Selasa, 2 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Najib ucap tahniah kepada penerima Biasiswa Nasional 2013

Posted: 02 Apr 2013 02:57 AM PDT

April 02, 2013

KUALA LUMPUR, 2 April — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak (gambar) mengucapkan tahniah kepada 50 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang menerima Biasiswa Nasional 2013.

Beliau turut menasihati para pelajar berkenaan agar tidak melupakan peranan yang disumbangkan ibu bapa dan guru sehingga mereka mencapai kejayaan itu.

"Tahniah kepada 50 pelajar cemerlang SPM tahun lalu yang menerima Biasiswa Nasional. Jangan lupa usaha ibu bapa dan guru yang memainkan peranan penting," katanya dalam tweet terbaru beliau hari ini.

Para pelajar cemerlang itu menerima biasiswa tersebut yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu majlis di ibu negara, semalam.

Melalui program Biasiswa Nasional, penerima akan ditaja dari peringkat persediaan hingga peringkat ijazah pertama dalam pelbagai bidang pilihan mereka yang diiktiraf kerajaan di dalam dan luar negara.

Program itu diperkenalkan pada tahun 2010 dengan 30 pelajar cemerlang SPM 2009 menerima biasiswa tersebut, tetapi ditambah menjadi 50 orang mulai 2012 ekoran peningkatan ketara pelajar yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun 2011.— Bernama

63 rumah di tiga kampung rosak akibat ribut

Posted: 02 Apr 2013 12:55 AM PDT

April 02, 2013

JITRA, 2 April — Sebanyak 63 rumah di tiga kampung di Kodiang dekat sini rosak teruk terutama di bahagian bumbung selepas dilanda ribut petang semalam.

Kejadian kira-kira 6 petang itu melibatkan 45 rumah di Kampung Paya Pida Satu, 13 di Kampung Pida Empat dan lima di Kampung Kandis dengan jumlah kerugian keseluruhan hampir RM1 juta.

Tiada sebarang kemalangan jiwa dalam kejadian itu.

Seorang mangsa kejadian itu, Habsah Ahmad, 69, dari Kampung Paya Pida Satu berkata ketika kejadian, dia bersama tiga anak dan menantu serta tiga cucunya berusia antara tiga bulan dan lima tahun berada di rumah.

Katanya dia yang terdengar bunyi deruman angin kencang sehingga bumbung rumahnya diterbangkan angin melarikan diri dengan menaiki kereta milik anaknya bersama keluarganya untuk mencari tempat selamat.

"Masa tu makcik lihat zink terbang. Makcik jadi takut dan bawa cucu berusia lima tahun selamatkan diri. Makcik syukur semua anggota keluarga makcik termasuk cucu berusia tiga bulan selamat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian hari ini.

Abdullah Awang, 68, dari Kampung Paya Pida Satu berkata dia kerugian kira-kira RM100,000 setelah bumbung rumahnya serta barangan elektrik di dalam rumahnya rosak.

Dia yang menceritakan detik-detik cemas kepada pemberita bersama isterinya Hasma Hussin, 64, berkata kejadian berlaku dengan pantas sehingga tidak sempat untuk menyelamatkan barangan berharga.

Katanya dia bersama isteri cuba keluar rumah dan melihat bumbung rumah terbang seperti burung dan masuk semula ke dalam rumah sehingga keadaan kembali normal.

"Saya hanya mampu melaungkan azan sahaja. Kami cuba nak selamatkan diri dengan keluar rumah dan bila lihat zink berterbangan kami masuk semula ke dalam rumah. Bila angin dah habis saya lihat semua bumbung rumah saya dan jiran habis (diterbangkan)," katanya.

Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang turun padang melawat mangsa kejadian turut menyalurkan bantuan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi meringankan beban yang dialami mereka.

Mukhriz berkata buat sementara ini anggota keluarga yang terlibat ditempatkan di tiga pusat penempatan termasuk di Dewan Orang Ramai Batu 1 sebelum bantuan susulan daripada kerajaan pusat untuk memperbaiki rumah dibuat

dalam tempoh terdekat.

"Ada antara anggota keluarga mereka tinggal di rumah bagi menjaga keselamatan barangan di dalam rumah. Kita juga minta anggota Rela menjaga kawasan rumah yang rosak," katanya. – Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved