Ahad, 3 Februari 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Antara Kamahl, Datuk Shake, Sudirman dan nasib

Posted: 02 Feb 2013 04:25 PM PST

3 FEB — Antara artis dari Malaysia yang berjaya mencipta nama di persada seni muzik antarabangsa yang saya kagum antaranya Datuk Shake dan Kamahl. Shake mencipta nama di Perancis dan Kamahl pula berjaya di Australia.

Jika ditanya saya tentang kejayaan Yuna di persada antarabangsa, saya akui itu namun bezanya dengan dua legenda tersebut ibarat langit dengan bumi. Apatah lagi Yuna terlebih dulu mencipta nama di sini sedangkan Kamahl juga Datuk Shake bermula dari kosong.

Apatah lagilah untuk berjaya di era tahun 60an dan 70an bukanlah satu perkara yang mudah kerana di zaman itu bukannya ada kemudahan internet.

Kamahl atau nama sebenarnya Kandiah Kamaleswaran ( lahir 13 hb nov 1934 ) membesar di Brickfield. Mula berhijrah ke Australia pada tahun 1958 sebagai pelajar dan berjaya merakamkan album pertamanya pada tahun tahun 1967 yang berjudul A Voice to Remember.

Albumnya berjaya dijual sehingga 45 juta unit di seluruh dunia dan berbagai pengiktirafan dari kerajaan Australia yang telah dikecapinya sepanjang bergelar penghibur.

Keistimewaan Kamahl adalah suaranya yang unik dari segi sebutan dan intonasinya. Kita boleh samakan beliau dengan penyanyi bersuara emas dunia seperti Nat King Cole, Engelbert Humperdink, Matt Monroe mahpun Tom Jones antaranya.

Lagu hitnya muncul pada tahun 1975 yang berjudul 'Elephant Song' yang nyata memberikan beliau kejayaan yang gilang-gemilang sebagai artis sehinggalah ke hari ini.

Kamahl sebenarnya seangkatan dengan Seniman P.Ramlee ( Tan Sri Datuk Amar Dr ) yang lahir pada Mac 1929. Cuma jika Kamahl mencuba nasibnya di sini saya rasa susah untuk beliau berjaya sebenarnya. Nasib memang memainkan peranan dalam hidup manusia.

Paling tinggi pun jika Kamahl berjaya di sini mungkin beliau akan menjadi residen artis untuk RTM seperti penghibur Zain Azman juga Julie Sudiro.

Dan yang paling malang, nasib Kamahl mungkin akan menjadi seperti P. Ramlee yang di penghujung kariernya sudah tidak dipedulikan lagi sehinggalah ke hari matinya. Selepas kematiannya pelbagai gelaran yang dianugerahkan namun apalah gunanya lagi?

Dari segi kejayaan, Kamahl lebih berjaya dan berpengaruh dari mana-mana penyanyi yang mencipta nama di negara luar walau di sini hanya segelintir yang mengenalinya.

Hijrah dan pengorbanan memang diperlukan untuk kita berjaya kerana itulah harga yang perlu kita bayar untuk sebuah kejayaan.

Saya juga kagum dengan kejayaan Datuk Shake atau nama sebenarnya Sheikh Abdullah Ahmad Bakhbereh (lahir tahun 1950) yang berjaya mencipta nama di Perancis dan negara Eropah.

Penghibur kelahiran Johor ini memulakan kariernya dengan menyanyi di pub dan kelab malam sekitar Johor Baru di awal tahun 70an dulu sebelum nekad mencuba nasib di negara Eropah yang akhirnya beliau berjaya merakamkan single pertamanya 'Tu sais je t'aime' (You Know I Love You) pada tahun 1976.

Lagu itu berjaya melonjakkan nama Shake sebaris dengan artis-artis popular Perancis.

Awal 80an Datuk Shake kembali ke Malaysia dan merakamkan album Melayu dengan judul 'Kau Bungaku'. Album tersebut berjaya dijual lebih 100 ribu unit, yang juga merupakan satu rekod jualan yang paling laris waktu itu.

Saya juga turut membeli kaset album Datuk Shake yang dijual di Pasar Malam di pekan Bruas, kampung saya. Albumnya memang laris. Tapi cetak rompaklah, harganya rm 3.50.

Di kampung mana ada jual yang original, harganya pula kalau original rm 11.90. Itu pun saya perlu menaiki bas ke Setiawan yang jauhnya 35 km dari tempat saya untuk membelinya.

Kalau tidak ada cetak rompak waktu itu, saya percaya album Datuk Shake mampu mencecah jualan sehingga 1 juta unit.

Lagu-lagu nya menjadi siulan anak muda seperti lagu hit bahasa Perancisnya yang ditukar senikatanya ke bahasa Melayu seperti lagu Umi, Lina dan Pulanglah antaranya.

Datuk Shake adalah seorang penghibur antarabangsa, itu semua kita perlu akui. Cuma album selepas 'Kau Bungaku' gagal mencapai tahap jualan yang memberangsangkan.

Album-album seterusnya juga gagal menarik perhatian pendengar sehinggalah album terbarunya yang diedarkan baru-baru ini berjudul Chameleon yang menampilkan 12 lagu baru.

Mungkin kegagalan Datuk Shake adalah kerana gagal memahami dan menyelami budaya dan tahap pemikiran masyarakat Melayu terutamanya, berbeza dengan arwah Sudirman.

Datuk Shake terlalu hebat untuk orang Melayu? Atau terlalu 'star' dan 'antarabangsa' sehingga orang Melayu merasa masih asing dengan kehadirannya, mungkin juga.

Saya tidak rasa beliau mampu mengumpulkan 100 ribu penonton untuk konsert percuma seperti yang dilakukan oleh Sudirman. Itulah bezanya penghibur rakyat dan penghibur antarabangsa.

Sudirman juga penghibur bertaraf antarabangsa walau pencapaiannya tidaklah sehebat Kamahl atau Datuk Shake, tapi Sudirman adalah produk asli 1 Malaysia dan itu yang membezakannya dengan mana-mana artis di negara ini.

Apapun saya tetap hormat akan kejayaan Datuk Shake di persada muzik antarabangsa sehingga mendapat pengiktirafan dan anugaerah 'Chevalier des art et des lettres et du merite' atas sumbangannya bahasa dan kebudayaan Perancis di Asia.

Albumnya juga berjaya dijual sebanyak 60 juta unit di seluruh dunia. Bukankah itu satu pencapaian yang menakjubkan?

* Ini pandangan peribadi penulis.

Menguruskan sensitiviti masyarakat majmuk

Posted: 02 Feb 2013 04:20 PM PST

3 FEB — Rakyat Malaysia sering kali diingatkan oleh pemimpin-pemimpin politik untuk sentiasa menjaga sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

Menurut pemimpin-pemimpin politik, langkah itu perlu bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini dalam sebuah masyarakat majmuk yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan adat resam.

Dewasa ini, sensitiviti mencakupi semua penjuru dari aspek menghormati kepelbagaian budaya sesebuah kaum, penjagaan tutur kata hinggalah kepada menjaga hati orang lain.

Tidak dinafikan saranan berkenaan ada kebaikannya tersendiri. Sekurang-kurangnya ia akan melahirkan sebuah masyarakat yang sivil, matang dan objektif.

Kelahiran sebuah masyarakat yang matang dan objektif sekaligus akan menjadikan masyarakat Malaysia lebih bersedia menerima pandangan serta luahan yang selama ini dianggap pantang untuk dibincangkan dalam lensa awam.

Namun demikian, sejak akhir-akhir ini, sensitiviti masyarakat Malaysia berada pada tahap yang membimbangkan. Ada sahaja isu-isu berbangkit yang sengaja disensasikan oleh pihak berkepentingan dengan harapan ia akan mencetuskan reaksi.

Daripada isu agama, perkauman dan bahasa, semuanya dilabel sebagai sensitif. Malahan, trend ini sudah menjadi satu ikutan dan terbawa-bawa dalam takuk pemikiran segelintir masyarakat Malaysia.

Masyarakat kita kini seolah-olah terperangkap dalam satu kerangka pemikiran ortodoks. Kita membiarkan isu ini melarat ke tahap bahaya tanpa memikirkan cara-cara untuk mengatasinya.

Lebih buruk lagi, kita nampaknya lebih gemar untuk bermain emosi dalam isu-isu sensitif. Dalam isu agama dan kaum umpamanya, pihak berkepentingan seperti pemimpin politik akan cuba memanipulasikan situasi semasa untuk mencetuskan ketidaktentuan. Ketidaktentuan dan kecelaruan pemikiran inilah yang dinanti-nantikan oleh pemimpin politik.

Kita semua sedia maklum, dalam konteks masyarakat majmuk seperti Malaysia, isu agama dan kaum memang sensitif. Ia harus diperhalusi dan ditangani dengan pendekatan yang berhemah.

Namun, apa yang perlu disedari oleh rakyat Malaysia bahawa sudah sampai masanya mereka melangkah keluar dari pemikiran jumud mengenai isu-isu sensitif.

Dalam era globalisasi ini, kita wajar melihat isu-isu sensitif secara objektif, dan bukan hanya menyapu ke bawah permaidani. Menyapu sesuatu isu ke bawah permaidani ibarat menafikan realiti. Bukan sahaja, tindakan itu tidak menyelesaikan masalah pokok bahkan hanya menambahkan masalah.

Hakikatnya, rakyat tidak perlu takut untuk membincangkan isu-isu sensitif secara berhemah kerana perbincangan secara membina akan mewujudkan satu kefahaman terhadap isu sensitif itu.

Hanya apabila kefahaman terhadap isu itu berjaya ditangani, maka tidak akan berbangkitlah persoalan mengenai sensitiviti isu yang disebutkan. Kita perlu berhadapan realiti dengan penuh berani. Kita harus melangkaui batasan sensitiviti yang terpahat dalam fikiran kita selama ini.

Selagi takuk pemikiran masyarakat masih di tahap lama dan enggan untuk berubah, maka selagi itulah masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam perdebatan isu sensitiviti.

Soalnya, sampai bilakah masyarakat Malaysia akan terperangkap dalam takuk minda yang jumud ini? Sejauhmanakah rakyat kita bersedia untuk melihat sesuatu isu dari perspektif yang lebih luas dan bukannya terbatas kepada konteks sensiviti semata-mata?

Sudah sampai masanya untuk menyahpekakan isu sensitif di hadapan kita.

Kini, pilihan terletak di tangan anda.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved