Ahad, 16 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


32 Adun Terengganu angkat sumpah, Zubir Embong dilantik Speaker

Posted: 16 Jun 2013 12:35 AM PDT

June 16, 2013


KUALA TERENGGANU, 16 Jun — Seramai 32 Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu hari ini mengangkat sumpah sebelum bermulanya persidangan Dewan Undangan Negeri pertama sesi penggal ke-13 di Bangunan Wisma Darul Iman di sini, Isnin ini.

Kesemua 32 Adun daripada Barisan Nasional dan pembangkang itu mengangkat sumpah taat setia sebagai Adun dalam melindungi dan mempertahankan perlembagaan negeri Terengganu.

Mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri yang baharu dilantik, Mohd Zubir Embong.

Ahmad Said yang mengemukakan nama Mohd Zubir sebagai Speaker DUN yang baharu dan disokong Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Mohd Zubir, bekas Ketua Sektor Akademik Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kualal Terengganu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu namun kalah kepada calon PAS Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Beliau mengangkat sumpah jawatan itu di depan Setiausaha Dewan Undangan Negeri Terengganu, Azhar Jusoh pada pukul 9.42 pagi.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sesi mengangkat sumpah 32 Adun tersebut yang diketuai Ahmad yang juga Adun Kijal pada pukul 9.50 pagi di depan Speaker DUN yang baharu.

Mohd Zubir ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih atas kepercayaan Menteri Besar yang melantiknya menjawat jawatan itu dan berjanji akan mengendalikan persidangan DUN dengan baik.

Persidangan DUN itu yang berlangsung sehingga Rabu ini akan dirasmikan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pada pilihan raya lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang mudah dengan memenangi 17 kerusi manakala PAS menang di 14 kerusi dan PKR (satu kerusi).

Kerusi DUN yang dimenangi BN ialah Hulu Besut, Jerteh, Kota Putera, Kuala Besut, Langkap, Permaisuri, Jabi, Batu Rakit, Seberang Takir, Kuala Berang, Telemong, Ajil, Pengkalan Berangan, Bukit Besi, Kijal, Kemasik dan Air Putih. — Bernama

Jentera perang siber BN dakwa mereka dilayan seperti kelas kedua

Posted: 15 Jun 2013 11:30 PM PDT

Oleh Md Izwan
June 16, 2013


KUALA LUMPUR, 16 Jun — Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan blogger-blogger upahan yang mementingkan wang.

"Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB.

"Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...," tulis Tun Faisal dalam laman blognya tunfaisal.blogspot.com tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya.

Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan "kambing hitam" oleh blogger upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan.

"UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka," kata beliau.

"Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti," tambahnya lagi.

Disamping itu, Tun Faisal juga mempertahankan blogger-blogger yang berada dalam UMB sebagai individu yang berpengalaman diperingkat akar umbi dan memahami keadaan semasa, bukannya seperti blogger upahan yang disifatkannya sebagai mereka yang seronok sendiri walaupun mempunyai pengalaman dan pengaruh yang luas di alam maya.

"Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan.

Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Malahan,  "Tsunami Politik" pada Pilihan Raya 2008 lalu juga dikatakan berpunca daripada peranan media baru yang terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan banyak lagi, dimana menyaksikan BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009.

Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah.

Susulan keputusan mengejutkan tersebut, pemimpin atasan kerajaan pemerintah mula menyedari tentang peranan media baru tersebut dan telah membelanjakan jutaan wang untuk memperkuatkan jentera siber mereka pada pilihan raya 5 Mei lalu.

Walaubagaimanapun, keputusan sebaliknya yang berlaku apabila BN masih gagal menyaingi kekuatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang lebih ke depan dalam perang siber dimana ia sendiri diakui oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum Pilihan Raya 2013 lalu.

Selepas pilian raya 5 Mei lalu, BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89.

Buat pertama kali BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara.

Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved