Ahad, 31 Mac 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Pak Non dalam kenangan (1942-2013)

Posted: 30 Mar 2013 05:35 PM PDT

March 31, 2013

Markus works in research now but was a journalist with Utusan Malaysia

31 MAC — Awal minggu ini, dunia kewartawanan dan penyiaran negara telah kehilangan dua tokoh berbakat.

Seorang daripadanya berkecimpung dalam penyiaran radio manakala seorang lagi pula dalam dunia persuratkhabaran.

Kedua-dua tokoh ini mempunyai auranya yang tersendiri. Satu menerusi suaranya yang ke udara di Radio 4 menerusi program "Memories Are Made of These". Sementara seorang lain pula menggunakan pena sebagai alat untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat menerusi ruangan mingguannya dalam akhbar The Sun.

Ya, penyampai radio terkenal tanah air, Alan Zechariah dan tokoh wartawan veteran, Zainon Ahmad atau Pak Non telah meninggalkan kita buat selama-lamanya.

Sudah pasti, pemergian dua tokoh terkemuka ini merupakan satu kehilangan besar kepada industri penyiaran dan persuratkhabaran tanah air. Apa tidaknya, masing-masing telah banyak berjasa kepada industri yang diceburi mereka.

Penulis cukup bertuah kerana mengenali kedua-dua tokoh ini. Alan Zechariah umpamanya merupakan "super senior" penulis di St. John's Institution manakala Pak Non pula seorang tokoh yang banyak membantu penulis dalam dunia kewartawanan.

Malangnya, perkenalan penulis dengan Alan cukup singkat. Penulis hanya pernah bertemu dengan Alan sekali sahaja iaitu ketika majlis makan malam Bekas-Bekas Pelajar St.John's Institution dalam lewat 90an.

Perkenalan penulis dengan Pak Non pula lebih rapat. Penulis mengenali Pak Non ketika berkhidmat sebagai Penganalisis Media di Institut of Strategic Analysis and Policy Research, INSAP…badan pemikir MCA pada 2008. Kali pertama, penulis bertemu dengan Pak Non secara langsung ialah ketika jemputan kepadanya untuk sebagai panel dalam seminar politik Melayu di Wisma MCA. 

Namun hubungan akrab penulis dengan Pak Non bertambah erat ketika penulis berkhidmat sebagai penerbit Program Bual Bicara terbitan Bernama Radio24, Kerusi Panas sekitar 2011.  Apabila Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio24, Azlan Idris mencadangkan agar isu Majlis Media diangkat sebagai topik dalam program bual bicara itu, nama pertama yang terlintas dalam fikiran penulis ialah Pak Non.

Ini kerana topik tersebut merupakan sesuatu yang cukup dekat dalam hati Pak Non. Ketika menjadi panel dalam satu forum sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada 2011 Pak Non menegaskan, penubuhan Majlis Media tidak seharusnya melibatkan kerajaan.

Dengan segera, penulis menghubungi Pak Non dan menyampaikan jemputan tersebut kepada Allahyarham.  Pak Non tidak menunggu lama untuk memberikan persetujuan.  Dan setibanya ke Bernama Radio24, Pak Non memberitahu penulis…: "Markus, saya datang ke program bual bicara ini kerana awak."

Kata-kata tersebut membuatkan penulis cukup terharu. Ia membuktikan Pak Non begitu menghormati jemputan yang diberikan biarpun jemputan tersebut datang daripada seorang wartawan yang muda. Pada fikiran penulis, tidak menyangka kata-kata sedemikian boleh datang dari mulut seorang tokoh wartawan yang tersohor.

Inilah keistimewaan Pak Non berbanding dengan editor-editor berita lain. Beliau langsung tidak bermegah-megah dengan kedudukan serta pangkat yang disandangnya. Sebaliknya, dengan penuh lapang dada, Pak Non sentiasa bersedia untuk memberikan didikan dan tunjuk ajar kepada wartawan-wartawan baharu.

Disinilah kekuatan Pak Non sebagai seorang individu. Allahyarham begitu prihatin dan menggunakan pendekatan mengasuh wartawan-wartawan baharu. Ketokohannya jelas terserlah. Lebih membanggakan, Pak Non tidak kedekut ilmu tetapi sanggup berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan mereka yang berminat.

Pertemuan penulis dengan Pak Non di konti Bernama Radio24 ketika itu hanyalah permulaan kepada hubungan baik penulis dengan Allahyarham. Perwatakan Pak Non yang "cool" dan tenang membuatkan penulis begitu selesa berinteraksi dengannya. Tidak kira anda Melayu, Cina mahupun India, Pak Non merupakan seorang yang berfikiran objektif dalam isu-isu semasa.

Buktinya kolum mingguannya dalam akhbar The Sun yang mengetengahkan tiga watak iaitu Azman, Chong dan Mohan. Pelbagai isu semasa dikupas tetapi dalam suasana yang penuh santai dan Kemalaysiaan. Seronok juga membaca kolum What They Say yang tampil dalam bentuk dialog.

Selepas itu, Pak Non pernah mengajak penulis beberapa kali untuk keluar makan dan berborak-borak mengenai isu politik Cina. Topik yang Pak Non cukup minat ialah mengenai politik MCA.  Malangnya, jemputan itu hanya tinggal jemputan sahaja.

Beberapa percubaan untuk mengajak Pak Non keluar makan tidak kesampaian. Atas faktor kesibukan tugas Pak Non di Parlimen dan tugasan hakiki sebagai kolumnis, hasrat itu terpaksa diketepikan seketika.

Namun manusia yang merancang, tuhan yang menentukannya. Hasrat untuk keluar makan dengan Pak Non kini berkubur begitu sahaja dengan pemergian Pak Non. Inilah satu-satunya kekesalan yang sukar dilupakan oleh penulis hingga ke saat ini. Penulis sebak dan kesal. Sekurang-kurangnya penulis sepatutnya menelefon Pak Non dan bertanya khabar.

Pemergian Pak Non akibat komplikasi hati cukup mengejutkan. Pak Non tidak menunjukkan tanda-tanda sakit. Dalam kesakitan, Pak Non tidak pernah mengeluh hinggalah ke saat-saat terakhir hidupnya.

Penulis hanya mampu meratapi pemergian Pak Non dengan penuh kesedihan. Namun Tuhan lebih menyayangi Pak Non. Segala yang berlaku merupakan ketentuan Ilahi.

Sejak pemergian Pak Non beberapa hari lalu, begitu banyak penghormatan yang diberikan oleh rakan-rakan seperjuangan yang mengenali Allahyarham. Bagi penulis sendiri, jalan terbaik untuk mengenang Pak Non ialah meneruskan legasi yang ditinggalkannya. Sesungguhnya, pemergian Pak Non sukar dicari ganti.

Terima kasih Pak Non di atas tunjuk ajar dan didikan anda. Jasamu kukenang selama-lamanya.

* Ini pandangan peribadi penulis.

Antara Rodriguez dan Eddie and the Cruisers

Posted: 30 Mar 2013 05:08 PM PDT

March 31, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

31 MAC — Apabila seorang rakan baik, RS Murthi (pemuzik, penulis, editor merangkap pengkritik muzik) bercerita kepada saya tentang penyanyi folk singer-songwriter kelahiran Mexico-Amerika, Rodriguez (Sixto Diaz Rodriguez — lahir 10 Julai 1942), saya agak tertarik kerana katanya style dan konsep muzik penyanyi itu punya persamaan dengan gaya muzik saya.

Ada beberapa rakan pemuzik yang saya suka meminta, mendengar dan bertukar pandangan dengan mereka dalam hal-hal muzik seperti Murthi dan seorang lagi Zaffa. Mereka ini otai belaka dan punya pengetahuan yang tinggi dalam ilmu muzik. Zaffa pula adalah seorang pemuzik hebat yang tidak dikenali yang sangat berpengetahuan dalam ilmu muzik.

Saya bertemu Murthi baru-baru ini bila ada kesempatan untuk beliau bila singgah di Kuala Lumpur. Kami masih bersembang tentang hal-hal dan jenis-jenis muzik yang tak ramai orang suka, itulah kenyataannya, terutamanya di sini. Tapi apa ada hal pun?

Saya salut dengan sifat dan dedikasi insan seni hebat seperti Murthi dan Zaffa. Mereka mencintai seni dan muzik itu melebihi segala-galanya yang ada di dunia ini. 

Di sini hanya ada dua cabang untuk menjadi popular. Pertama, bilamana seseorang penyanyi itu akan mengejar cita-cita mereka untuk menjadi sepopular Anuar Zain atau Siti Nurhaliza. Kedua pula bagaimana mahu menjadi singer-songwriter yang nampak macam 'cool', juga seakan rugged dan berjaya seperti Yuna.

Rodriguez? Saya tidak kenal dan tidak pernah mendengar lagu-lagunya sebelum ini. Maka saya pun mengambil masa untuk mendengar lagu-lagu beliau terutama dari album-albumnya di tahun 1970 ('Cold Fact') dan 1971 ('Coming from Reality') juga membaca dan mengkaji info-info yang terdapat di internet.

Apa yang saya faham tentang Rodriguez (gambar), lagu dan gaya muziknya punya pengaruh yang kuat dari Bob Dylan. Menonton persembahannya di YouTube memang menarik dan punya gaya tersendiri. Gayanya yang agak eksentrik sambil menyanyikan lagu hitnya Sugar Man dan Crucify Your Mind sambil bermain gitar semi akustik dengan tali nylon dan diiringi pemuzik iringannya memang asli dan ada 'feel'.

Membaca kisah dan ceritanya yang agak sedih itu lantas mengingatkan saya pada filem keluaran 1983 arahan Martin Davidson yang berjudul Eddie and the Cruisers yang mengisahkan seorang penyanyi rock, Eddie Wilson dan kumpulan muziknya The Cruisers yang mencipta nama di tahun 60an dengan muzik rock n roll, ditimpa kemalangan dan disangka mati. 

Selepas 20 tahun kemudian lagu-lagunya meletup semula dan seperti plot cerita yang boleh diramal beliau pun muncul semula dan segalanya pun berakhir dengan kegemilangan dan kejayaan.

Itulah episod yang terjadi kepada Rodriguez. Bikin album tahun 1970 dan 71. Album gagal dan beliau give up. Tema lagu-lagunya pun penuh dengan mood jiwa kacau dan agak eksenrtik juga. Manakala muziknya ada elemen folk, pcychedelic rock, blues dan pop.

Pun tanpa pengetahuan beliau sendiri, albumnya itu mendapat tempat pula di New Zealand, Australia dan Afrika Selatan. Di Afrika Selatan album 'Cold Fact' dijual sehingga 60 ribu unit. Golongan 'working class' terutamanya dari kalangan anak-anak muda yang rebel di sana suka dengan lirik lagunya yang sesuai dengan budaya dan pemikiran mereka di era Apertheid waktu itu.

Dalam period itu juga beliau pernah disangkakan telah mati dan karier nya juga tenggelam timbul. 

Malang juga di era 70an Dylan sedang menjadi pujaan masyarakat muda-mudi terutamanya di UK dan Amerika dan sedang meletup dengan album 'New Morning' dan 'Self Potrait' yang diterbitkan pada tahun yang sama (1970). 

Di era yang sama juga muncul ramai singer-songwriter yang hebat-hebat belaka seperti Joni Mitchel, Donovan, Joan Baez, John Sebastian, Al Stewart, Arlo Guthrie, Crosby Still and Nash dan Simon & Garfunkel antaranya, jadi nama Rodriguez agak kurang diberi perhatian lantaran albumnya tidak mendapat tempat disisi para pendengar yang rata-rata waktu itu memang rebel dan selektif belaka.

Selepas persembahan terakhirnya pada tahun 1981 di Australia, Rodriguez kembali menjadi kehidupan normal, mendapat degree dalam bidang falsafah, bekerja dan beranak pinak.

Sehinggalah pada tahun 1998, nama nya tiba-tiba popular dan kembali bersinar di Afrika Selatan. Sebuah dokumentari mengenai persembahan dan 'tour'nya di 6 tempat di Afrika Selatan 'Dead Man Dont Tour: Rodriguez in South Africa 1998' disiarkan di SABC (South Africa Broadcasting Corporation) TV pada tahun 2001.

Dan pada tahun 2012, sebuah lagi dokumentari mengenai hidup beliau, 'Searching for Sugar Man' arahan pengarah Sweden Malik Benjelloul melengkapkan diari hidup beliau sebagai artis singer-songwriter yang berjaya. 

Pada 14 Ogos 2012 juga beliau muncul membuat persembahan di rancangan TV yang berprestij dan berpengaruh seperti 'David Letterman Show' antaranya.

Jangka hayat dan takdir hidup ini memang aneh kadang-kadang. Bayangkan Rodriguez dan muzik nya hanya dikenali selepas 40 tahun di mana hari ini beliau sudah menjangkau usia 71 tahun sambil sibuk memenuhi jadual persembahan yang padat.

Cuma bezanya dalam musim-musim gagalnya, beliau tidak kecewa malah masih punya altenatif dan inisiatif demi untuk terus hidup. Nyata takdir itu menyebelahinya walau dalam jangka-waktu yang agak lewat.

Kemungkinan terhadap suatu kejayaan itu sentiasa ada selagi ada percaya dalam diri kita, tidak kira dalam apa bidang pun yang kita ceburi. Melakukan sesuatu itu demi cinta juga mampu menyemaikan rasa selesa dan bahagia walau kita tidak mendapat pulangan yang lumayan dalam bentuk materi dan ringgit.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved