Isnin, 4 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


SPRM jangka aduan rasuah meningkat menjelang PRU-13

Posted: 04 Mar 2013 02:27 AM PST

March 04, 2013

PUTRAJAYA, 4 Mac — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  menjangkakan aduan dan maklumat yang dilaporkan kepada agensi itu berhubung rasuah akan meningkat menjelang pilihan raya umum ke-13, berbanding 2008.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata berdasarkan suasana politik sekarang dengan pelbagai isu yang dibangkitkan dan pengalaman lepas, aduan berhubung rasuah akan meningkat secara mendadak apabila tiba musim pilihan raya.

"Setiap kali pilihan raya jumlah maklumat mengenai rasuah akan meningkat, itu yang pasti. Lagi dekat, lagi banyak maklumat rasuah...(perkara) yang sudah lama pun naik balik, yang dah lupa pun dia ingatkan balik.

"Bagi kami, kami akan terima semua maklumat dan laporan itu, dan sekiranya ia kesalahan rasuah, kami akan menjalankan siasatan tidak kira siapa mereka yang ditohmah," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mengikut stastik, beliau berkata SPRM mencatatkan aduan/maklumat tertinggi pada pilihan raya umum ke-12 (2008) iaitu sebanyak 15,804 aduan/maklumat, tahun tertinggi jumlahnya sejak 2003.

Pada pilihan raya umum ke-11 jumlah aduan/maklumat rasuah ialah 11,413.

Katanya daripada maklumat yang diterima pada 2008 (15,804), seramai 603 orang ditangkap dan 208 orang dituduh di mahkamah berikutan pembukaan kertas siasatan terhadap 1,390 orang. 

Pada 2004, seramai 497 orang ditangkap dan 178 orang dituduh di mahkamah  daripada 982 kertas siatasan yang dibuka.

Mengikut stastik, sebanyak 11,765 maklumat diterima SPRM tahun lalu dan sebanyak 1,078 kertas siasatan dibuka. Hasil siasatan, 701 orang ditangkap dan 350 orang dituduh.  

Abu Kassim berkata selain SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga diberi tanggungjawab untuk menerima dan menyiasat kes-kes berhubung rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Cadangan kami ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa dan kami boleh koordinasi antara pihak SPR, PRDM dan SPRM, kerana polis juga mempunyai cawangan di seluruh negara termasuk di tempat-tempat terpencil dan mereka boleh terima laporan itu.

"Kami sudah pun buat penyelarasan, koordinasi akan dibuat dari semasa ke semasa. Kami berharap dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dengan adanya penyelarasan dan kordinasi antara SPRM, SPR dan PDRM ," katanya. — Bernama

Dr M: Kumpulan bersenjata Sultan Sulu tidak ikut ajaran Islam

Posted: 04 Mar 2013 02:22 AM PST

March 04, 2013

KUALA LUMPUR, 4 Mac — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) menyifatkan perbuatan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu dan Semporna, Sabah sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

Beliau berkata kumpulan itu bertindak ganas sehingga menyebabkan pertumpahan darah dan kehilangan nyawa lapan anggota pasukan keselamatan negara dalam dua kejadian berasingan di kedua-dua lokasi serangan itu.

"Kita cuba nak selesaikan perkara ini tanpa pertumpahan darah, tetapi kita dapati orang Sulu ini ganas, mereka bukan sahaja membunuh askar kita tetapi cederakan orang yang sudah mati.

"Kononnya mereka orang Islam tetapi perbuatan mereka tidak mengikut kehendak agama Islam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan 'Global Muslim Conference on Unity and Economy' anjuran Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (MCCM) di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata kerajaan perlu mengambil tindakan segera supaya dapat mengalahkan kumpulan penceroboh itu dan menghadapkan mereka ke mahkamah kerana membunuh.

Beliau juga khuatir situasi akan menjadi lebih buruk kerana kumpulan penceroboh ini akan tetap meneruskan keganasan mereka secara berpanjangan walaupun akan kalah dalam pertempuran.

"Saya khuatir apabila kita lihat apa yang berlaku di Filipina, bila ada pemberontakan daripada rakyat mereka, ia berpanjangan dan tidak mudah dihentikan.

"Sebab itu saya harap kerajaan akan mengambil tindakan yang keras dan tegas supaya tidak berlarutan," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga anggota pasukan keselamatan yang terkorban dalam insiden itu.

Sementara itu Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan meminta kerajaan Malaysia menamatkan segera pencerobohan bersenjata itu yang sama sekali tidak menghargai nyawa pasukan keselamatan negara.

"Lapan nyawa sudah terlalu ramai bagi Malaysia. Malaysia negara yang aman damai dan menghargai setiap nyawa. Penceroboh bersenjata berkenaan tidak mempunyai sebarang belas kasihan dan tidak tahu menghargai nyawa manusia. Mungkin bagi penceroboh korban lapan nyawa masih terlalu kecil.

"Umno berdoa supaya tidak ada lagi kemalangan jiwa ekoran tragedy pencerobohan itu selepas ini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan delegasi 11 anggota Pergerakan Belia Malaysia-Palestin dari Gaza di Menara Datuk Onn di sini.

Sementara itu di SEMPORNA, penduduk tempatan terutamanya yang bergantung hidup dalam industri pelancongan berharap konflik bersenjata itu dapat ditamatkan segera kerana kejadian itu menjejaskan pendapatan mereka.

Mahlul Abas, 45, berkata konflik bersenjata yang berlarutan hampir sebulan itu ternyata menjejaskan industri pelancongan terutama di Semporna yang terkenal dalam menguruskan pelancong dari dalam dan luar negara ke Pulau Sipadan dan Pulau Mabul.

"Setiap tahun Semporna menerima pelancong kira-kira 50,000 orang jadi apabila berlaku konflik bersenjata ini ia ternyata menjejaskan mata pencarian kami," katanya.

Beliau yang mengusahakan agensi bot dan kemudahan menyelam kepada pelancong mengakui sukar menjalankan perniagaan secara aman kerana sentiasa perlu mengutamakan keselamatan dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak diserang penceroboh.

Siti Salwa Hassan, 49, berkata, beliau kini terpaksa berpindah sementara ke rumah saudara selepas kejadian serangan berbalas tembakan malam kelmarin dan akan hanya pulang ke rumah setelah keadaan pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu, Bernama difahamkan penduduk tempatan, kesemua sekolah di daerah Semporna diarah tutup sejak jumaat lepas, sejak konflik tercetus.

Seorang pelajar Mohd Nusairi Umar, 17, berkata dia tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan keadaan semakin membimbangkan.

"Saya tidak pergi ke sekolah hari ini sebab sekolah sudah ditutup, lagipun bas sekolah pun tiada, jadi bagaimana mahu saya ke sekolah," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved