Sabtu, 29 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kayveas: Perhimpunan agung PPP serentak pemilihan parti Jun tahun depan

Posted: 29 Jun 2013 01:20 AM PDT

June 29, 2013

Parti Progresif Penduduk - Gambar dari Wikipedia Perhimpunan Agung ke-60 Parti Progresif Penduduk (PPP) ditangguhkan dan akan diadakan serentak dengan pemilihan parti dijadualkan sebelum 2 Jun tahun depan.

Presiden PPP Datuk M.Kayveas berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti hari ini memutuskan demikian memandangkan tempoh lima tahun untuk pemilihan berjalan sehingga Jun 2014.

"Kali terakhir pemilihan parti diadakan pada 2009. Oleh kerana pada perhimpunan agung tiada banyak aktiviti dan keputusan dibuat, maka mesyuarat hari ini memutuskan untuk menangguhkan perhimpunan agung tahun ini dan dilaksanakan pada masa sama dengan pemilihan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT PPP 03/2013 di sini.

Mesyuarat itu juga memutuskan supaya PPP menubuhkan jawatankuasa kecil diketuai Penolong Setiausaha Agungnya Simon Sabaphaty untuk membuat beberapa pindaan pada perlembagaan parti.

Beliau berkata antara pindaan ialah mengurangkan jumlah lantikan anggota MT seramai 45 orang ketika ini kepada jumlah yang lebih sesuai.

Selain itu, Kayveas berkata parti juga akan memilih Anggota Jawatankuasa setiap Dewan Undangan Negeri bagi membantu bahagian dan cawangan dalam menyelaras aktiviti dan perjalanan parti di setiap negeri. - Bernama, 29 Jun, 2013.

UMNO Kelantan bantu pastikan DUN Kuala Besut kekal di tangan BN

Posted: 29 Jun 2013 01:16 AM PDT

June 29, 2013

Umno Kelantan akan membantu Umno Terengganu dalam memastikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu kekal di tangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN itu nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah mengarahkan Umno Bahagian Pasir Puteh, yang merupakan daerah jiran, supaya segera turun padang membantu jentera pilihan raya BN di DUN itu.

"Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman yang merupakan ADUN Semerak adalah bekas guru di Kuala Besut dan beliau ada pengaruh di situ dan saya sudah minta Umno bahagian itu untuk segera membantu.

"DUN Kuala Besut ini merupakan `anak angkat' saya, sudah tentu saya mahukan Kuala Besut ini terus kekal dipertahankan BN," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung kali pertama Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Cawangan Kelantan di sini, hari ini.

Pilihan raya kecil itu akan diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A. Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lepas akibat kanser paru-paru.

Allahyarham merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri. Pada pilihan raya umum ke-13, Allahyarham mempertahankan kerusi DUN itu dengan mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjanji akan menyelesaikan masalah petani Kelantan yang mendakwa tidak mendapat pelbagai bantuan termasuk subsidi seperti yang dibangkitkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan baru-baru ini.

Pada persidangan itu, beberapa penyokong kerajaan negeri mendakwa petani di beberapa jajahan negeri itu tidak menerima beberapa peruntukan termasuk subsidi padi.

Berikutan itu, petani berkenaan didakwa akan memboikot musim baru penanaman padi dan juga akan menyekat pengaliran air yang melalui sawah mereka. - Bernama, 29 Jun, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved