Khamis, 11 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Dr M sokong kempen PRU13 sepanjang 15 hari

Posted: 11 Apr 2013 02:40 AM PDT

April 11, 2013

NILAI, 11 April — Tempoh berkempen 15 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) adalah satu tempoh yang amat sesuai bagi mengelak ketegangan dalam masyarakat.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar) berkata jika tempoh lebih lama diberikan oleh SPR, ia mungkin akan menimbulkan perasaan membara dalam kalangan penyokong atau pengundi sehingga boleh mencetuskan suasana huru-hara.

"Kalau terlalu panjang seperti pada tahun 1969 di mana masa berkempen selama enam minggu, maka ketegangan antara mereka yang bertanding akan menjadi begitu teruk dan mungkin mencetuskan huru-hara dalam negara.

"Tempoh dua minggu untuk berkempen itu yang ditetapkan oleh SPR adalah satu tempoh yang sesuai," kata beliau kepada pemberita selepas majlis pelancaran

Kelab Menjenayahkan Peperangan (CWC) yang dirasmikan isteri beliau yang juga penaung kelab tersebut Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali di Kolej Tunku Kurshiah di sini, hari ini.

Semalam SPR mengumumkan bahawa hari pengundian bagi PRU-13 ditetapkan pada 5 Mei, manakala tarikh penamaan calon pada 20 April. Sementara pengundian awal ditetapkan pada 30 April.

Dr Mahathir yang memimpin negara selama 22 tahun juga menyatakan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu mencapai keputusan yang lebih baik pada pilihan raya ini berbanding PRU 2008.

"Saya melihat tidak mustahil juga bagi BN untuk mendapat dua pertiga kerusi Parlimen pada PRU ini," katanya.

Mengulas mengenai cabaran Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu berdebat dengannya, Dr Mahathir berkata ia tidak perlu memandangkan beliau tidak lagi bertanding dan bukannya penasihat kepada parti seperti pemimpin pembangkang itu.

"Tetapi kalau dia (Kit Siang) mahu tanya, saya boleh jawab dan dia juga boleh jawab tentang apa yang saya katakan tetapi saya rasa tidak perlu berdebat," kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yang juga Penaung Yayasan Menjenayahkan Perang Kuala Lumpur (KLFCW), berkata satu undang-undang khas bagi mencegah peperangan daripada dijadikan kaedah penyelesaian konflik antara negara, perlu diwujudkan oleh seluruh negara di dunia.

Beliau berkata perkara itu perlu supaya negara yang melancarkan perang terhadap negara lain dianggap sebagai negara yang melakukan jenayah dan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap negara terbabit.

"Tujuan kita ialah supaya perang itu sendiri menjadi satu jenayah. Fahaman ini akan disebar ke seluruh dunia dan kita berpendapat generasi muda dalam negara kita harus faham bahawa perang itu adalah satu jenayah.

"Namun demikian, ini tidak bermakna bahawa kita tidak boleh membuat persediaan dan melakukan peperangan pertahanan untuk mempertahan negara jika diserang," katanya. — Bernama

Setiausaha politik Najib enggan ulas MCA, terus berkempen di Wangsa Maju

Posted: 11 Apr 2013 02:28 AM PDT

Oleh Md Izwan
April 11, 2013

Setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Shafie Abdullah akan bertanding di kerusi Parlimen Wangsa Maju dalam pilihan raya umum pada 5 Mei ini. — Gambar oleh Choo Choo MayKUALA LUMPUR, 11 April — Setiausaha politik kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Shafie Abdullah enggan mengulas kenyataan MCA mengatakan beliau cuba merampas kerusi Parlimen Wangsa Maju semalam.

Shafie menegaskan tiada keperluan untuk menjawab tuduhan oleh Setiausaha Organisasi MCA Wangsa Maju Lim Choon Hong itu.

"Tiada komen... tidak perlu rasanya," kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wangsa Maju itu apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.

Walau bagaimanapun, Shafie berkata aktiviti berkempen berjalan seperti biasa dan diteruskan sehinggalah hari membuang undi pada 5 Mei nanti.

"Hari ini saya baru habis berkempen di Klinik Rakyat 1Malaysia. Sabtu dan Ahad ini saya meneruskan kempen dengan menjelajah ke seluruh Wangsa Maju untuk bertemu dengan penduduk  sekitar," katanya lagi.

Semalam, Lim menuduh perlantikkan Shafie sebagai ketua BN Wangsa Maju adalah bertujuan untuk merampas kawasan pilihan raya mereka yang merupakan kerusi tradisi untuk MCA di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Calon MCA pada 2008, Datuk Yew Teong Lock telah tewas sebanyak 150 majoriti kepada calon PKR Wee Choo Keong yang  kemudiaan mengumumkan keluar parti pada 2010 dan menjadi ahli parlimen bebas.

Terdapat banyak spekulasi media bahawa Shafie telah mendapat restu kepimpinan Umno pusat untuk bertanding di Wangsa Maju terutamanya selepas menghadiri satu program bersama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lepas.

Dalam pada itu, Najib semalam berkata senarai calon BN bagi pilihan raya umum ke-13 dijangka diumumkan minggu ini.

Pengundi kaum Melayu merupakan yang terbesar di kerusi parlimen Wangsa Maju dengan 35, 258 (53.28 peratus) orang, diikuti kaum Cina 24, 000 (36.27   peratus) dan India dengan 5,741 (8.68 peratus).

Parlimen Wangsa Maju mempunyai pengundi paling ramai yang berusia antara 30-49 tahun dengan 45.68 peratus (30, 230) dan   diikuti golongan pesara yang berusia antara 50-69 tahun dengan 31.66 peratus (20, 953).

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved