The Malaysian Insider :: Bahasa |
KPN sahkan penangkapan Yazid Sufaat, disyaki lakukan kesalahan keselamatan Posted: 07 Feb 2013 03:03 AM PST
Dalam kenyataan media yang diposkan di laman sosial Facebook, Ismail mengesahkan penangkapan tersebut, walaupun tidak menyebut nama Yazid. "Pada 7 Februari 2013, pihak polis telah menangkap tiga warganegara Malaysia terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan. "Siasatan dijalankan mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan. Ketiga-tiga mereka disyaki menjadi dalang utama dalam merekrut beberapa rakyat Malaysia bagi tujuan aktiviti keganasan. Siasatan lanjut sedang dijalankan," menurut kenyataan media Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipos di laman sosial Facebook. Yazid ditahan bersama pekerjanya, Mohd Hilmy Hasim, semasa sedang berniaga di kantin mahkamah tinggi Jalan Duta oleh satu kumpulan polis dari Bukit Aman, yang diketuai oleh Pegawai Penyiasat Inspektor Mani. Selepas ditahan, dia dibawa ke rumah Yazid di Taman Bukit Ampang yang kemudiannya digeledah polis. Sementara itu, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) mengkritik tindakan pihak Polis yang melakukan tangkapan menggunakan undang-undang yang membelakangkan Hak Asasi Manusia. "Hak untuk mendapat pembelaan secara adil di mahkamah merupakan hak eksklusif setiap rakyat Malaysia. Hak ini juga dijamin dalam Perlembagaan dan Kanun Acara Jenayah yang mewajibkan pihak polis membawa orang yang tertuduh ke mahkamah dalam tempoh 24 jam selepas ditahan untuk mendapat pembelaan," menurut penyelaras SUARAM, Ahmad Syukri Razab. Menurut Ahmad Syukri lagi, beliau bertanya kepada peguam Yazid, Fadiah Nadwa Fikri mengenai situasi tersebut, tetapi Fadiah berkata, polis mempunyai kuasa untuk tidak memberitahu apa-apa tentang penahanan dan penggeledahan itu. Yazid pernah ditahan di bawah ISA selama tujuh tahun kerana dikatakan terlibat dengan serangan 11 September 2001 di menara Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat. Akta Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tahun lalu setelah beliau memansuhkan ISA pada tahun 2011. Akta Kesalahan Keselamatan (langkah-langkah Khas) yang diluluskan parlimen pada Julai 2012 merupakan akta ganti kepada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Akta ini memberi kuasa besar kepada pihak polis untuk menahan orang yang dituduh sehingga 28 hari untuk tujuan siasatan tanpa melalui proses mahkamah. Orang yang dituduh juga boleh dinafikan hak bertemu peguam dalam tempoh 48 jam atau dua hari selepas ditahan. |
Polis enggan isukan surat kebenaran bedah siasat Sugumaran Posted: 07 Feb 2013 02:23 AM PST KUALA LUMPUR, 7 Feb — Pihak polis tidak memberikan surat kebenaran yang diperlukan untuk menjalankan bedah siasat baru keatas mendiang C Sugumaran, kata ketua polis Kajang ACP Abdul Rashid Abdul Wahab hari ini. Peguam mewakili keluarga mendiang awal pagi ini memberitahu pihak Hospital Universiti telah melarang Dr Pornthip Rojanasunand (gambar) daripada menjalankan bedah siasat kedua walaupun Kementerian Kesihatan telah memberikan kebenaran bertulis.
"Kami berpuas hati dengan laporan bedah siasat kedua, jadi kenapa perlu kami isukan surat kedua. Mereka yang tidak berpuas-hati dengan laporan pertama. "Saya sudah berikan kebenaran kepada mereka untuk lakukan apa saja yang mereka suka dengan mayat, jadi pandai-pandai lah," kata Abdul Rashid kepada The Malaysian Insider. Beliau kemudiaan menambah mengatakan telah memaklumkan kepada peguam untuk memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan kebenaran bedah siasat baru di Hospital Universiti dijalankan oleh Dr Pornthip. Salah seorang dari peguam keluarga, N Surendran mendakwa permintaan hospital bagi mendapatkan kebenaran polis telah dilakukan di bawah arahan daripada Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dianggapnya sebagai cubaan mensabotaj proses tersebut. "Konsisten dengan pendirian Liow, keluarga mangsa telah menerima sepucuk surat hari ini bertarikh 7/2/2013 daripada PPUM yang menolak permohonan bedah siasat kedua melainkan memperoleh arahan bertulis daripada polis," tambah peguam PKR tersebut. "Ini sangat mengejutkan dan secara terang cubaan sabotaj untuk menghalang bedah siasat kedua daripada dijalankan." Surendran menegaskan pihak polis sebelum ini enggan memberikan arahan bertulis kepada hospital untuk menjalankan bedah siasat kedua walaupun mereka berkata tiada sebarang bantahan ke atas prosedur tersebut. Surendran memberitahu, Kementerian Kesihatan juga bersetuju untuk menyediakan kemudahan yang sepatutnya di hospital kerajaan kepada Dr Pornthip. Dr Pornthip adalah ahli forensik Thailand yang memantau bedah siasat kedua Teoh Beng Hock untuk mencari kesalahan dalam kematian misteri ahli DAP itu di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor. Dr Pornthip yang juga merupakan pengarah Institut Sains Forensik Thailand, terkenal di Thailand kerana seringkali bertengkar dengan kerajaan sewaktu kempen anti dadah bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra pada tahun 2003. Beberapa saksi yang melihat Sugumaran rebah di tepi jalan berhampiran rumahnya di Hulu Langat pada 23 Januari telah menuduh polis yang menangkap Sugumaran memukulnya ketika tangan pegawal keselamatan itu masih bergari. Polis telah menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan bedah siasat dijalankan oleh Hospital Serdang telah menunjukkan Sugumaran mati kerana serangan jantung. Kematian Sugumaran dikaitkan dengan banyak lagi kes kematian yang didakwa melibatkan polis seperti kematian Chang Chin Te awal tahun ini, A Kugan dan R Gunasegaran pada 2009, serta kematian pelajar sekolah Aminulrasyid Amzah pada 2010 selain beberapa kematian lain dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini. Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Penahanan Sewenang-wenang 2010 (United Nations Working Group on Arbitrary Detention 2010) melaporkan pada 2011 bahawa antara 2003 hingga 2007, terdapat 1,500 tahanan mati ketika ditahan pihak berkuasa. Majlis Peguam, badan bukan kerajaan dan beberapa ahli politik dari kedua belah pihak telah menuntut agar Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan sejak tahun 2006 lagi. Bekas ketua polis negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan juga menggesa penubuhan badan alternatif untuk memantau polis akan tetapi beliau dengan tegas menolak IPCMC kerana menurut beliau tidak adil kepada polis. |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan