Jumaat, 8 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Penjawat awam sudah meninggal setahun antara dinaikkan pangkat di Acheh

Posted: 08 Feb 2013 01:21 AM PST

JAKARTA, 8 Feb — Seorang lelaki yang sudah meninggal dunia setahun adalah antara 422 pegawai perkhidmatan awam dinaikkan pangkat oleh Kerajaan Petadbiran Aceh baru-baru ini, mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.

Kesilapan itu hanya disedari setelah surat keputusan kenaikan pangkat para pegawai berkenaan  yang dikeluarkan itu, didapati mengandungi nama Rahmad Hidayat, yang sudah meninggal dunia.

"Kami terperanjat ada nama Rahmad Hidayat dalam pelantikan itu, padahal dia sudah meninggal  dunia pada Januari 2012. Kami tidak tahu penyakitnya, tetapi Allahyarham pernah mengalami pendarahan otak," kata seorang rakannya yang enggan menyebut nama, lapor akhbar harian  Kompas, Jumaat.

Ketua Badan Perjawatan Pendidikan dan Latihan (BKPP) Aceh, Nasrullah yang mengesahkan  kesilapan itu, percaya ia berlaku kerana pihak yang mencadangkan kenaikan pangkat pegawai  itu tidak mengetahui bahawa beliau sudah meninggal dunia.

Ketua Badan Perundangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Aceh, Abdullah Saleh berkata kesilapan  yang berlaku itu mencerminkan buruknya sistem pentadbiran pegawai dan makanisme BKPP Aceh dan perkara itu mengecewakan orang ramai dan DPR Aceh. — Bernama

Dolomite gesa kerajaan Selangor pertimbang projek kondo Batu Caves

Posted: 08 Feb 2013 01:17 AM PST

KUALA LUMPUR, 8 Feb — Dolomite Corp Bhd, pemaju projek kontroversi Batu Caves Dolomite Park Avenue Condominium, menggesa kerajaan negeri Selangor supaya mengkaji semula keputusan untuk membatalkan projek itu.

Syarikat itu menjelaskan bahawa setakat ini, tiada notis pembatalan diserahkan kepada pemaju.

Pengarah Urusan Lew Choong Keong berkata syarikat kecewa dengan kerajaan negeri kerana membatalkan kelulusan pembangunan untuk projek itu tanpa sebarang notis atau rundingan dengan pemaju.   

"Kami kecewa dengan keputusan Menteri Besar membatalkan projek berdasarkan sebab-sebab keselamatan dan perlindungan alam sekitar.

"Sejak pengumuman oleh Menteri Besar Selangor berhubung pembatalan kelulusan pembangunan yang diberikan untuk projek ini, yang kami hanya mendapat tahu melalui laporan media, Majlis Perbandaran Selayang masih belum mengeluarkan perintah pembatalan bertulis kepada pemaju yang menyebabkan kami dalam keadaan terawang-awang.

"Malangnya, dua usaha kami untuk bertemu dengan Menteri Besar untuk membentangkan penyelidikan mendalam dan penemuan kami, sebelum pengumuman keputusan itu, telah tidak dilayan," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Projek kondominium mewah 29 tingkat, Dolomite Park Avenue itu menimbulkan kontroversi memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan kuil Batu Caves, tempat tumpuan penganut agama Hindu.

Projek tersebut, dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM248 juta, juga menarik kritikan daripada banyak pihak mengenai kesan negatif pembangunan terhadap kuil Batu Caves itu dan patung Dewa Murugan, tertinggi di dunia, yang terletak di kaki bukit berkenaan.

Lew berkata disebabkan kelewatan dan pembatalan perintah pembangunan baru-baru ini, kira-kira 100 pembeli membatalkan pembelian mereka, daripada jualan awal sebanyak 293 unit, dalam bulan pertama pelancaran projek itu.

Beliau berkata kira-kira 100 pembeli, sementara itu, telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA), dengan harapan isu ini akan diselesaikan.

Pada taklimat berkenaan, syarikat perunding kejuruteraan bebas, G&P Geotechnics Sdn Bhd, mengklasifikasikan kes itu sebagai satu projek yang 'tidak membahayakan'.

Pengarah Urusannya, Dr Gue See Sew, berkata kerja-kerja pembinaan bawah tanah dan cerucuk bagi projek itu akan mempunyai kesan yang sedikit sahaja, di mana tiada langkah pencegahan spesifik diperlukan.

"Pemaju juga sedar mengenai isu-isu ini dan mereka hanya menggunakan mesin yang tidak bergetar untuk kerja-kerja seperti penggerudian dan sebagainya.

"Ini tidak akan merosakkan patung Dewa Murugan yang kedudukannya 138 meter dari sempadan projek dan kepada kuil Batu Caves, yang terletak 170 meter darinya," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved