Rabu, 22 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Polis siasat pengasas DAP atas kenyataan ‘Malaysian Spring’, dakwa Kit Siang

Posted: 22 May 2013 02:17 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
May 22, 2013

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pihak polis didakwa telah menyiasat pengasas DAP Dr. Chen Man Hin, di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung tuduhan menggunakan istilah "Malaysian Spring" dalam e-mel peribadinya tahun lepas kerana mempunyai hubungan dengan konspirasi untuk menggulingkan kerajaan secara haram dan ganas, kata Lim Kit Siang.

Penasihat DAP itu kecewa dengan tindakan pihak polis itu menegaskan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar seharusnya mengutamakan kepentingan negara dalam membanteras jenayah dan meningkatkan kepercayaan rakyat berhubung pencegahan jenayah, dan bukannya hanya "bermain politik untuk memuaskan nafsu tuan politiknya".

Bagi menyokong kenyataannya itu Kit Siang (gambar) turut mengeluarkan contoh, akibat tindakan polis menyiasat perkara yang "tidak perlu', kediaman kakak kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan adik kepada Ketua Polis Negara sendiri telah dipecah masuk penjenayah.

"Saya baru dimaklumkan yang dua pegawai polis telah menyoal siasat penasihat parti dan pengasas DAP Dr. Chen Man Hin selama satu jam 15 minit di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah berhubung tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab bahawa istilah "Malaysian Spring" yang digunakan oleh Dr. Chen di dalam e-mel peribadinya tahun lepas mempunyai hubungan dengan konspirasi untuk menggulingkan kerajaan secara haram dan ganas.

"Ini tidak masuk akal dan betul-betul satu pembaziran sumber, tenaga dan masa pihak polis sedangkan ada lebih banyak perkara penting untuk dilakukan pihak polis, seperti memastikan Malaysia bebas daripada jenayah," tegas ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Beliau juga turut berkata, Khalid seharusnya dikecam kerana tindakan berkenaan yang mana beliau seharusnya fokus kepada tugas pertamanya iaitu membuatkan rakyat Malaysia, pelancong dan pelabur selamat daripada jenayah dan kebimbangan menjadi mangsa jenayah.

"Dengan keadaan jenayah yang begitu berleluasa, adalah sangat tidak bertanggungjawab untuk polis membuang masa dan sumber untuk satu pemburuan sia-sia hanya kerana ada ahli politik yang menyeleweng dan tidak bertanggungjawab membuat tuduhan palsu akan tetapi tidak mempunyai prinsip dan keberanian untuk membuat laporan polis," kata Lim.

Lim turut menegaskan adakah pihak polis bersedia untuk mendakwa mereka yang membuat tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan polis memburu sesuatu yang sia-sia, membazir masa dan sumber awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi jelasnya mungkin boleh berlagak bahawa siasatan polis terhadap Dr. Chen adalah bukti betapa dia serius bertugas sebagai Menteri Dalam Negeri.

"Dia teramatlah salah, kerana itu hanya membuktikan Malaysia telah mendapat orang yang salah untuk menjadi Menteri Dalam Negeri yang tidak tahu apa keutamaan yang sepatutnya."

CUEPACS jangan jadi pertubuhan perkauman, kata DAP

Posted: 22 May 2013 01:48 AM PDT

Oleh Md Izwan
May 22, 2013

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Pemimpin DAP Lim Guan Eng mengkritik kesatuan sekerja penjawat awam supaya tidak menjadi pertubuhan perkauman ekoran gesaan memboikot syarikat penerbangan tambang murah AirAsia dan AirAsia X hari ini.

Syarikat penerbangan tersebut diserang hebat oleh akhbar Utusan Malaysia ekoran tulisan di Twitter ketua pegawai eksekutif AirAsia X Azran Osman Rani yang tidak senang dengan garis perkauman yang dimainkan oleh akhbar tersebut selepas pilihan raya 5 Mei.

"CUEPACS salah kerana menyertai Utusan Malaysia memboikot AirAsia Dan AirAsia X.

"CUEPACS tidak sepatutnya menjadi sebuah pertubuhan perkauman tetapi berkhidmat kepada semua penjawat awam di Malaysia tanpa peduli kaum dan agama," kata Lim (gambar) dalam satu kenyataan media hari ini.

Setiausaha agung DAP tersebut juga membidas Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman yang mengambil pendirian bersifat politik walhal beliau sepatutnya sedar bahawa penjawat awam di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum.

"Datuk Omar Osman sepatutnya berkelakuan sebagai seorang Presiden CUEPACS untuk semua dan tidak mengambil bahagian dalam tindakan perkauman Utusan Malaysia atau Umno," kata Lim lagi.

"Jelas sekali bahawa Datuk Omar telah terlupa bahawa ada penjawat awam Melayu yang tidak rasis dan ada juga warga bukan Melayu di dalam perkhidmatan awam," tambahnya lagi.

Menurut Lim lagi, langkah dan gesaan seperti dua entiti Utusan Malaysia dan CUEPACS ini merosakkan perpaduan dan imej negara, malah menunjukkan Malaysia tidak jauh beza dengan rejim perkauman seperti di Afrika Selatan.

"Dengan membenarkan boikot produk berasaskan perkauman ini berterusan, Malaysia akan dilihat sebagai tidak jauh beza berbanding rejim perkauman seperti rejim apartheid Afrika Selatan, malah turut membawa kesan negatif kepada ekonomi," katanya lagi.

Akhbar milik Umno Utusan Malaysia hari ini melaporkan CUEPACS dan dua lagi pertubuhan menyertai panggilan untuk memboikot AirAsia dan AirAsia X, selain menyaran menggunakan Malaysia Airlines (MAS) dan anak syarikatnya Firefly semasa cuti sekolah dua minggu akan datang.

Beberapa kumpulan turut dilaporkan memberi alasan sama untuk menyokong kempen boikot AirAsia seperti Kesatuan Pegawai Eksekutif (Kepak) dan Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), lapor akhbar tersebut.

Untuk menyokong dakwaan mereka terhadap perkhidmatan pesawat tambang murah itu, Utusan turut melaporkan di muka hadapan tentang seorang lelaki mengadu syarikat penerbangan itu enggan menerbangkan mayat arwah ibunya dari Jogjakarta ke Kuala Lumpur walaupun beliau telah membeli tiket sebelum ini. AirAsia mengatakan mereka tidak mempunyai lesen untuk menerbangkan mayat.

Sebagai respon, akhbar Utusan telah memainkan komen-komen dari pemimpin Perkasa, Persatuan Pengguna Islam Malaysia dan aktivis pro Umno yang menyelar Azran, mengatakan beliau angkuh dan Melayu lupa daratan.

Pemangku Presiden Perkasa Datuk Abdul Rahman Bakar yang menyokong Utusan menyelar Azran, mengatakan beliau tidak akan sampai ke kedudukannya sekarang tanpa "kuasa Melayu yang diperjuangkan oleh Utusan Malaysia".

The Malaysian Insider hujung minggu lalu melaporkan kempen memboikot barangan pengguna daripada peniaga kaum Cina akan membantutkan perancangan transformasi ekonomi kerajaan, Dewan Perniagaan Melayu dan Cina, disamping pakar ekonomi Dr Yeah Kim Leng menekankan ketegangan perkauman akan menakutkan pelabur luar negara.

Malah, langkah tersebut dilihat tidak praktikal memandangkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berkembang pada 4.1 peratus dalam suku tahun pertama, rekod paling rendah dalam tempoh suku kesembilan sebelum ini.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved