Rabu, 24 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Anwar curigai insiden pengeboman, dakwa ia bertujuan wujud ketakutan

Posted: 24 Apr 2013 03:33 AM PDT

Oleh Md Izwan
April 24, 2013

KUALA LUMPUR, 24 April — Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencurigai insiden pengeboman dan melontar bahan letupan yang berlaku hari ini dan semalam, menegaskan tindakan tersebut bertujuan untuk mewujudkan ketakutan.

Anwar menggesa pihak berkuasa untuk membuat siasatan menyeluruh dan mencari dalang yang bertanggungjawab mencetuskan insiden tersebut.

"Masa letupan dan lokasi alat-alat ini adalah sangat mencurigakan dan jelas bertujuan untuk mewujudkan ketakutan dan gangguan memprovokasi," kata Anwar (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini.

Pemerhati dan ahli politik sebelum ini memberi amaran tentang kekacauan dan keganasan menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang dianggap paling sengit sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957.

"Saya memuji Pasukan Polis Pulau Pinang kerana bertindak cepat. Siasatan ini perlu dilakukan tanpa rasa takut dan tanpa gangguan," kata Anwar lagi.

Di samping itu, beliau juga mengecam tindakan tidak bertanggungjawab tersebut kerana membahayakan nyawa orang awam dan pada masa sama berharap rakyat Malaysia khususnya Pulau Pinang supaya sentiasa berhati-hati dan tidak terpengaruh dengan khabar angin.

"Kami tidak apa mahu dikatakan selain mengecam tindakan mereka yang cuba membahayakan nyawa orang awam di Malaysia.

"Saya merayu kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang dari Pulau Pinang, untuk sentiasa berwaspada, bertenang dan tidak terpengaruh dengan khabar angin yang mungkin timbul," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Anwar berkata individu yang didapati bersalah tersebut boleh didakwa serta dibicarakan di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 326/327) kerana "secara sukarela menyebabkan kecederaan parah dengan senjata berbahaya atau cara", dan "khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat untuk memusnahkan rumah"; DAN / ATAU Akta Bahan Letupan (1957) untuk "menyebabkan letupan yang mungkin membahayakan nyawa atau harta".

Media melaporkan semalam satu kejadian letupan berhampiran lokasi bilik gerakan BN di Nibong Tebal dan pihak polis menemui bahan letupan ubahsuai (IED) dalam timbunan sampah berhampiran lokasi sama pagi ini.

Awal hari ini, satu lagi kejadian insiden sama berlaku di bahagian depan bangunan Bilik Gerakan BN di Parit 9, Baroh, Sungai Leman, Sekinchan dekat sini, terbakar setelah dipercayai dilempar dengan dua bom petrol oleh orang tidak dikenali pagi ini.

Muhyiddin harap letupan bom bukan permulaan perkara lebih buruk semasa PRU13

Posted: 24 Apr 2013 03:20 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
April 24, 2013

JOHOR BARU, 24 April — Insiden letupan bom ketika majlis anjuran Barisan Nasional (BN) Nibong Tebal malam tadi diharapkan bukanlah sebagai petanda kepada perkara yang lebih buruk, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sambil meluahkan rasa kesal terhadap insiden berkenaan, timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu memberi amaran ia adalah cubaan untuk menakut-nakutkan pengundi daripada hadir ke majlis-majlis anjuran parti politik yang berkempen untuk pilihan raya.

"Jadi bila perkara ini tercetus pasti akan memberi kebimbangan kepada pengundi.

"Kalau begitu mesej yang nak disampaikan ... kita harap ini bukanlah permulaan kepada banyak lagi perkara buruk yang akan berlaku," katanya ketika sidang media selepas merasmikan majlis perhimpunan rakyat dan penawaran rumah mampu milik kepada pengundi di Parlimen Pulai di sini.

Malaysia, jelas Muhyiddin (gambar) selama ini melalui setiap pilihan raya secara aman, namun beliau kesal kerana perkara seumpama itu berlaku disaat negara sedang bersiap sedia untuk mengahadapi "ibu pilihan raya".

"Malaysia melalui proses pilihan raya aman tiada luar biasa, apa lagi perkara ini berlaku ketika kita menghadapi pilihan raya.

"Ini pilihan raya penting daripada biasa ... suasananya berbeza, cabaran dihadapi banyak pihak lebih daripada biasa," katanya.

"Ini satu perkara amat serius. Tentulah tidak merupakan perkembangan yang sihat kerana kalau benarlah ini petandanya, kita mahu cari jalan ia tidak berulang," katanya dan menambah tindakan tegas perlu diambil dan membawa mereka yang didapati bersalah ke muka pengadilan.

"Saya harap polis ambil tindakan tegas. Kenalpasti penjenayah melakukan perkara itu dan dibawa ke muka pengadilan."

Datuk Seri Najib Tun Razak juga meluahkan rasa kesal dengan kejadian berkenaan serta menasihati semua parti agar sentiasa menjaga tata tertib dan mematuhi undang-undang sepanjang tempoh berkempen.

"Sepatutnya semua bersaing secara sihat dan menunjukkan amalan demokrasi," katanya.

Ceramah BN di Nibong Tebal malam tadi dicemari insiden letupan yang berlaku di belakang pentas bilik gerakan parti itu semasa Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan menyampaikan ceramah.

Kejadian itu menyebabkan seorang petugas keselamatan cedera di kaki kanan selepas bahan letupan rekaan (IED) itu meletup.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis percaya bahan letupan IED yang diletakkan dalam longgokan sampah di kawasan ceramah itu adalah perbuatan khianat yang dirancang sekumpulan profesional.

Polis turut menemui dua IED dalam longgokan sampah dan percaya ia bertujuan menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana tidak tenteram serta huru hara di kawasan ceramah, katanya kepada pemberita selepas melawat tempat kejadian hari ini.

Beliau berkata berikutan kejadian itu, polis menubuhkan satu pasukan khas diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah bagi menyiasat kejadian itu dan mengesan mereka yang terlibat.

Setakat ini polis telah merekodkan keterangan dari tujuh saksi, katanya.

Abdul Rahim berkata kedua-dua bahan letupan sebesar kotak rokok yang disembunyikan dalam sampah itu telah ditetapkan masa berbeza untuk menghasilkan dua kali letupan.

Selepas letupan pertama, sepasukan anggota polis dan forensik polis menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menemui satu lagi bahan IED itu yang kemudian diletupkan pada pukul 3 pagi, katanya.

Beliau berkata berdasarkan siasatan, bahan letupan itu bukan untuk mencederakan orang tetapi bagi menghasilkan bunyi yang kuat untuk menakutkan orang ramai dan menimbulkan suasana huru hara di tempat ceramah.

Polis memandang serius kejadian itu dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang cuba menimbulkan keadaan huru hara di negeri ini.

"Terdapat kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat kejadian tetapi ia tidak berfungsi dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved