Ahad, 10 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Mamat Khalid dan muzik rock

Posted: 09 Mar 2013 04:11 PM PST

March 10, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

10 MAC — Anda sudah menonton filem terbaru Mamat Khalid "Rock Oo!"? Ramai kawan yang bercerita tentang filem ini dan ramai yang menyukainya. Tahun ini memang tahun Mamat Khalid. Filem lawaknya yang baru ditayangkan untuk tahun 2013, "Husin, Mon & Jin Pakai Toncit" berjaya mengaut RM4 juta sepanjang seminggu ditayangkan.

 Jika kita menonton filem "Almost Famous" yang diterbitkan pada tahun 2000 arahan Cameroon Crowe juga filem Rockstar ( 2001 ) arahan Stephen Herek, boleh lah kita kata filem "Rock Oo!" ada persamaan dari segi mood dan mimpi anak-anak muda yang bercita-cita mahu  menjadi  rockstar.

Mamat Khalid atau nama sebenarnya Mohamad bin Mohamad Khalid adalah pengarah filem dan penulis lakon layar kelahiran Ipoh, Perak yang berpengaruh di negara ini. Filem-filem komedi arahannya banyak yang meletup dan bertaraf box-office. Komen-komennya yang berkualiti dan bijak di program Maharaja Lawak sentiasa ditunggu peminat.

Berbalik tentang filem terbaru Mamat "Rock Oo!", ramai kawan yang suka filem tersebut sebab kami membesar di zaman kegemilangan Rock 80an dan 90an dulu. Itu antara musim yang paling menarik bagi anak-anak muda yang berambut panjang, seluar ketat dengan jaket kulit.

Kalau ada konsert atau pertandingan rock atau Battle of the Band waktu itu, berduyun-duyun mat rock kental datang dengan bas dari kampung untuk menuju ke pekan Ipoh. Memang meriah zaman itu.

Kalau di Perak, band rock yang popular seperti SYJ, Sofea dan MAY. Kalau di Johor itulah seperti Search dan Left-Handed.

Kalau di Perak juga, tempat lepak mat rock yang terkenal adalah di Ipoh. Lokasinya di Bazaar Bulat atau Plaza Yik Foong yang lokasinya berdekatan dengan kompleks Super Kinta. Kebanyakan anak muda waktu itu akan berbangga dengan gelaran mat rock.

Maka ramailah mat-mat rock dari kampung yang datang ke Kuala Lumpur berbekalkan cita-cita untuk menjadi pemuzik rock yang merakamkan lagu ke piring hitam. Ada yang hampa dan ada yang berjaya. Untuk hidup di Kuala Lumpur mereka bekerja di kilang-kilang sambil memasang impian.

Kumpulan muzik rock era baru tidak ada aura, karisma dan mistik. Itu komen pemuzik Gene Simmons ( pemain bass kumpulan KISS). Kalau kita lihat band-band rock 70an dunia seperti Purple, Led Zep, Iron Maiden dan Black Sabbath antaranya, karisma dan nilai mistik yang ada dalam diri dan lagu-lagu mereka saja sudah cukup membuat para peminat histeria dan menjerit-jerit tatkala kumpulan muzik pujaan mereka beraksi di atas pentas.

Saya juga peminat muzik rock dari dulu sampai sekarang. Cuma bagi saya era terbaik adalah era rock 70an. Cuma saya tidaklah terikut dengan imej rock. Dalam rock ada banyak cabang dan alirannya, saya sukakan kumpulan muzik yang ada elemen progresif, psychedelic, folk dan blues dan ada elemen punk juga seperti band King Crimson, Yes, Rush, Pink Floyd, Queen, Styx, Alan Parsons Project, Police, Iron Butterfly, Emerson, Lake & Palmer antaranya.

Biasanya dalam satu-satu kumpulan rock , yang paling popular adalah penyanyi dan pemain gitar utama. Yang selalu buat masalah pun mereka inilah. Cuma di Malaysia dalam kumpulan rock,hanya penyanyi saja yang popular, pemuzik lain agak tidak penting sebab kalau penyanyi beralih ke solo, mereka masih boleh menggunakan khidmat pemuzik undangan.

Karya Mamat Khalid pertama yang saya tonton adalah tele-movie arahannya yang disiarkan di NTV7 tahun 2000 dulu yang judulnya "Mat Nor Kushairi & The Velvet Boys" lakonan Bront Palarae dan Along Kamaruddin. Apa yang saya perhatikan beliau memang menitikberatkan tentang karakter watak-watak dalam karyanya.

Seperti pertama kali saya ketawa pecah perut tatkala menonton filem arahan Tan Sri P. Ramlee. "Seniman Bujang Lapuk" di TV awal tahun 80an dulu, begitulah juga bila saya menonton drama "Mat Nor Kushairi& The Velvet Boys".

Kita boleh lihat watak-watak ciptaannya yang unik dan menghiburkan dalam setiap karyanya. Yang paling menonjol antaranya watak Usop Wilca dalam filem box office nya Hantu Kak Limah yang berjaya mencecah kutipan 7.9 juta sepanjang tayangan di Pawagam.

Ini mengingatkan saya tentang filem-filem arahan pengarah filem Jepun yang terkenal dan bertaraf legenda , Akira Kurosawa ( lahir 23 Mac 1910 dan meninggal dunia pada 6 September 1998 ).

Kita boleh tonton watak-watak yang menarik lakonan para pelakonnya yang hebat seperti Toshiro Mifune. Antara filem-filem Kurosawa yang menarik bagi saya seperti Ran, Seven Samurai, Rashumon dan filem samurainya, Yojimbo juga Sanjuro.

Menariknya walau watak pelakon tambahan sekali pun tanpa dialog, karakter dan penghayatan mereka walau dalam babak tak sampai 30 saat pun sangat berkesan. Itulah istimewanya hasil karya Kurosawa.

Saya adalah peminat lakonan pelakon legenda Jepun, Toshiro Mifune. Beliau adalah seorang pelakon yang ada karakter yang bagi saya taraf hebatnya sama dengan legenda filem Hollywood Marlon Brando.

Kalau di Malaysia pelakon yang ada karakter yang saya salut itulah seperti pelakon-pelakon di Jalan Ampas antaranya Ahmad Nisfu, Udo Umar, Nordin Ahmad. Kalau di era 70an saya suka lakonan Ahmad Yatim dan Khalid Salleh. Untuk era masa kini saya rasa Namron dan Faizal Hussein adalah antara yang terbaik. Filem lakonan mereka Bunohan banyak menggondol anugerah di Festival Filem Malaysia yang ke-25 (FFM 25)yang berlangsung baru-baru ini.

Drama atau filem-filem arahan Mamat Khalid dari segi idea dan trademarknya sama saja. Kita boleh tahu itu filem Mamat Khalid. Seperti kita lihat teknik permainan gitar Malmsteen , dari album pertamanya sampailah ke album yang seterusnya memang sound dan gayanya sama, tapi adakah kita punya idea dan mampu melakukannya dan bermain seperti beliau?

Seperkara, selain "timing" yang sesuai, memang ini era Mamat Khalid dan beliau memang berhak mendapat gelaran pengarah yang ada "style". Filem arahan beliau ada elemen "rugged" dan itu yang membezakan filem lawak arahan Mamat Khalid dengan filem lawak Melayu yang lain.

Seperti para pelakon hebat sepeti Brat Pitt yang berbangga dapat berlakon di bawah arahan pengarah Quentin Tarantino tanpa berkira pasal bayaran, begitu juga saya melihat ramai pelakon kita juga sanggup berlakon di bawah arahan Mamat Khalid tanpa berkira sangat soal bayaran yang tinggi sesuai dengan standard mereka.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis

Ambil iktibar disebalik insiden Lahad Datu

Posted: 09 Mar 2013 04:06 PM PST

March 10, 2013

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

10 MAC ― Insiden pencerobohan kumpulan bersenjata dari selatan Filipina pada 9 Februari lalu di Lahad Datu, Sabah nyata satu kejutan besar kepada semua rakyat Malaysia.

Bukan sahaja ia merobek segala mitos bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang selamat bahkan juga mendedahkan betapa rapuhnya kawalan keselamatan di kawasan sempadan dan perairan.

Insiden itu bagaikan satu "wake up call" buat pasukan keselamatan negara. Ia memberi satu mesej jelas kepada pasukan keselamatan bahawa bahaya ada sahaja di mana-mana dan boleh berlaku pada bila-bila masa.

Lebih penting lagi, insiden berkenaan juga menguji kemampuan pasukan keselamatan negara seperti polis dan angkatan tentera untuk berhadapan dengan situasi genting sebegini.

Syukur, selepas lima hari Ops Daulat dilaksanakan, pasukan keselamatan berjaya membunuh 53 anggota penceroboh manakala anggota polis yang terkorban dalam pertempuran masih kekal pada 8 orang.

Operasi mopping dan penggeledahan yang dilakukan oleh PDRM dan ATM menampakkan hasil memberangsangkan biarpun dilaporkan perlahan.  Harus diingat musuh yang ditentang itu bukan calang-calang musuh. Sebaliknya, mereka adalah anggota-anggota pejuang yang sudah begitu masak dengan keadaan persekitaran di Sabah.

Serangan yang dilancarkan oleh kumpulan penceroboh terhadap pasukan keselamatan negara nampaknya bukan berlaku secara kebetulan. Tetapi dipercayai kumpulan berkenaan sudah pun merancang serangan jauh lebih awal.

Mujur mereka yang menceroboh hanyalah dalam lingkungan ratusan tetapi jika bilangan itu mencecah ribuan, ia akan mengundang masalah besar buat pasukan keselamatan negara. Strategi yang diguna pakai sekarang mungkin perlu diubah.

Apabila kedengaran segelintir pemimpin politik mempertikaikan sumbangan pasukan keselamatan dalam krisis di Lahad Datu, ia sesuatu yang cukup dikesali. Jelas perbuatan mereka tidak kena pada tempat dan masa. Ia juga tidak sensitif kepada perasaan anggota keluarga pasukan keselamatan yang terkorban.

Yang pastinya, ini bukanlah masanya terbaik untuk menuding jari dan menuduh pihak tertentu mendalangi pencerobohan dengan harapan untuk meraih undi simpati. Memang benar Pilihan Raya Umum ke-13 bakal diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, tetapi janganlah ada yang sanggup menggadai maruah untuk melakukan sesuatu yang merendahkan martabat diri.

Apa yang lebih penting sekarang ialah untuk mencari kebenaran serta punca bagaimanakah pencerobohan tersebut boleh berlaku serta langkah-langkah untuk mengatasi masalah itu. 

Langkah ini perlu bagi mengelakkan berulangnya tuntutan kewilayahan seperti mana yang didesak oleh Sultan Sulu. Jika hari ini, Sultan Sulu boleh menuntut Filipina, apakah selepas ini Thailand pula akan menuntut negeri-negeri Utara di Semenanjung? Apakah reaksi kita juga sama seperti kes lain?

Kita perlu belajar dari sejarah. Melalui sejarahlah, kita mempelajari kesilapan kita dan berubah menjadi seorang yang lebih matang dan kuat. Perkara yang sama harus diaplikasikan dalam isu pencerobohan kumpulan bersenjata di Lahad Datu ini.

Kita tidak boleh ambil remeh terhadap pencerobohan kumpulan bersenjata Sulu ini. Biarpun anggota mereka tidak banyak, tetapi kemampuannya untuk membunuh 8 anggota polis semasa pertempuran bukti musuh ini cukup berbahaya.

Pasukan keselamatan negara harus bersedia untuk berhadapan dengan ancaman musuh yang jauh lebih hebat daripada kumpulan Sulu itu di masa hadapan. Untuk itu, mereka harus dipersiapkan dengan kemahiran peperangan dan senjata yang lebih canggih.

Di pihak rakyat Malaysia pula, mereka tidak boleh terlalu yakin dan berpandangan bahawa segala-galanya adalah baik. Kecenderungan untuk kebanyakan rakyat Malaysia berfikir bahawa Malaysia sebuah negara bertuah dan tidak akan berlaku apa-apa bencana adalah tidak bertempat. Malapetaka  boleh menimpa ketika kita tidak menyedarinya. Rakyat di negara ini seharusnya lebih peka dan bersiap-siaga untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Ancaman musuh terhadap negara selepas ini tidak semestinya hadir dalam bentuk senjata api atau pencerobohan. Berkemungkinan besar ia hadir dalam bentuk yang lebih halus dan secara tidak langsung. Inilah yang ditunggu-tunggukan oleh musuh.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu turut memberi pengajaran kepada pasukan keselamatan negara untuk lebih bersedia dan meningkatkan kesiapsiagaan ke tahap maksimum di masa hadapan. Dalam erti kata lain, sentiasa berwaspada dengan segala ancaman yang timbul baik di kawasan perairan, darat mahupun udara. Tingkatkan kawalan dan pengawasan sepanjang masa. Jangan biarkan musuh-musuh kita memasuki negara ini tanpa kita sedari.

Insiden pencerobohan di Lahad Datu ini adalah peringatan penting kepada pasukan keselamatan negara, rakyat dan pemimpin negara ini bahawa ancaman musuh boleh berlaku sepanjang masa. Terpulanglah kepada kita untuk memastikan kedaulatan negara tidak terancam.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved