Ahad, 17 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Pemain-pemain bola negara kita lemah ketahanan mental?

Posted: 16 Mar 2013 05:53 PM PDT

March 17, 2013

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

17 MAC — Sejak kebelakangan ini, sukan bola sepak negara mengalami tempoh yang sukar dan mencabar. 

Bukan sahaja sukan bola sepak negara digemparkan dengan kemungkinan pemain mengatur perlawanan bahkan kedudukan atau ranking skuad Harimau Malaya terus merudum. 

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, FIFA beberapa hari lalu telah mengeluarkan ranking terbaru dunia. Dalam ranking terbaru itu, kedudukan skuad Harimau Malaya terus merudum daripada kedudukan 159 hingga ke-164 dunia. 

Puncanya bertitik-tolak daripada prestasi hambar pasukan kebangsaan sejak akhir-akhir ini.  Perkembangan terbaru itu membuktikan usaha pengendali Datuk K. Rajagobal untuk membawa kembali kegemilangan ke dalam sukan bola sepak negara masih jauh dari genggaman. 

Namun dalam suasana suram dan muram itu, terpancar sinar harapan yang menjanjikan seribu satu harapan kepada pemain-pemain negara.  Jika tahun lalu, negara dikejutkan dengan penghijrahan pemain sensasi, Nazmi Faiz Mansor ke kelab bola sepak Portugal, Beira Mar…kali ini dua lagi pemain skuad Harimau Muda iaitu Wan Zack Haikal dan Wan Zaharul Nizam diintai oleh kelab bola sepak Jepun, FC Ryukyu. 

Sesungguhnya, minat dan kesediaan kelab bola sepak asing untuk mendapatkan khidmat pemain-pemain negara satu pengiktirafan besar kepada kemampuan pemain negara. Lebih penting lagi, ia satu penyuntik semangat kepada FAM bahawa segala dasar dan perancangan bola sepak akar umbi tidaklah seburuk seperti yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Bermakna juga, perancangan yang dilakukan FAM sekurang-kurangnya berada di landasan yang betul. 

Jika dilihat secara mendalam, perkembangan ini satu trend yang amat signifikan dalam sejarah sukan bola sepak negara. Setahu penulis, ia tidak pernah berlaku dalam sukan bola sepak negara. Legenda bola sepak negara seperti Allahyarham Mokhtar Dahari dan Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat sudah pasti berbangga dengan berita tersebut. 

Biarpun kelab yang berminat itu bukanlah kelab-kelab ternama seperti Liverpool atau Manchester United, namun jangkaan pemain tidak harus terlalu tinggi. Ada baiknya jika pemain-pemain negara diberi pendedahan awal di kelab-kelab tidak ternama dahulu bagi membolehkan mereka berupaya menangani tekanan beraksi di peringkat yang lebih tinggi. 

Tawaran untuk bermain di kelab Liga Portugal, Beira Mar ternyata sukar untuk dilepaskan. Tawaran untuk mencipta nama di negara orang seperti Eric Cantona, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo pastinya bermain-main dalam fikiran Nazmi, Wan Zack dan Zaharul Nizam. 

Hanya ada dua kemungkinan dalam situasi ini. Pertama sama ada berakhir dengan kegagalan ataupun berakhir dengan kejayaan. Dalam konteks ini, tidak ramai pemain yang mampu menangani tekanan seperti bekas pemain kebangsaan negara, Lim Teong Kim. Bukan sahaja Teong Kim mencipta nama dengan pasukan Kuala Lumpur lewat 80an, beliau kemudiannya menjadi pemain negara pertama bermain di Liga Eropah bersama dengan Kelab Hertha Berlin dari Jerman pada 1987. Beliau kemudiannya dilantik sebagai penolong jurulatih bawah 19 tahun Bayern Munich. 

Nyata, keputusan Faiz untuk kembali ke tanah air tidak sampai setahun bersama Beira Mar mengundang pelbagai persoalan mengenai disiplin dan ketahanan mental pemain-pemain negara untuk menyinar di pentas antarabangsa. 

Hingga kini, Faiz tidak mendedahkan sebab mengapa beliau memendekkan kontraknya bersama Beira Mar. Adakah beliau tidak biasa dengan keadaan persekitaran di Portugal? Mungkinkah teknik-teknik latihan terlalu sukar buat dirinya? Ataupun mungkinkah juga beliau mempunyai masalah disiplin? Persoalan ini hanya Faiz sahaja yang dapat menjawabnya. 

Untuk menyinar di pentas antarabangsa, pemain-pemain bola negara harus bersiap siaga dalam semua aspek, fizikal, mental dan emosi. Mereka harus ketepikan masalah peribadi. Mereka juga tidak harus membiarkan emosi mengawal mereka. Lihat sahajalah kepada legenda bola sepak dunia seperti Pele, Maradona dan Bobby Charlton. 

Mereka juga pernah berada dalam keadaan yang dialami oleh Faiz. Namun berkat kesungguhan, kecekalan dan kemampuan untuk mengawal tekanan, mereka dijulang sebagai antara pemain bola sepak terbaik dunia. Mereka tidak memberikan alasan untuk mengelak daripada berhadapan dengan masalah yang dihadapi sebaliknya menghadapinya dengan penuh keberanian. 

Pendek kata, peluang keemasan tidak datang bergolek. Sama ada pemain-pemain negara menyambar peluang itu ataupun melepaskannya begitu sahaja. Faiz telah kehilangan peluang keemasan itu tetapi kini pintu keemasan terbuka untuk dua pemain negara… Wan Zack dan Zaharul Nizam. 

Kepada Wan Zack dan Zaharul Nizam, rebutlah peluang ini untuk menimba pengalaman berharga di negara luar. Tidak ramai pemain yang berkesempatan untuk bermain di Jepun apatah lagi diintai oleh pasukan lawan. Mereka harus berbangga kerana FC Ryukyu mengiktiraf kebolehan mereka. 

Ramai mengatakan pemain-pemain bola sepak negara kita kurang keyakinan. Nah…inilah masanya untuk Wan Zack dan Zaharul Nizam membuktikan kepada dunia bahawa ia tidak seburuk yang digambarkan. Buktikan bahawa Malaysia,  sebuah kuasa besar bola sepak di Asia satu ketika dahulu masih mampu melahirkan bakat-bakat bola sepak yang terpendam. 

Seluruh rakyat Malaysia kini mendoakan kejayaan anda berdua. Jangan hampakan harapan seluruh rakyat Malaysia. Buktikan rakyat Malaysia boleh berjaya di mana-mana. Jika Nicol Ann David dan Lee Chong Wei berupaya mencapai kejayaan cemerlang dalam sukan yang diceburinya, tidak ada sebab mengapa pemain-pemain bola sepak negara kita tidak boleh berbuat demikian? 

* Ini pandangan peribadi penulis.

Praktikal itu lebih bermakna dari hanya sekadar teori semata

Posted: 16 Mar 2013 05:49 PM PDT

March 17, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

17 MAC — Saban hari di KL Sentral saya akan melihat dan memerhatikan kelibat dan gelagat seorang pakcik tua yang berumur dalam lingkungan awal 70an yang akan membawa seorang budak lelaki berumur dalam lingkungan awal belasan tahun, yang saya kira itu mungkin cucunya. 

Mereka akan berjalan di setiap sudut bangunan KL Sentral seakan mencari sesuatu. Apa yang dicari saya tidak pasti. Kadang-kadang bila terjumpa syiling 5 sen atau 10 sen, pakcik dan cucunya itu akan tersenyum puas seolah berjumpa ketulan emas dan cucunya akan ketawa keseronokan. 

Setiap kali lalu juga mereka akan melihat saya sekali pandang, yang mungkin mereka hanya menganggap saya dan manusia sekeliling hanyalah sekadar objek cuma. Dunia dan bahagia mereka sangat minimum, pun itu sudah mencukupi untuk melengkapi takdir perjalanan mereka untuk hari itu. 

Mereka tidak perlukan seketul jongkong emas atau ratusan ringgit untuk mencapai tahap bahagia. Mereka juga tidak perlukan beraneka jenis pakaian untuk bergaya. Setiap hari mereka akan memakai pakaian yang sama saja. Mereka hidup dalam dunia mereka yang tersendiri. 

Mereka juga mungkin tidak faham dan tidak ambil tahu pun tentang pergolakan yang sedang berlaku di Lahat Datu, tentang berapa orang yang sudah mati, atau siapa pun yang menang dalam perlawanan bolasepak antara Real Madrid atau Manchester United yang berlangsung malam tadi. 

Yang pasti tidak kira samada Kerajaan Pakatan atau pun Kerajaan Barisan Nasional yang memerintah seslepas PRU13 ini, mereka akan tetap menyusuri jalan dan cerita takdir yang sama, kerana kepentingan yang mereka ingin dan angankan sangatlah sederhana dan seadanya. 

Mereka hanya akan berjalan menyusuri sudut demi sudut di bangunan tersebut tanpa jemu untuk melengkapi rutin hidup yang dijalani. Bayangkan jika hanya nilai 10 sen itu sudah mencukupi dan buatkan mereka tersenyum puas, bukankah itu yang semua kita perlukan, yakni kebahagiaan? 

Bezanya antara mereka dan kita ialah dari segi kehendak dan nafsu. Berapa banyak hasil dan keuntungan yang kita kaut dalam sehari pun tidak akan mencukupi bahkan ia seakan virus yang merayap ke dalam otak, buatkan kita tidak lelap mata dan menjadikan kita jenis manusia yang tidak pernah merasa puas dan bersyukur dengan apa yang telah dan sedang kita miliki. 

Nyatalah mereka sedang berada di dalam peluk kasih sayang Tuhan. Setiap kali memerhatikan gelagat mereka hati saya akan tersentuh kerana sifat kita yang sering melabel tahap sempurna dan kekurangan seseorang. 

Yang pasti walau saya tidak tahu apa yang akan mereka lakukan selepas melepasi pintu KL Sentral dan seperti apa yang saya sering lihat, saya yakin takdir hidup mereka adalah yang terbaik sekurang-kurangnya untuk diri dan kehidupan mereka sendiri. 

Nafsu yang berlegar di fikiran mereka sangat minimum. Makan mereka hanya sekadar kenyang dan minum mereka mungkin hanya air masak sedang kita yang sentiasa inginkan kesedapan dan kepuasan tahap maksimum tanpa kita sedari kita juga sedang menghukum jiwa kita sendiri. 

Kita? Seperti yang kita lihat diri kita sendiri. Apa yang sedang kita lakukan untuk kehidupan dan kesenangan kita? Kita akan pastikan duit untuk berbelanja itu sentiasa cukup dan kalau boleh biarlah berlebihan,  untuk simpanan itu juga sentiasa ada setiap masa untuk masa depan anak dan keluarga kita pula. 

Kita sentiasa memikirkan duit, duit dan duit. Pun walau kita selang-selikan dengan rutin ibadat kita sekadar syarat yang kita tidak pernah menyekutukan kebesaran dan takdirNya, pun itulah yang paling kita cintai, duit dan kuasa. 

Sudahnya kita seakan dalam ketakutan dan resah setiap masa. Kehidupan yang memerlukan kita bekerja untuk terus hidup ini buat kita seakan sebuah mesin yang sedang bekerja. Kita terpaksa mencari duit untuk segala bil dan hutang-hutang yang perlu dijelaskan setiap bulan. 

Saya melihat dan berpendapat ada masanya orang gila atau yang tak cukup waras itu lebih kaya dan berbahagia dari orang yang gila wang dan kuasa. Orang gila perjalanan takdir mereka sudah direncanakan. Kita walau sudah direncanakan, pun sambil kita meniti, kita kaut tanpa mengira benar atau salah mengikut kehendak nafsu kita saja. 

Anak saya yang autisma yang hari ini umurnya sudah menjangkau 14 tahun itu rutin hidupnya sangat mudah. Bangun pagi, mandi, bersarapan. Masuk dalam kereta dia akan minta pasangkan lagu ' Rock you like a Hurricane' dendangan kumpulan Scorpions. Pulang dari sekolah dia akan mandi dan makan makanan kesukaannya, sup ayam. Selepas itu dia akan menenangkan fikiran di dalam bilik sambil membelek-belek buku Dinasour nya. Begitulah sehingga ke malam rutinnya berlangsung. 

Kalau dia rasa mahu mendengar radio, dia akan pasang siaran kesukaannya ' Light n Easy'. Kalau dia mahu melukis dan menulis di komputer, dia akan melakukannya. Rumah, ketenangan dan rutin sudah cukup melengkapkan cerita bahagianya. 

Rm 1 ringgit atau rm 100 ringgit sama saja nilainya pada dia. Yang penting baginya makan minum cukup dan rutinnya tidak terganggu, itu sudah cukup membahagiakannya. Klimaksnya apabila lagu kesukaannya di radio berkumandang, dia akan melompat keseronokan dan sehabis saja lagu tersebut ke udara, anak saya itu akan menutup radio dan kembali ke biliknya. 

Sering juga sewaktu saya sedang bernyanyi dan bermuzik, datang seorang nenek tua berumur dalam lingkungan pertengahan 70an saya rasa, menghulurkan sumbangan dalam seringgit dua ke dalam kantung beg gitar saya. Saya pun tidak sampai hati sebenarnya untuk menerima sumbangannya memandangkan keadaannya pun bukanlah dari kalangan dari orang yang berkemampuan sangat, tapi niat ikhlas seseorang itu hanya Tuhanlah yang tahu. 

Jika kita selalu berkunjung ke Baitul Mal, kita akan melihat ramai para warga marhaen menunggu giliran untuk menerima bantuan barang-barang keperluan harian seperti beras, gula, Milo, biskut antaranya. 

Ada yang sambil mendukung anaknya yang sedang tidur, tangan yang satu lagi memegang sebungkus ais kosong dan berbual-bual dengan kawannya yang juga minum ais kosong. Pun kita boleh lihat mereka masih boleh berketawa riang dan memang mereka sedang menerima takdir hidup yang seadanya. 

Di jalanan ada banyak cerita yang realistik, tidak pura-pura. Kita tidak perlu berguru segala macam ilmu akhirat untuk memahami cerita dan masalah dunia. Kita cuma perlu mengenal makna kehidupan itu sendiri dan menggauli dalam bentuk yang kita faham dan saya percaya kita akan mendapat banyak ilmu dan pelajaran di situ. Praktikal itu lebih baik dari sekadar teori.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved