Jumaat, 21 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


DAP desak Akta Kualiti Alam Sekitar dipinda untuk hukum pesalah jerebu

Posted: 21 Jun 2013 02:22 AM PDT


Oleh Md Izwan
June 21, 2013

Satu usul akan dikemukakan DAP sebaik sahaja sidang Parlimen dibuka bagi mendesak pindaan Akta Kualiti Alam Sekitar untuk menghukum pihak tidak bertanggungjawab sebagai punca masalah jerebu, ia ekoran tuduhan Menteri Kanan Indonesia, Agung Laksono mengatakan syarikat Malaysia yang bertanggungjawab membakar hutan dengan sengaja.

Jerebu yang bermula di selatan tanah air kini sudah merebak ke Negeri Sembilan, dua kawasan di Johor iaitu Pasir Gudang dan Kota Tinggi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya pada 310 dan 313 masing-masing.

"Saya akan mengarahkan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching untuk mengemukakan cadangan tersebut melalui suatu usul segera di Parlimen minggu hadapan," katan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini.

"Undang-undang tersebut akan membenarkan Malaysia mengambil tindakan terhadap mana-mana syarikat Malaysia dan syarikat antarabangsa yang beroperasi di Malaysia yang menyumbang atau bertanggungjawab atau pun memainkan peranan secara langsung atau tidak langsung dalam kebakaran merentas sempadan di Indonesia," tambahnya lagi.

Lim juga turut menggesa supaya kerajaan Indonesia sendiri mengambil tindakan ke atas syarikat-syarikat yang didakwa mereka sebagai punca pembakaran hutan tersebut, serta menggesa negara jiran tersebut menandatangani Perjanjian Southeast Asian Transboundary Haze Agreement (SEATHA).

"Indonesia harus bertanggungjawab penuh di atas kegagalannya memenuhi tuntutan antarabangsa kepada ASEAN dan Malaysia di bawah rancangan kerjasama pencemaran rentas sempadan ASEAN untuk mencegah jerebu," tegas Lim lagi, sambil mendesak Putrajaya untuk menekan negara jiran tersebut menandatangani perjanjian tersebut.

Masalah jerebu kali ini bukan yang kali pertama berlaku, malah Malaysia dan negara jiran lain terpaksa berhadapan sejak 20 tahun dulu dan hingga kini tidak menemui jalan penyelesaian.

Malaysia telah mengalami dua jerebu teruk setakat ini, satu pada tahun 1997 dan satu lagi pada tahun 2005.

Pada September 1997, di saat indeks pencemaran udara di Sarawak melampaui paras 600, kerajaan terpaksa mengumumkan darurat, sehingga hanya farmasi, klinik, kedai dan perkhidmatan keperluan sahaja yang dibenarkan beroperasi, mengakibatkan kerugian ekonomi bernilai hampir $9 bilion di Asia Tenggara.

Bagi menangani masalah tersebut daripada terus merebak, Lim juga menggesa agar Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaksanakan pembenihan awan dengan segera di tempat-tempat yang paling teruk dilanda jerebu disamping memantau sebarang pembakaran terbuka.

Ekoran masalah jerebu yang melanda di Johor, Pengarah Jabatan Pendidikan Johor Mohd Nor A Ghani memaklumkan bahawa 589 sekolah di Muar, Batu Pahat, Pasir Gudang dan Pontian diarah tutup sehingga makluman lanjut diberitahu.

Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) juga memaklumkan jumlah kes pesakit akibat jerebu di negeri itu terutama masalah Upper Respiratory Tract (URTI) meningkat sebanyak 21 peratus minggu ini berbanding minggu sebelumnya.

Tahap IPU dikategori sebagai bahaya apabila bacaan mencecah 301 dan lebih, sangat tidak sihat (201 hingga 300), tidak sihat (101 hingga 200), sederhana (51 hingga 100) dan sihat pada kosong hingga 50.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru pihak bertanggungjawab menggerakkan sistem pemantauan kesihatan bagi mengesan penyakit berkaitan jerebu.

Beliau turut menekankan bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada rawatan.

Walaupun terdapat amaran terhadap masalah jerebu yang semakin parah, Pakatan Rakyat (PR) tetap berkeras akan meneruskan perhimpunan Black505 pada Sabtu ini.

"Menurut laporan API, Selangor belum mencapai tahap merbahaya 100 dan ke atas," kata Pengarah Strategi PKR Rafizi semalam. - 21 Jun, 2013.

Hukuman penjara bekas guru agama dan sukarelawan ditambah kepada 20 tahun

Posted: 21 Jun 2013 02:03 AM PDT

June 21, 2013

Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara seorang bekas guru agama dan seorang sukarelawan yang menyebabkan kematian seorang penghuni Rumah Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) lima tahun lepas, daripada 15 tahun kepada 20 tahun.

Hakim Datuk Nurchaya Arshad membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Mohammed Azizi Mohd Vello, 30, dan Mohd Shuhaidi Mohamad, 31, terhadap sabitan dan hukuman 15 tahun penjara ke atas mereka yang diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 29 Feb tahun lepas.

Nurchaya turut menolak permohonan peguam Abdul Halem Mohamad Husin yang mewakili Mohammed Azizi dan Mohd Shuhaidi agar pelaksanaan hukuman ke atas kedua-dua anak guamnya ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Sebaliknya beliau memerintahkan Mohammed Azizi menjalani hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh dia dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen pada 29 Feb tahun lepas manakala hukuman penjara ke atas Mohd Shuhaidi diarahkan berkuatkuasa hari ini berikutan tertuduh berada dalam jaminan.

Pada 29 Feb tahun lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas kedua-dua tertuduh selepas didapati bersalah menyebabkan kematian Megat Mohd Amirul Adha Sobri, 23, di Perkid yang beralamat di No: 9, Jalan Sentosa, Batu 14, Hulu Langat, kira-kira pukul 11 pagi, 26 Jun 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh didenda.

Mengikut keterangan kes, mangsa yang pengsan selepas kejadian itu telah dikejarkan ke Hospital Ampang tetapi disahkan meninggal dunia dan punca kematiannya adalah akibat hentakan senjata tumpul di kepala.

Doktor turut mengesahkan terdapat 70 luka pada badan, kepala, muka, paha dan kaki mangsa.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mohammed Azizi, sukarelawan di Perkid, sebuah badan bukan kerajaan yang menumpukan kepada isu seperti murtad di kalangan orang Melayu Islam, dadah dan akhlak, menyertai rumah kebajikan itu pada awal 2007 untuk menerima rawatan dan sebaik pulih menawarkan diri sebagai sukarelawan di pusat itu.

Mohd Shuhaidi yang juga ketua operasi Perkid Hulu Langat pula menyertai rumah kebajikan itu pada 2004.

Timbalan Pendakwa Raya Fazillah Begum hadir bagi pihak responden sementara peguam M.Athimulan dan Ridha Abdah Subri hadir sebagai peguam pemerhati bagi keluarga mangsa. - Bernama, 21 Jun, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved