaran perancangan bangunan, mendakwa penggunaan tanah negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor, Ronnie Liu memberitahu pemberita MPS akan merayu keputusan ini, mengatakan terdapat keperluan untuk memastikan keselamatan struktur yang didirikan di atas jalan raya.

"Jadi, kita tentu ingin merayu kepada mahkamah yang lebih tinggi," kata Liu, mengatakan mesyuarat akan diadakan dengan MPS.

Pada 12 Disember tahun lalu, Beta Tegap memohon penangguhan keputusan MPS dan kemudian mendapat penangguhan dari Mahkamah Tinggi pada 19 Disember.

Dalam permohonan semakan kehakiman, Beta Tegap berkata MPS, melalui surat bertarikh November 19 tahun lepas, meminta syarikat memohon kebenaran untuk memasang tiang dan kamera AES di Km 301.7 Lebuhraya Utara-Selatan dan di Km 6.6 Lebuhraya Lembah Klang Selatan, kedua-duanya terletak di Dengkil, Sepang.

MPS, dalam surat bertarikh 6 Disember, mengarahkan syarikat itu untuk melupuskan semua kamera dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved