Ahad, 12 Mei 2013

The Malaysian Insider :: Opinion


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Opinion


Borak-borak kosong tentang pilihanraya

Posted: 11 May 2013 04:33 PM PDT

May 12, 2013

Meor Yusof Aziddin adalah Malaysian folk singer/songwritter yang telah menghasilkan 10 album indipenden sejak tahun 2000 sehingga 2011. Juga penulis untuk buku tentang kehidupan, "Sembang Tepi Jalan" dan "Syurga Yang Hilang." Memblog di www.pestajiwa.net. Berkerjaya sebagai "professional busker" di KL Sentral di bawah pengurusan KTMB sejak tahun 2010 sehingga ke hari ini.

12 MEI — Pilihanraya Umum ke 13 ( PRU 13 ) baru saja berlalu, keputusannya umum rakyat Malaysia sudah tahu. Ada yang suka, ada yang tidak suka, bagi saya itu lumrah dalam peperangan, ada menang, ada kalah. Pun seronok juga mendengar pandangan dari kiri dan kanan, yang menyokong dan yang menentang.

Yang sini tak puas hati marahkan yang sana, yang sana pula tak puas hati juga marahkan yang di sini. Sudahnya kita pun tenggelam dalam amarah dan emosi yang tak sudah!

Mungkin sampai hujung tahun kita akan marah tak habis-habis sebab kalah! Kesan dan ruginya tetap pada diri kita sendiri. Kadang-kadang kita perlu juga kembali kepada fitrahnya alam dan kejadian, qada dan qadar. Bermuhasabah dan mula menilik diri, cermin diri sendiri. Akhirnya tepuk tangan 3 kali dan lepaskan semua persoalan di angin lalu. Hidup perlu diteruskan!

Melayan emosi merugikan diri sendiri. Darah naik dan jantung juga berdegup laju, silap-silap boleh dapat darah tinggi. Kita perlu duduk dalam keadaan rasional dan jangan tegangkan urat saraf dengan hal-hal yang telah sudah.

Suka atau tidak, inilah permainan hidup. Tak baguslah kalau sampai dalam hal-hal politik ni kita sampai bermasam-masam muka sesama kita, bergaduh laki-bini sampai bercerai-berai. Hanya kerana ideologi berbeza mengapa kita perlu bermusuh? Bukankah pentas ini untuk kita berkasih-sayang?

Saya hanya menganggap segala yang berlaku dalam hidup ini sebagai perkara yang sudah berlaku, umpama membaca buku, helaian demi helaian dan kesannya walau menarik atau tidak, ia tetap sebahagian dari pelengkap sebuah cerita tentang kehidupan. Penting kerana ia sebahagian dari cerita, pun saya tetapkan nilai rasional itu melebihi tahap emosi walau apa juga adegan yang akan terjadi.

Cuba kita lihat mereka-mereka yang bertekak dan menjerit marah-marah antara sesama mereka itu di dalam parlimen itu, yang kadang lagak mereka itu umpama budak sekolah yang tidak matang. Pun begitu itulah kerja mereka, bertekak atas dasar kepentingan atas apa yang mereka mahu dan faham.

Emosi mereka hanyalah pada waktu dan ketika itu, bila waktu rehat atau habis sidang, mereka pun bersidang, bertepuk bertampar dan gelak ketawa antara sesama mereka, tidak kiralah sama ada calon kiri mahupun kanan. Mengapa kita yang di kalangan penyokong ini pula sanggup melayan emosi berlebihan yang berpanjangan?

Teringat saya kepada nasib yang menimpa seorang sahabat yang dulunya sekitar tahun 1974 sewaktu masih belajar di universiti aktif berdemo memperjuangkan hak dan kebebasan. Sudahnya dibuang universiti dan kenyataannya hanya dia yang terkontang-kanting bangkit dari zaman gelap menuju terang.

Adakah mereka-mereka yang mewakili persatuan yang disokongnya waktu itu datang membantunya melepaskan diri dari masalah dan belenggu hidup yang dihadapinya? Tidak ada siapa pun yang indah akan nasibnya...itulah kenyataannya. Pun itulah namanya perjuangan,  melayan emosi darah muda. Kita boleh menyesal kalau itu yang kita mahu tapi hidup adalah proses. Kita akan melalui proses demi proses dalam hidup kita.

Hari ini sahabat saya itu duduk dan bahagia atas landasan yang dia sendiri faham akan apa cerita dan apa mahunya dalam hidup ini. Mereka bercerita tentang prinsip, kebenaran dan intergriti, bukankah itu hanyalah retorik semata? Ada mereka itu berjuang tanpa sebab dan alasan? Semuanya atas dasar kepentingan semata.

Kita perlukan ruang untuk diri kita. Tidak ada siapa yang akan menebas lorong semak yang akan kita lalui itu melainkan kita sendiri yang akan melakukannya. Kita berjaya atas usaha kita. Itu yang perlu kita banggakan!

Dunia politik hari ini tidaklah sama dengan zaman dulu-dulu. Kalau dulu orang politik tidaklah berkepentingan sangat dalam bab dan hal-hal dunia. Itu sebabnya orang-orang Melayu terutamanya di kalangan warga emas sangat sayangkan parti yang mereka naungi sejak dulu sampai hari ini.

Dulu ramai orang politik yang kerjaya mereka cuma di kalangan guru-guru sekolah. Jadi hormat rakyat sangat tinggi terhadap mereka. Mereka memang bekerja atas dasar semangat dan perjuangan yang murni.

Hari ini ramai golongan peniaga masuk politik dengan harapan akan dapat banyak projek untuk poket sendiri. Yang senang makin senang, sampai rakyat pun menyampah. Wakil rakyat datang melawat menjelang pilihanraya 5 tahun sekali dengan imej glamour dan kemewahan, nak tunjuk kepada rakyat tapi adakah rakyat hairan melainkan banyak persoalan mungkin bermain dalam otak fikir mereka.

Berapa pendapatan wakil rakyat? Walhal mereka hanya wakil untuk rakyat yang memilih mereka. Mengapa jurang antara mereka jauh bezanya dengan rakyat kebanyakan? Mana datang duit beli berderet kereta mahal dan rumah banglo bersepah sana-sini? Hanya rakyat yang gilakan materi dan glamour saja yang sukakan mereka.

Sudahnya semuanya menuju ke satu arah dan tujuan, iaitu wang dan kuasa. Jelas wang dan kebendaan menjadikan kita jenis manusia yang mudah lupa dan tamak seolah kita akan hidup selamanya di dunia ini.

Kadang-kadang saya kasihan juga melihat calon yang sepatutnya boleh menang, tapi kalah pula. Yang patut kalah, boleh menang pula. Kita ada masanya buta dalam menilai kebenaran.

Kita sepatutnya memilih wakil rakyat yang sederhana imej dan pekertinya, yang buat kerja dan mampu memberi manfaat kepada rakyat yang memilih mereka. Kerana itu adalah amanah dari rakyat untuk mereka.

Seperti kata Iwan Fals dalam lagunya, Surat Untuk Wakil Rakyat:

'Wakil rakyat seharusnya merakyat,

Jangan tidur waktu sidang soal rakyat

Wakil rakyat bukan paduan suara

Hanya tahu nyanyian lagu setuju'

Apapun tahniah kepada Barisan Nasional kerana menang lagi walau peratusnya semakin menurun dari musim lalu dan jika merasa masih selesa dengan mimpi indah, susahlah sikit sebab rakyat makin celik. Ini zaman kemajuan, bukan zaman dulu-dulu yang mana ramai rakyat masih buta huruf dan tidak tahu membaca.

Saya tidak tahu apa cerita atau apa akan jadi esok hari, tapi seperti kata Bob Dylan, ..'the answer my friend, is blowin in the wind...the answer is blowin in the wind'

Jangan pening-pening kepala pasal keputusan pilihanraya, yang paling penting, 'Life's Goes On!'

* This is the personal opinion of the columnist.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved