Rabu, 3 April 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Anwar sambut janji peralihan kuasa secara aman, ajak Najib berdebat

Posted: 03 Apr 2013 02:34 AM PDT

Oleh Md Izwan
April 03, 2013

Anwar Ibrahim pada sidang akhbar 3 April 2013. — Gambar Saw Siow FengPETALING JAYA, 3 April — Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut janji peralihan kuasa secara aman yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan terbuka dan mengulangi tawaran untuk berdebat dengan pemimpin utama Barisan Nasional (BN) itu.

Anwar berkata Pakatan Rakyat (PR) juga akan mempertahankan keamanan dan memastikan etika pilihan raya akan dipatuhi oleh kesemua parti komponen mereka.

"Kami mengalu-alukan kenyataan Datuk Seri Najib Razak yang menjamin peralihan kuasa aman sekiranya Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum ke-13 nanti.

"Kami bertekad untuk bersama-sama mempertahankan keamanan negara dan menggesa supaya tidak ada mana-mana pihak mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan," kata Anwar.

Ketua Pembangkang juga menyeru Barisan Nasional (BN) untuk mengambil langkah sama dalam memastikan keamanan dan keselamatan sepanjang tempoh kempen pilihan raya, serta mematuhi janji seperti yang dikatakan oleh Najib.

"Oleh yang demikian, kami menyeru semua pihak terutamanya rakan-rakan daripada Barisan Nasional untuk memastikan etika pilihan raya dan amalan prinsip demokrasi dipatuhi sepanjang masa," katanya lagi.

Anwar juga berharap pasukan keselamatan dapat mengambil langkah secara profesional sepanjang tempoh berkempen, selaras yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

MENYUSUL LAGI

ESSCOM dan ESSZONE bukan untuk perbanyak undi kepada kerajaan, kata panglima tentera

Posted: 03 Apr 2013 02:21 AM PDT

April 03, 2013

LAHAD DATU, 3 April — Kewujudan ESSCOM dan ESSZONE di 10 kawasan di pantai timur Sabah tidak dibuat atas kepentingan kesinambungan politik kerajaan Barisan Nasional (BN) seperti yang didakwa, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.

Beliau berkata kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah  (ESSCOM) dan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) itu adalah untuk memastikan kawal selia keselamatan yang lebih terurus, seterusnya membantu menjana perkembangan dan kestabilan sosio ekonomi dalam jangka masa panjang, khususnya di Sabah.

"Sebagaimana sedia maklum, pembangunan tidak akan wujud dengan baik sekiranya tiada jaminan keselamatan dan keselamatan juga tidak akan wujud tanpa ada pembangunan yang baik, maknanya, keselamatan dan pembangunan mesti bergerak seiring.

"Jadi, sekiranya ada tohmahan bahawa ESSCOM dan ESSZONE dibuat untuk kepentingan politik dan bagi meraih undi pasukan keselamatan, ia adalah amat 'counterproductive' kerana objektif utama penubuhannya adalah untuk menentukan keselamatan dan kepentingan rakyat terjamin," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu sebuah rancangan televisyen di sini hari ini.

Beliau (gambar) mengulas dakwaan beberapa tulisan di blog pro pembangkang bahawa kewujudan ESSCOM dan ESSZONE dapat memastikan kerajaan terus menguasai kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri yang terdapat dalam kawasan keselamatan khas itu menerusi undi anggota pasukan keselamatan.

Pembentukan ESSCOM yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 7 Mac lepas ketika meninjau operasi pasukan keselamatan membanteras kumpulan pengganas dari selatan Filipina di Felda Sahabat 16, dekat sini, merangkumi daerah Kudat, Tawau, Kunak, Sandakan dan Lahad Datu.

Bertujuan menjaga kedaulatan dan keselamatan di kawasan kira-kira 1,400km persisir pantai timur Sabah, ESSCOM yang diketuai Datuk Mohammad Mentek selaku Pengarah kini beroperasi di pejabat sementara di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu dengan menggunakan kabin khas.

ESSZONE pula yang penubuhannya diumum perdana menteri sempena sambutan Hari Polis ke-206, pada 25 Mac lepas merangkumi 10 daerah membabitkan Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Zulkifeli berkata pihak yang cuba mempolitikkan isu itu perlu sedar bahawa teras utama penubuhan ESSCOM dan ESSZONE di Sabah adalah untuk memastikan aspek keselamatan rakyat sentiasa berada di tahap terbaik dan untuk itu, anggota keselamatan perlu dilibatkan supaya masyarakat yakin dengan pelaksanaannya.

Beliau berkata penempatan anggota keselamatan, khususnya tentera di kawasan berkenaan tidak harus dilihat dari sudut sempit dan kaca mata politik semata-mata kerana telah terbukti, ATM merupakan satu daripada agensi kerajaan yang sekian lama hadir dan membantu masyarakat di segenap pelosok tanah air.

"Jadi, jangan sekali-kali cuba memanipulasi serta memesongkan niat dan objektif baik kerajaan menubuhkan ESSCOM dan ESSZONE dengan tuduhan sempit seperti berniat memperbanyakkan undi kepada kerajaan kerana jelas ia tidak betul, malah kita juga tidak tahu kepada siapa anggota kita mengundi," katanya.

Beliau berkata kewujudan ESSCOM di dalam kawasan ESSZONE perlu dinilai dari sudut lebih luas iaitu pulangan daripada penjanaan ekonomi yang bakal diterima, kesan daripada keselamatan yang terjamin, sekali gus meningkatkan indeks keselesaan penduduk seperti kejayaan yang dicapai selepas penubuhan Rajang Area Security Commad (RASCOM) pada tahun 1972.

"Dengan adanya ESSCOM dan ESSZONE, saya yakin gabungan sinergi keselamatan dan pembangunan akan menghasilkan 'outcome' yang jitu untuk masyarakat Sabah, sepertimana pewujudan RASCOM di Sarawak yang membantu negeri itu muncul sebagai negeri yang mempunyai pendapatan per kapita tertinggi di negara ini," katanya. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved