Sabtu, 15 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pemilihan Umno tidak demokrasi tanpa pertandingan, kata Idris

Posted: 15 Jun 2013 02:04 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 15, 2013


KUALA LUMPUR, 15 Jun - Tanpa pertandingan untuk dua jawatan tertinggi, presiden dan timbalan presiden Umno pada penghujung tahun ini, ia bakal menunjukkan parti berkenaan tidak mengamalkan demokrasi dalam pemilihannya, kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Idris Jusoh.

Menteri Pendidikan II itu bagaimanapun turut berkata gandingan Perdana Menteri, yang juga merupakan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah gandingan sudah cukup mantap.

"Saya lihat situasi sekarang mereka memang cocok ...  kita kalau banyak sangat pertandingan pun tak perlu juga.

"Tapi kalau tiada pertandingan nanti orang kata tiada demokrasi," katanya kepada pemberita selepas berucap merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Graduan (K3G) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Presiden pun saya rasa tiada halangan (bertanding)," katanya lagi.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri sebelum ini berpendapat dua jawatan tertinggi parti Melayu itu sewajarnya tidak dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini demi memelihara keutuhan perpaduan di kalangan anggota Umno, parti yang menjadi tonggak Barisan Nasional (BN).

"Ini mengambil kira suasana politik baharu dunia yang semakin sengit berikutan terjahan globalisasi dan ledakan komunikasi dan informasi yang telah turut mengubah landskap politik di setiap kerajaan dan negara di dunia," katanya.

Abdul Rahim yang juga anggota Parlimen Kudat berkata negara yang mengamalkan sistem demokrasi "westminster" yang serupa dengan sistem demokrasi Malaysia seperti Britain dan Australia turut berhadapan dengan suasana sengit sehingga mewujudkan "hung" parlimen.

"Kesimpulannya pertandingan terbuka jawatan utama Umno sudah tentu akan mewujudkan "kem kem" dan berdasarkan pengalaman lampau ia dikhuatiri akan mengheret perbalahan politik dalaman dan permainan politik berterusan yang sudah pasti akan melemahkan parti," katanya.

Abdul Rahim berkata suasana sebegitu harus dielakkan, sebaliknya keutamaan sewajar harus diberi kepada usaha mengukuhkan perpaduan anggota parti untuk membolehkan Umno dan BN mampu menghadapi PR.

Najib juga dilihat bersifat terbuka dengan menyatakan kesediaan menerima cabaran bagi jawatan berkenaan, malah sedia ianya dipertandingkan.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah parti demokrasi, beliau bersifat terbuka jika ada yang ingin bertanding jawatan presiden.

"Kita bukan macam parti lain. Kita terima jika ada yang mahu bertanding," katanya.

Idris bagaimanapun menjelaskan, pertandingan untuk jawatan berkenaan bagaimanapun menerima banyak pendapat.

"Jika tiada pertandingan lebih baik ... Ia ada dua pandangan, satu kata tak perlu, satu lagi kata perlu.

"Kalau nak senang tidak perlu bertanding ... tapi kalau tidak bertanding orang kata tiada demokrasi," jelasnya lagi.

Syiah jika berkembang akan tindas Sunni, kata PAS Kelantan

Posted: 15 Jun 2013 12:44 AM PDT

Oleh Md Izwan
June 15, 2013


KUALA LUMPUR, 15 Jun -- Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menyatakan kebimbangan penganut majoriti Sunni di Malaysia bakal ditindas sekiranya pengikut mazhab Syiah dibiarkan berkembang dalam negara.

Mohd Amar menegaskan walaupun terdapat sebilangan pengikut Syiah dibenarkan untuk mengamalkan mazhab tersebut, hakikatnya mazhab Sunnah Wal Jamaah adalah majoriti di Malaysia dan status tersebut perlu dipertahankan serta dikekalkan. "Kita tidak boleh biarkan fahaman Syiah berkembang dengan bebas, walaupun kita hormati pegangan dia, tapi dalam konteks masyarakat kita di Malaysia, pada pandangan kita, kerajaan persekutuan dan kerajaan Kelantan sendiri, pegangan kita adalah Sunnah Wal Jamaah," kata Mohd Amar yang dipetik berkata dalam akhbar harian Utusan Malaysia hari ini.

"Kumpulan Syiah ini apabila mereka diatas, mereka menekan orang-orang Sunni," kata beliau lagi. Menurut timbalan pesuruhjaya III PAS negeri Kelantan itu lagi, PAS merupakan sebuah parti yang mengamalkan mazhab Sunnah Wal Jamaah dan tidak akan membiarkan pengaruh Syiah berkembang dalam parti itu sendiri.

"Pegangan PAS adalah Sunnah Wal Jamaah, bukan Syiah," tegasnya lagi. Mengikut Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, fahaman dan ajaran Syiah adalah menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunah Waljamaah kerana wujud beberapa percanggahan dari sudut akidah dan syariah.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) juga telah mengeluarkan fatwa dengan mengenakan larangan dan sekatan terhadap mana-mana mazhab selain Sunnah Wal Jamaah untuk tidak menyebarkan fahaman dan ajaran mereka di Malaysia.

Pada 2010, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan kira-kira 200 pengikut dan dua ketua kumpulan pengikut mazhab Syiah di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan dan menyampaikan ajaran menyeleweng.

Selain itu, tokoh agamawan bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga pernah ditahan sekitar tahun 2009 semasa sedang memberi syarahan oleh JAIS dan dituduh cuba menyampaikan ajaran yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kepada pengikutnya.

Di Malaysia, masyarakat Melayu yang membentuk 60 peratus daripada keseluruhan penduduk berjumlah 28 juta orang ditakrifkan dalam Perlembagaan sebagai penganut agama Islam, maka dengan itu agama dan kaum adalah isu yang tidak dapat dipisahkan didalam negara.

Kebebasan agama termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dibawah Fasal 11 menetapkan setiap orang mempunyai hak untuk menyatakan dan menjalankan agama nya dan (tunduk pada undang-undang yang berlaku menyekat penyebaran agama-agama lain untuk umat Islam) untuk menyebarkannya. Kedua, Perlembagaan juga menetapkan bahawa Islam adalah agama negara, tetapi agama-agama lain boleh dipraktikkan dalam damai dan harmoni (Perkara 3).

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved