The Malaysian Insider :: Bahasa |
Dadah: Dua beradik wanita warga Iran ke tali gantung Posted: 29 Mar 2013 02:33 AM PDT SHAH ALAM, 29 Mac — Dua beradik wanita warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine yang disimpan dalam bengkung dipakai mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas. Hakim Datuk Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan. Sejurus mahkamah membuat keputusan, Fatemah Zandiyeh Mohammad, 24, dan kakaknya Tahmineh Zandiyeh Mohammad, 26, tidak menunjukkan sebarang reaksi tetapi bapa mereka yang berada di galeri awam dilihat menangis dan hampir rebah. Fatemah didakwa mengedar 1,489.8 gram methamphetamine di kawasan tuntutan bagasi, Aras 1, Balai Ketibaan KLIA, pada 11.30 pagi, 5 Mei 2011. Tahmineh pula didakwa mengedar 1,497.9 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan tarikh sama. Dua beradik itu didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Seramai lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zainal Azwar Kamaruddin sementara dua beradik itu diwakili peguam Datuk N. Sivananthan dan R.Vinothini. — Bernama |
Pengarah Imigresen dilantik pengarah ESSCOM Posted: 29 Mar 2013 02:23 AM PDT KUALA LUMPUR, 29 Mac — Pengarah Imigresen Sabah Datuk Mohammad Mentek dilantik sebagai Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mulai 1 April.
"Saya percaya kelayakan, pengalaman, pengetahuan serta kredibiliti yang dimiliki Mohammad akan membolehkan beliau menerajui ESSCOM dalam memastikan keselamatan negara dan ketenteraman awam khususnya di zon keselamatan khas ini sentiasa terjamin terpelihara melalui kemantapan tindakan penguatkuasaan undang-undang dengan mengambil kira perkembangan serta keadaan masa kini dan masa hadapan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Mohammad berkelulusan Ijazah Sarjana Sains (Statistik) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Matematik) dari Minnesota University, Amerika Syarikat. Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Dis 1992 dan dilantik sebagai Pengarah Imigresen Sabah mulai 14 Ogos 2010. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Wilayah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Wilayah Sabah, Pengarah Imigresen Wilayah Persekutuan Labuan, Setiausaha Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Kementerian Dalam Negeri, Penolong Pegawai Kewangan Negeri Perak dan Penolong Setiausaha Cawangan Perjawatan, Perkhidmatan dan Latihan, Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos. Penubuhan ESSCOM yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas meliputi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu. — Bernama |
You are subscribed to email updates from The Malaysian Insider :: Bahasa To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
0 ulasan:
Catat Ulasan