Isnin, 11 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Memahami kehidupan ini sebiasanya

Posted: 10 Feb 2013 03:54 PM PST

11 FEB — Seorang kenalan pernah bertanya dan meminta pendapat saya tentang masalah dan situasi yang sedang dihadapinya waktu itu yang penuh dengan tekanan dengan persekitaran dan suasana kerja yang membebankan.

Kenalan saya itu punya pekerjaan dan kehidupan yang stabil dan agak elit. Wataknya sebagai warga kota yang punya segalanya memanglah menarik. Kerja dan gaji yang lumayan juga biasanya menuntut kita fokus dan dedikasi terhadap tugasan yang diamanahkan oleh majikan kepada kita.

Pun sebagai manusia kita juga kadang-kadang pening dan tension dalam mengejar dateline dan deretan mesyuarat yang penuh dengan protokol dan formaliti. Itu belum masuk lagi bab dimaki-hamun dan sumpah seranah oleh para pelanggan juga pihak majikan yang kalau boleh mahukan kita ini sehebat dan se sempurna Superman!

Saya cadangkan beliau cuba luangkan masa dengan melepak di warung mamak, restoran biasa atau ekslusif sambil menghirup teh tarik atau kopi 'O' segar, kosongkan fikiran dengan menyaksikan panorama yang realistik dan segar di sekelilingnya.

Lakonan setiap watak disekeliling kita adalah hidup dan kita hanya perlu menjadi penonton yang "cool"!

Itulah yang dilakukannya dan kesannya beliau rasa lebih tenang dan kembali bermaya dalam menangani pelbagai rencah ragam kehidupan ini seadanya.

Di jalanan atau sekeliling kita akan lihat dan hayatilah lakonan hidup watak-watak yang sedang meraikan hidup mereka. Ada yang sedang berjalan, berlari, makan, minum, ketawa, marah dan pelbagai lagi yang kita dapat saksikan dan yang paling penting, semuanya percuma!

Kehidupan ini memanglah tidak adil untuk penghuninya. Itu kita akan katakan segala yang datang adalah ujian samada suka mahupun duka. Kita perlu cuba untuk menghargai semua itu seadanya.

Tidak adil kerana lumrah dan fitrah hidup itu sendiri memang sudah ditakdirkan begitu. Ada yang lahir ke dunia sebagai anak orang kaya, ada yang miskin, ada yang cacat, ada yang sihat, yang gemuk, kurus dan sebagainyalah.

Saya melihat seorang anak kecil dalam yang berumur dalam lingkungan 3 tahun yang wajahnya cacat dan senget berlari riang mendapatkan ibunya yang lantas mendakapnya dengan penuh kasih-sayang.

Apa yang akan jadi pada emosi si anak itu bila berumur 10 tahun nanti? Di mana rakan-rakannya mungkin akan mula mengasingkan diri dan dia akan mula faham tentang buruk dan cantik. Betapa sukarnya untuk si anak itu menyakinkan dirinya sendiri dalam menempuh hidup yang serba plastik hari ini?

Saya juga melihat penderitaan emosi seorang kawan yang anaknya yang berumur 7 tahun itu telah disahkan mengidap penyakit barah otak yang kritikal.

Betapa sukarnya untuk beliau menerima kenyataan dan takdir anaknya yang dari sihat walafiat menjadi lumpuh dan koma, terbaring di atas katil sambil setiap doa dipanjatkan ke langit agar keajaiban dan Tuhan itu mendengar keluh dan doa para makhuknya.

Jika kita seorang yang "rebel" kita akan selalu bertanya mengapa, mengapa dan mengapa Tuhan jadikan manusia itu dalam berbagai rupa, gaya dan bentuk ? Mengapa ada manusia yang kejam, ada yang baik, ada yang hipokrit dan ada yang jujur?

Akhirnya kita akan cuba mencari jalan penyelesaian dan cuba mencari jawapan dengan meneroka ruang iman dan spiritual keagamaan mahupun falsafah dalam mencari kebenaran mengikut cara, tahap faham dan fikir kita.

Melalui pengalaman yang saya lalui sepanjang hidup bergelar manusia ini dan rumusannya atas setiap persoalan itu, segalanya bergantung pada diri dan tahap kefahaman kita sendiri dalam mencari dan mengenal makna hidup.

Hidup adalah satu proses yang panjang dan tidak berpenghujung dan kita akan terus belajar untuk menghadapi bahkan menerimanya.

Lahir saja kita ke dunia, kita akan menangis kerana suka dan duka. Dunia adalah tempat untuk kita melengkapkan cerita kita yang penuh dengan kegembiraan dan kesedihan.

Kita dijadikan bukan untuk melarikan diri dari masalah, tapi menerima dan menanganinya. Paling baik jika kita masih mampu tersenyum redha tatkala Malaikat Maut datang menjemput kita pulang ke pangkuanNya.

Dan adalah sesuatu yang merugikan jika kita takut dengan kehidupan ini kerana tanpa sekeliling, kita umpama manusia yang sepi dan tidak bernyawa.

Apa guna hidup sebagai Michael Jackson jika hidup umpama di dalam penjara walau dipenuhi dengan kemewahan?

Itulah pentingnya kita perlu memotivasikan diri kita dengan mendengar lagu-lagu yang bermesej yang mampu membentuk kefahaman dan jati diri kita dalam apa juga bentuk cabangnya sekalipun, contohnya...

Dan ingatlah, kehidupan ini hanyalah sekadar pentas dan tempat singgah untuk kita bermain bersesuaian dengan watak kita.

Masalah akan sering hadir mengganggu dan menguji, jika kita terlalu merumitkan keadaan dan situasi dengan memikirkan setiap butir segala permasalahan, itu hanya akan merugikan diri kita sendiri.

Mungkin kita akan menang dalam percaturan hidup ini, mungkin juga sebaliknya. Itu lumrah kehidupan. Cuma penting untuk kita "redha" dan menerima takdir kita se adanya.

Kita perlu hidup di dunia sebagai seorang manusia yang kenal dirinya dan hidup ini, bak kata Osho, "Life is a Cosmic Joke", jadi jangan pening-pening kepala dalam memikirkan kerja Tuhan.

Cubalah belajar untuk memahami kehidupan ini seadanya dan jika kita masih mampu berketawa untuk diri sendiri mahupun kehidupan ini, kita akan duduk di dalam bahagiaNya, insyaallah.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Bagan-Narwee dan tradisi Seediq

Posted: 10 Feb 2013 03:30 PM PST

11 FEB — Bagan-Narwee bukan suatu nama yang dikenali umum. Namun, wanita berumur 80 tahun ini tekun berusaha memastikan tradisi tinggalan nenek-moyang terus terpelihara, terpulihara dan mampu diwariskan pula kepada generasi akan datang.

Saya berpeluang bertemu dengan wanita legenda ini apabila pergi ke Taiwan atas tajaan One Nusantara Sdn Bhd pada 25-31 Januari 2013. Pertemuan dan wawancara diatur oleh Koh Yok Hwa dan pemandu pelancong kami, Minai Don Lin.

Kisah sejarah 1930 disajikan dalam drama 'Warriors of the Rainbow: Seediq Bale'.

Kami — termasuk Izzat Izhar, Clay Lim Shi Min, Totoro Chang Boon Kiat dan isteri Koh — meluangkan masa bertemu dan berbual-bual bersama-sama Bagan-Narwee di bengkel/kedai kecilnya di Alang Snuwil, Ren-ai, daerah Nantou; tidak berapa jauh dari kawasan kolam air panas Lushan.

Wanita ini yang dikenali penduduk tempatan sebagai Mama Chang sangat mesra dan tidak keberatan untuk berkongsi kisah diri dan masyarakat Seediq yang diwakilinya. Masalah bahasa tidak menjadi halangan kepada wanita yang buta huruf ini untuk bercerita panjang sementara Koh menjadi penterjemah.

Secara tradisi, lelaki daripada etnik penduduk asli Taiwan ini memburu atau menanam padi bukit  sementara wanita pula menenun kain dan bercucuk-tanam. Mengikut data pada tahun 2009, terdapat sekitar 5,740 orang Seediq di Taiwan.

Peminat filem Taiwan di Malaysia mungkin sudah berpeluang menonton drama sejarah berjudul "Warriors of the Rainbow: Seediq Bale" (2011) tulisan dan arahan Wei Te-Sheng. Drama sepanjang lebih empat setengah jam itu adalah penerbitan dengan kos paling besar di Taiwan dan masih disiarkan secara bersiri di republik itu pada masa sekarang. Ia mengangkat kisah yang berlaku di Wushe pada 1930.

Mama Chang turut menceritakan mengenai perjuangan orang Seediq yang diketuai Mona Rudao selepas pegawai polis Jepun menghina seorang penduduk asli. Rusuhan berlaku dan ramai penduduk tempatan dibunuh secara kejam oleh tentera Jepun. Mona Rudao sendiri membunuh isterinya sebelum membunuh diri bagi mengelakkan tentera Jepun menangkap dan mendera mereka.

Kami mengunjungi Bagan-Narwee (baju merah) di bengkelnya.

Walaupun menghadapi masalah bahasa, saya dapat menghayati kisah-kisah baru dan lama yang cuba dikongsikan oleh Mama Chang. Beliau juga bermain alat muzik dan menyanyikan lagu tradisional sambil berbual-bual dengan kami semasa kunjungan kami pada 28 Januari 2013.

Katanya, rata-rata golongan Seediq beragama Kristian dan terus berusaha gigih memelihara tradisi yang menjadi kebanggaan. Agak menarik untuk diperhatikan bahawa semasa penjajahan Jepun di Taiwan (1895-1945), etnik Seediq dianggap sebahagian daripada etnik Atayal.

Saya melakukan sedikit pencarian di Internet dan mendapat maklumat bahawa hanya pada 23 April 2008, selepas pembetulan fakta dilakukan, kerajaan Taiwan secara rasmi mengiktiraf kumpulan Seediq sebagai kumpulan orang asli yang ke-14; sebagai tambahan kepada senarai 13 kumpulan orang asli yang sedia ada.

Menurut Mama Chang, sejak dahulu, kumpulannya melakukan pelbagai usaha bagi memastikan tradisi nenek-moyang tidak pupus ditelan zaman. Selain daripada muzium peringatan di Alan-Gluban bagi memperingati tragedi Wushe (1930), orang Seediq juga mengendalikan kelas bahasa, tenunan, muzik, tarian dan nyanyian di sekolah-sekolah rendah dan menengah sekitar Nantou.

Mama Chang sendiri terlibat secara aktif dalam segala usaha ini sejak lebih 20 tahun lalu. Beliau yang belajar menenun daripada ibunya pada usia lapan tahun, kini dianggap tokoh warisan budaya dan "penenun nombor satu masyarakat Seediq".

Katanya, kerajaan Taiwan menerusi kementerian dan jabatan terbabit amat mengambil berat serta memberi ruang dan peluang kepada masyarakat Seediq mengendalikan pelbagai aktiviti berkaitan bahasa, seni, budaya dan tradisi tinggalan nenek-moyang.

Malah, sepanjang seminggu rombongan kami menjelajah beberapa wilayah di bahagian utara, timur, tengah dan barat Taiwan, amat jelas bagaimana budaya tradisi pelbagai etnik dikekalkan dan dijadikan warisan; sekali gus tarikan pelancong. Hal ini tentu sahaja amat berbeza dengan mentaliti pihak berkenaan di Malaysia.

Muzik dan lagu tradisional dipersembahkan dengan penuh emosi.

Berbalik pada kisah Mama Chang, beliau mengakui bahawa kedai/bengkel menenun miliknya tidak mendatangkan hasil yang lumayan. Sebaliknya, beliau terus tekun mengusahakannya sebagai tanggungjawab selaku seorang anggota masyarakat dalam kelompok Seediq untuk meneruskan tradisi.

"Wang bukan perkara utama. Kegembiraan dan kebahagiaan adalah jauh lebih penting. Perkara inilah juga yang saya cuba wariskan kepada generasi muda. Saya berharap mereka akan sentiasa gembira, mengekalkan budaya tradisional, menghormati ibu bapa dan jangan berputus asa," katanya dengan spontan.

Menurut wanita yang sentiasa tersenyum dan kelihatan ceria itu, beliau hanya belajar di sekolah selama dua tahun. Namun, beliau mampu menghafaz muzik, lagu dan teknik menenun yang diajar oleh ibunya pada usia muda. Beliau juga boleh bercakap Bahasa Jepun. Mama Chang turut bekerja sebagai sukarelawan yang mengajar bahasa dan budaya Seediq di gereja tempatan sejak sekitar 25 tahun lalu. Katanya, peluang berinteraksi bersama-sama mubaligh Kristian digunakan sebaik-baiknya untuk belajar Bahasa Inggeris.

Satu lagi ciri unik yang saya perhatikan pada masyarakat Seediq adalah tatu pada wajah. Rupa-rupanya ia menjadi amalan spiritual dan sosial yang sangat penting sejak zaman-berzaman. Tatu ini tidak boleh dimiliki begitu sahaja; sebaliknya perlu memenuhi kelayakan tertentu sebelum berhak memilikinya.

Pada usia tujuh tahun, seorang kanak-kanak lelaki etnik Seediq akan menerima tatu khas pada dahi. Bagaimanapun, untuk layak memiliki tatu pada dagu, kaum lelaki pada masa lalu perlu membuktikan keberanian dan kejantanan dengan memenggal kepala musuh dan membawanya pulang.

Menurut Mama Chang, seorang gadis yang mahu memiliki tatu pada muka perlu terlebih dahulu belajar serta menguasai ilmu menenun kain. Hal ini penting kerana kain yang ditenun akan dijadikan pakaian seisi keluarga selepas gadis itu berkahwin.

Bagan-Narwee meneruskan tradisi menenun yang dipelajari pada usia kanak-kanak.

Secara tradisi, seorang individu (lelaki atau wanita) yang tidak memiliki tatu pada wajah mempunyai peluang yang amat tipis untuk berkahwin kerana mereka dianggp belum sempurna.

Berbalik pada drama "Warriors of the Rainbow: Seediq Bale", bahagian pertama dinamakan "The Sun Flag" (144 minit) dan bahagian kedua pula "The Rainbow Bridge" (132 minit). 

Jambatan pelangi ini ada kaitan rapat dengan masyarakat Seediq dan dinamakan "hakaw utux" dalam bahasa ibunda mereka. Menurut kepercayaan orang Seediq, roh nenek-moyang yang sudah meninggal dunia tinggal di suatu tempat yang hanya boleh dilalui menggunakan jambatan pelangi itu. "Utux" bermakna "roh nenek-moyang".

Masyarakat Seediq percaya bahawa hanya individu yang mempunyai tatu pada wajah boleh melalui jambatan pelangi untuk pergi bertemu dan tinggal bersama-sama roh nenek-moyang apabila meninggal dunia.

Drama "Warriors of the Rainbow: Seediq Bale" berakhir dengan alunan lagu dalam bahasa Seediq dan penghujung lagu itu saya terjemahkan begini:

Wahai anak-anak! Tahukah kamu?

Betapa banyak perit yang kamu telan

Untuk menyanyikan lagu roh nenek-moyang?

Betapa banyak malu yang kamu telan

Untuk bercakap apa yang mahu diluahkan?

Betapa banyak kesal yang kamu telan

Untuk memenuhi mimpi dan impian?

Wahai anak-anak! 

Apa yang tidak kena dengan kamu?

Wahai anak-anakku!

Apa sebenarnya yang tidak kena dengan kamu?

Demikian sebahagian kecil daripada keunikan tradisi masyarakat orang asli yang sempat saya temui dan rakamkan kisah mereka semasa kunjungan ke Taiwan. Tentu sahaja ada pelbagai kisah lain yang ingin saya kongsikan dari semasa ke semasa.

* Uthaya Sankar SB merakamkan terima kasih kepada One Nusantara Sdn Bhd yang menaja kunjungannya ke Taiwan selama seminggu.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved