Selasa, 11 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Lelaki maut dipercayai terkena bom buatan sendiri

Posted: 11 Jun 2013 02:43 AM PDT

June 11, 2013

SEMPORNA, 11 Jun — Seorang lelaki Pakistan maut apabila sebutir bom, dipercayai buatan sendiri, meletup di ruang tamu sebuah rumah di Kampung Air, Semporna awal pagi ini.

Kejadian pada pukul 4.20 pagi itu menyebabkan Attaulah Hukmat Khan, 35, yang sedang tidur di ruang tamu rumah itu, mati di tempat kejadian. Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah berkata rumah yang tidak bernombor itu didiami empat lagi rakan Attaulah dan ketika kejadian kesemua lelaki Pakistan yang berumur antara 22 dan 50 tahun itu sedang tidur dalam sebuah bilik.

"Pemeriksaan awal mendapati terdapat tanda goresan di bahagian perut dan dada mangsa namun polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini. Mohd Firdaus berkata empat lagi rakan mangsa tidak cedera.

Mohd Firdaus berkata kesan letupan itu dapat dilihat pada dinding ruang tamu yang pecah dengan tingkap kaca rumah berkenaan serta tingkap kaca beberapa rumah berhampiran turut bekecai. Beliau berkata Unit Letupan dan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jenis sebenar bahan letupan itu.

Motif kejadian belum dikenal pasti namun polis mendapati kejadian itu lebih kepada kes jenayah. Beliau menegaskan bahawa letupan berkenaan tidak ada kaitan dengan insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna Februari lepas dan menasihatkan orang ramai supaya tidak panik. "Orang ramai tidak perlu membuat andaian yang bukan-bukan. Mana-mana pihak yang ada maklumat mengenai kejadian itu diminta terus berhubung dengan pegawai penyiasat ASP Zairul di talian 089-781244 di Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna," katanya. — Bernama

DAP kenakan surat tunjuk sebab kepada MP Bakri kerana gagal boikot

Posted: 11 Jun 2013 02:26 AM PDT

OLEH CLARA CHOOI
PENOLONG PENGARANG BERITA
June 11, 2013

KUALA LUMPUR, 11 Jun — DAP telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada ahli Parlimen Bakri Er Teck Hwa kerana tidak mendengar arahan parti untuk memboikot taklimat di Parlimen pagi ini.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke memberitahu The Malaysian Insider, Er, ahli Parlimen penggal kedua, mempunyai tujuh hari untuk menjawab surat tersebut sebelum dihadapkan ke jawatankuasa disiplin parti.

"Beliau perlu jelaskan. Kita beri dia peluang untuk memberi penjelasan," katanya apabila dihubungi di sini.

Er merupakan satu-satunya daripada 38 ahli Parlimen DAP dan 89 ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang hadir untuk taklimat di bangunan Parlimen pagi ini.

Majlis Pimpinan PR telah membuat keputusan memboikot taklimat itu dalam mesyuarat lalu untuk menunjukkan bantahan terhadap pemerintah Barisan Nasional (BN) kerana enggan memenuhi tuntutan reformasi pilihan raya.

Apabila ditemui oleh pemberita pagi ini, Er mengatakan beliau merasakan taklimat itu penting dan keputusan untuk menghadirinya adalah dari inisiatifnya sendiri.

"Hari taklimat adalah yang penting, kita nak tengok ada peraturan baru atau sebagainya," katanya.

Apabila ditanya apakah Er tidak diberitahu mengenai arahan boikot, Loke mengatakan ini tidak mungkin kerana semua ahli Parlimen telah diberikan notis mencukupi.

"Kami mempunyai kumpulan e-mel dalaman jadi semua ahli Parlimen diberitahu lebih kurang 10 hari lalu," kata ahli Parlimen Seremban itu.

"Ia adalah tanggungjawab asas semua wakil-wakil kami untuk memeriksa e-mel mereka. Dan tambahan pula, segala-galanya telah dilaporkan dalam akhbar.

"Tidak ada sebab untuk dia tidak tahu pendirian kami mengenai perkara itu," katanya.

Apabila mengesahkan tentang boikot minggu lalu, Loke memberitahu The Malaysian Insider langkah itu berkait dengan protes seluruh negara terhadap dakwaan penipuan BN dalam Pilihan Raya 2013.

Beliau mengatakan gabungan itu juga merancang perhimpunan raksasa di Padang Merbok dan menghadiri taklimat itu dilihat bercanggah dengan tujuan perhimpunan.

"Majlis Pimpinan PR merasakan kita perlu mengenakan tekanan sebanyak mungkin yang kita boleh lakukan bagi memastikan kerajaan memberi respon kepada tuntutan kita untuk reformasi pilihan raya.

"Jadi pada ketika ini, kita rasa kita tidak perlu hadir taklimat itu... pada masa sama, kita merancang perhimpunan besar, jadi, pada masa sama, kita tidak harus hadir taklimat itu," katanya apabila dihubungi di sini.

Beliau walau bagaimanapun menegaskan kegagalan untuk hadir taklimat itu tidak akan menjejaskan kedudukan wakil rakyat PR di Parlimen kerana kedatangan adalah tidak wajib.

Beliau menerangkan taklimat itu bermaksud untuk ahli Parlimen penggal pertama diberikan penerangan mengenai perkara teknikal termasuk peranan di Dewan Rakyat seperti bagaimana untuk membuat usul, undang-undang Standing Order dan urusan pentadbiran lain.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved