Sabtu, 27 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Aku Janji BN terbaik berbanding manifesto pembangkang, kata Muhyiddin

Posted: 27 Apr 2013 02:48 AM PDT

April 27, 2013

KANGAR, 27 April — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata manifesto Barisan Nasional (BN) adalah satu aku janji berbanding manifesto pembangkang yang disifatkannya sebagai "penipuan di siang hari".

Timbalan Perdana Menteri berkata aku janji yang ditawarkan dalam manifesto BN itu adalah yang terbaik dan lebih menarik berbanding tawaran dalam manifesto pembangkang yang dibuat semata-mata untuk menarik sokongan pengundi dan tanpa kajian.

Katanya rakyat mungkin telah meneliti kandungan manifesto BN dan parti-parti pembangkang, namun beliau yakin sebahagian besar masyarakat menerima kenyataan bahawa aku janji BN yang mencakupi 17 bidang adalah yang terbaik.

Mengulas kaji selidik Pusat Kajian Pilihan Raya dan Demokrasi Universiti Malaya (UMCEDEL) mengenai manifesto pilihan raya, Muhyiddin (gambar) berkata ia menunjukkan rakyat cukup prihatin tentang apa yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 ini.

"Tapi saya nak jelaskan, (manifesto) pakatan pembangkang seimbas lalu macam boleh, tapi kalau kaji dengan teliti (tidak boleh), kajian oleh pakar kewangan yang telah dibentuk oleh Kabinet baru-baru ini, dipimpin oleh Menteri Kewangan Kedua di mana dapatan kajian itu menunjukkan dia (manifesto pembangkang) tak mungkin 'durable' (berdaya tahan)," katanya pada sidang media selepas merasmikan penutupan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2013 di sini hari ini.

Beliau berkata sekali pandang tawaran pembangkang seperti menghapuskan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), menurunkan harga minyak serta menghapuskan tol dilihat mampu menarik penyokong tetapi sebenarnya tidak dikaji terlebih dahulu.

"Siapa suka nak bayar pinjaman balik, siapa yang tidak suka tol dihapuskan dan harga minyak diturunkan, tawaran sebegitu  memang menarik. Secara holistik, yang hendak membayar, menanggung dan mensubsidi adalah kerajaan pusat," katanya.

Beliau berkata untuk menghapuskan tol akan memerlukan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi yang akan melibat kos beberapa bilion ringgit.

Muhyiddin berkata kerajaan tidak boleh turunkan lagi harga minyak kerana subsidi yang ditanggung kini adalah besar iaitu 24 bilion setahun.

Beliau memberikan contoh Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pernah berkata di Singapura bahawa beliau akan menghapuskan subsidi minyak di Indonesia kerana tidak tahan untuk menanggung kos subsidi, namun katanya kerajaan Malaysia masih mampu untuk menanggung subsidi tetapi tidak dapat melebihi RM24 bilion setahun.

Muhyiddin berkata menurut kajian penganalisis ekonomi, kalau manifesto pembangkang itu dilaksanakan, ia akan meletakkan negara di dalam keadaan yang teruk di mana defisit negara akan meningkat dari 4.5  peratus kepada 11 peratus yang boleh mengakibatkan Malaysia menuju ke ambang muflis.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yakin BN Perlis akan terus diberi mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ini berdasarkan sokongan rakyat dan gerak kerja yang sedang dilaksanakan jentera pilihan raya BN.

Katanya, laporan terkini mendapati sokongan di semua kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Perlis kepada BN adalah cukup baik dan yakin sokongan akan terus meningkat sehingga hari pengundian 5 Mei ini. — Bernama

200 rakyat Malaysia akan mengundi di pejabat Konsulat Malaysia di New York

Posted: 27 Apr 2013 02:44 AM PDT

April 27, 2013

NEW YORK, 27 April — Kira-kira 200 rakyat Malaysia yang tinggal di sekitar Timur Amerika akan melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di Pejabat Konsulat Malaysia di New York pada Ahad ini.

Konsul Jeneral Malaysia di New York Syed Bakri Syed Abdul Rahman berkata daripada jumlah itu, kira-kira 150 adalah pengundi pos iaitu rakyat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan untuk mengundi di luar negara.

Bakinya merupakan pengundi di bawah kategori pengundi tidak hadir (PTH) iaitu terdiri daripada kakitangan kerajaan yang bertugas di beberapa jabatan kerajaan Malaysia di New York, serta pasangan mereka dan pelajar di beberapa universiti di sini, katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Jumaat.

Beliau berkata semua persiapan untuk pengundian berjalan lancar dan dua kaunter mengundi akan dibuka mulai 9 pagi sehingga 5 petang.

"Seramai 10 petugas termasuk pegawai di pejabat konsulat dan pejabat wakil tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan bertugas pada hari pengundian selain turut diikuti oleh beberapa pemerhati yang mewakili parti-parti politik," katanya.

Pejabat Konsul Jeneral terletak di dalam satu bangunan milik kerajaan yang turut menempatkan beberapa jabatan kerajaan termasuk Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Imigresen. 

Dewan utama bangunan berkenaan akan dijadikan sebagai tempat mengundi, kata Syed Bakri.

Sementara itu, difahamkan pejabat Kedutaan Malaysia di Washington DC juga rancak membuat persiapan sejak minggu lepas bagi membolehkan rakyat Malaysia yang layak mengundi pos menunaikan tanggungjawab mereka.

Kira-kira 20 kakitangan pejabat kedutaan itu akan bertugas pada hari berkenaan untuk memantau kira-kira 250 orang yang akan mengundi di pejabat kedutaan itu. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved