Sabtu, 23 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Persediaan PRU-13 lebih 90 peratus siap, kata SPR

Posted: 23 Mar 2013 01:37 AM PDT

March 23, 2013

BENTONG, 23 Mac — Semua persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), antaranya dari segi logistik, penyediaan premis dan pemilihan petugas kini berada pada tahap lebih 90 peratus siap.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pihaknya kini hanya menunggu pembubaran Parlimen dan selepas penetapan tarikh penamaan calon dan hari pengundian, baki persiapan PRU akan disiapkan sepenuhnya. "...Semua telah disediakan, termasuk undang-undang juga yang perlu dipinda, borang-borang, kemudahan ICT... pegawai-pegawai, petugas-petugas telah dikenal pasti, dilatih, diberi taklimat dan diberi latihan amal.

"Jadi semua perkara kita dah rancang dengan teliti, latihan telah dibuat, semangat telah diberi, bajet telah ada, dari segi persediaan kecuali helikopter, kapal terbang yang kita tak boleh tempah sekarang sebab bayaran dikira harian, kalau dah betul esok...akan dimaklumkan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan ucapan di majlis taklimat akhir PRU-13 bagi pegawai pengurus dan penolong pegawai pengurus Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, di Bukit Tinggi dekat sini, hari ini yang merupakan kumpulan terakhir dalam sesi taklimat ulangan PRU-13 seluruh negara.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan watikah pelantikan pegawai pengurus pilihan raya (RO) dan pegawai penolong pengurus pilihan raya bagi Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Berpuas hati dengan segala persediaan setakat ini, Aziz berharap segala persediaan dan pembaharuan yang dilakukan, digunakan pengundi, pemimpin parti dan calon-calon sebaik mungkin, seterusnya memastikan PRU-13 berjalan dengan baik.

"Saya berani jamin, PRU-13 ini tidak akan jadi yang terkotor, SPR telah berusaha sedaya upaya supaya PRU ini berjalan dengan bersih dan tidak banyak kesilapan, kita dah buat latihan berulang, perancangan yang lama dengan peralatan lengkap, mengadakan tempat mengundi yang cukup dan pindaan kepada undang-undang, peraturan dan borang, begitu juga memberi peluang mengundi kepada semua orang," katanya.

Bagaimanapun, Aziz berkata beliau sedikit kecewa dengan jumlah rakyat Malaysia di luar negara yang memohon untuk mengundi pos, di mana menurutnya sehingga semalam, hanya terdapat 5,590 permohonan.

Menyifatkan jumlah itu sebagai tidak memuaskan, beliau berkata daripada permohonan itu, sebanyak 713 ditolak kerana tidak layak antaranya disebabkan pemohon tidak berdaftar sebagai pengundi dan pengundi tidak cukup umur.

Menurut beliau, permohonan tertinggi adalah dari Australia, diikuti United Kingdom, China, Amerika Syarikat dan Qatar.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata dakwat kekal yang akan digunakan pada hari pengundian, akan diedarkan kepada negeri-negeri pada hari pembubaran Parlimen.

"Sebanyak 10,000 botol untuk undi awal, 200,000 botol untuk undi biasa...ketahanan dakwat kekal ini berbeza, untuk undi awal lebih lama dan warna botolnya pun lain," katanya.

Mengenai kebenaran setiap parti politik menyiarkan manifesto masing-masing di Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama 10 minit, beliau berkata pihaknya akan berjumpa dengan pihak Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan parti-parti politik dalam masa terdekat bagi membincangkan lebih lanjut mengenainya.

Orang ramai kini boleh melayari laman web www.PRU13.gov.my, bagi mengetahui antara lain, pusat mengundi dan maklumat penting mengenai PRU-13. — Bernama

Tindakan polis di Sabah berdasarkan perundangan negara, kata Ismail

Posted: 23 Mar 2013 01:32 AM PDT

March 23, 2013

KUALA LUMPUR, 23 Mac — Penahanan dan pendakwaan terhadap lapan rakyat Filipina berkaitan kes pencerobohan Sabah dibuat berdasarkan perundangan negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Beliau berkata polis mempunyai cukup bukti dan Jabatan Peguam Negara yang berpuas hati dengan kertas siasatan polis mengambil tindakan mendakwa mereka di mahkamah.

Khamis lepas, lapan daripada 108 individu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) dituduh di Mahkamah Tinggi Tawau di bawah Kanun Keseksaan.

Dua daripada mereka menghadapi tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong dan menjadi anggota kumpulan pengganas, empat didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas dan dua lagi dituduh cuba melindungi kumpulan pengganas.

Serentak itu Ismail menolak dakwaan Jamalul Kiram bahawa lapan individu terbabit adalah rakyat Malaysia. 

"Polis tidak akan menahan seseorang tanpa mempunyai bukti-bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tahunan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Bukit Aman, di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ismail berkata sebarang tindakan polis di Sabah adalah berdasarkan undang-undang negara ini.

Mengenai ESSCOM, Ismail berkata pelaksanaannya akan dilakukan dalam masa terdekat dengan langkah segera menubuhkan beberapa balai polis menggunakan kabin di lokasi strategik.

"Kita dah setuju strukturnya, kita dah setuju konsepnya. Saya pun sendiri dah beritahu kepada ketua menteri Sabah dan kerajaan bahawa kita nak tambah keanggotaan polis di Sabah, macam satu lagi briged di Sabah," katanya.

Mengenai mesyuarat itu, Ismail berkata antara perkara yang dibincangkan ialah program-program pada masa depan dan usaha untuk membolehkan MCPF bergerak dengan lebih berkesan.

"Kami akan aturkan strategi yang lebih padat dan strategik untuk rakyat sedar betapa pentingnya penyertaan masyarakat untuk turut sama membanteras jenayah," katanya.

Sementara itu Naib Presiden MCPF Tan Sri Lee Lam Thye berkata satu usul dibentang MCPF untuk menyampaikan penghargaan kepada semua anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

"Kami telah mengutip RM60,000 hari ini untuk tabung Wira Lahad Datu," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved