Sabtu, 9 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Selangor tunggu laporan MPS berhubung isu kondominium Batu Caves

Posted: 09 Feb 2013 02:00 AM PST

CHERAS, 9 Feb — Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, kerajaan Selangor masih lagi menunggu laporan lengkap daripada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sama ada berlakunya pelanggaran peraturan oleh Dolomite Corp Bhd dalam pembangunan projek kondominium mewah 29 tingkat di kawasan ibadat masyarakat Hindu di Batu Caves.

Abdul Khalid menegaskan, pihak kerajaan negeri telah mengarahkan MPS untuk mengemukakan semua laporan dan permohonan, termasuk langkah-langkah yang dibuat Dolomite dalam permohonan mereka membangunkan projek tersebut yang telah menimbulkan bantahan banyak pihak.

"Kerajaan negeri telah minta pihak berkuasa Selayang untuk mengemukakan semua laporan mengenai permohonan dan juga langkah-langkah dibuat Dolomite dalam permohonan mereka.

"Perkara ini juga akan dibentangkan dalam mesyuarat perancang negeri Selangor," katanya kepada pemberita di sini, dan menambah, "kerajaan Selangor belum terima apa-apa laporan daripada MPS setakat ini."

Pemaju projek Kondominium Batu Caves Park Avenue semalam dalam kenyataannya berkata syarikat berkenaan masih belum menerima sebarang notis pembatalan projek berkenaan, sekaligus menggesa kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor menyemak semula keputusan untuk membatalkan projek tersebut.

Pengarah Urusan Dolomite Lew Choong Keong berkata, syarikat berkenaan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang membatalkan projek tersebut tanpa sebarang notis ataupun perbincangan dengan pemaju.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan menteri besar untuk membatalkan projek tersebut berdasarkan alasan keselamatan dan perlindungan alam sekitar.

"Lebih menyedihkan, dua kali percubaan kami untuk berjumpa menteri besar untuk menunjukkan kajian kami sebelum pengumuman itu dibuat tidak dilayan," katanya.

Pembangunan projek tersebut menimbulkan kontroversi apabila ia dikatakan akan mengancam kedudukan gua Batu Caves yang menempatkan kuil Hindu kerana struktur gua itu didakwa akan terancam kerana ia merupakan struktur batu kapur.

Projek dengan nilai RM248 juta yang menempatkan 293 unit juga didakwa akan memberi ancaman kepada patung Dewa Murugan tertinggi di dunia yang terletak di kaki gua tersebut.

Lew menjelaskan, telah terdapat sekitar 100 pembeli yang telah menandatangi perjanjian jual beli (SPA) yang mengharapkan kerajaan Selangor menarik balik keputusan tersebut.

Syarikat perunding kejuruteraan bebas G&P Geotechnic Sdn Bhd dalam penjelasannya mengkelaskan projek berkenaan sebagai projek yang "tidak membahayakan".

Isu Syabas: Selangor masih tunggu jawapan Pusat

Posted: 09 Feb 2013 01:35 AM PST

CHERAS, 9 Feb — Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor masih menunggu jawapan kerajaan Pusat berhubung pengumuman Menteri Besar Tan Sri  Abdul Khalid Ibrahim untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh 14 hari pada 30 Januari lalu.

Abdul Khalid (gambar) berkata, kerajaan negeri Selangor pimpinannya juga akan membuat pengumuman berkenaan segala tindakan yang dilakukan kerajaan Pusat berhubung isu air di Selangor, yang mana Syabas merupakan antara pemegang konsesinya.

"Kita masih tunggu jawapan kerajaan Pusat, saya dah beri 14 hari ... minggu depan saya akan buat pengumuman tentang apa yang dilakukan kerajaan Pusat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baru Cina di sini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sebelum ini  mendakwa Syabas gagal menjalankan tugasnya mengikut perjanjian konsesi, dan berikutan kegagalan itu Selangor mahu mengambil alih pengurusan syarikat berkenaan dalam tempoh 14 hari menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.

Cadangan kerajaan Selangor itu bagaimanapun ditolak kerajaan Pusat pada 2 Februari lalu, apabila Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor menolak permohonan yang dibuat Kerajaan Negeri Selangor untuk mengambil alih pengurusan syarikat konsesi air tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata, perkara itu tidak dapat dilaksanakan memandangkan kedua-dua pihak  gagal mematuhi perjanjian konsesi yang telah dimetrai.

Jelas Muhyiddin, pengambilalihan itu tidak boleh dilakukan kerana kerajaan Selangor tidak mematuhi beberapa perkara dalam perjanjian konsesi, termasuk membenarkan kenaikan tarif air.

"Ini tidak boleh dipertimbangkan kerana ada beberapa perkara yang substantif dan prosedur yang tidak boleh dipenuhi kerajaan negeri Selangor dan Syabas.

"Kita akan meminta pandangan muktamad daripada Peguam Negara dan Peguam Negara akan membuat keputusan muktamad," kata Muhyiddin lagi.

Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Isu-isu Air Selangor bertanggungjawab meneliti isu-isu berkaitan industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan menetapkan keutamaan untuk diselesaikan serta melaporkan keputusan-keputusan jawatankuasa kepada Jemaah Menteri.

Isu air di Selangor mula mendapat perhatian meluas apabila kerajaan Selangor dan Syabas saling menyalahkan sesama sendiri berikutan keengganan kerajaan PR negeri tersebut meluluskan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 sebaik sahaja mereka menguasai Selangor selepas Pilihan Raya Umum 2008.

Syabas juga sebelum ini telah menjawab segala dakwaan yang dilemparkan pemimpin kerajaan negeri terkaya itu di dalam akhbar-akhbar media arus perdana.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved