Sabtu, 2 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


11 sekolah di Lahad Datu diarah tutup sementara, kata Mohd Puad

Posted: 02 Mar 2013 01:33 AM PST

March 02, 2013

BATU PAHAT, 2 Mac — Sebanyak 11 sekolah di Lahad Datu, Sabah diarah ditutup sementara bermula semalam, susulan insiden tembak-menembak antara pasukan keselamatan negara dan penceroboh dari selatan Filipina di Kampung Tanduo semalam.

Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata dua sekolah diarah tutup sehingga Isnin ini manakala sembilan lagi ditutup sehingga Rabu depan.

"Kita memandang berat tentang aspek keselamatan pelajar serta guru dan sehubungan itu kesemua 11 buah sekolah ini diarah tutup sementara.

"Ia akan dibuka semula pada hari tersebut selepas ada jaminan daripada pihak berkuasa keadaan keselamatan di sana terkawal. Jika tidak, (sekolah) akan ditutup lagi," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Puad yang ditemui selepas merasmikan projek strategi lautan biru kebangsaan 'My Beautiful Neighbourhood' (MyBN), berkata semua sekolah terbabit akan melaksanakan sesi persekolahan ganti.

Dalam insiden pukul 10 pagi itu, dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala tiga lagi cedera parah setelah diserang oleh kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai Tentera Kesultanan Sulu. — Bernama

Putrajaya naikkan pangkat 2 komando polis yang terbunuh di Lahad Datu

Posted: 02 Mar 2013 12:46 AM PST

Oleh Mohd Farhan Darwis
March 02, 2013

Pasukan polis membawa keranda jenazah komando yang terkorban di Lahad Datu. —Gambar oleh Saw Siow Feng. PETALING JAYA, 2 Mac — Dua anggota Pasukan Operasi Khas Polis, komando Pasukan Gerak Khas, yang terbunuh dalam pertempuran di Lahad Datu, Sabah, dengan penceroboh bersenjata dari Filipina akan dinaikkan pangkat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib berkata, langkah itu bagi membolehkan balu kedua-dua anggota yang terbunuh akibat tembakan mortar itu menerima pencen yang lebih tinggi.

"Saya sudah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid (Abu Bakar) selaku wakil Ketua Polis Negara ianya sebagai pertimbangan istimewa," katanya kepada pemberita selepas menyambut kepulangan jenazah anggota berkenaan di Lapangan Terbang Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini.

Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat, 29 akan dinaikkan pangkat sebagai Asistan Supretendan Polis (ASP) manakala Koperal Sabaruddin Daud, 46 akan dinaikkan pangkat sebagai Sarjan.

"Pencen diterima balu lebih tinggi," katanya, dan menambah kerajaan juga sedang mempertimbangkan bantuan dan pemberian yang lain untuk kedua-dua keluarga mereka.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah berakhir dengan 14 terbunuh dan tiga cedera selepas pasukan keselamatan bertempur dengan penceroboh bersenjata semalam yang mendakwa mereka merupakan Tentera Kesultanan Sulu.

Dua belas anggota penceroboh Filipina dan dua komando Malaysia terbunuh dalam pertempuran tersebut.

Tiga anggota polis Malaysia turut tercedera.

Komisioner Polis Sabah Datuk Hamza Taib dipetik The Star Online hari ini berkata penceroboh Filipina itu memulakan tembakan terhadap pasukan keselamatan Malaysia.

Anak kepada pemimpin kumpulan tersebut Agbimuddin Kiram, bagaimanapun semalam berkata pihak berkuasa Malaysia memulakan tembakan.

Jumlah anggota penceroboh tersebut yang tercedera masih belum diketahui.

Portal The Philippine Daily Inquirer pula melaporkan jurucakap Kementerian Hubungan Luar Filipina Raul Hernandez hari ini berkata Duta Malaysia Mohammad Zamri Mohammad Kassim telah bertemu dengan pihak Setiausaha Kementerian Hubungan Luar Albert Del Rosario di Manila untuk memaklumkan perkara itu.

Hernandez dilaporkan berkata kerajaan Filipina masih lagi perlu mengesahkan kenyataan jurucakap penceroboh berkenaan bahawa 10 anggotanya terbunuh.

Dianggarkan 180 pemberontak Filipina termasuk 30 lelaki bersenjata menceroboh Sabah pada 9 Februari lalu dan enggan beredar, walaupun telah diarahkan oleh kedua-dua kerajaan Malaysia dan Filipina.


Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved