Jumaat, 7 Jun 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


DAP akan bangunkan Rangkaian Ubah Luar Negara dekati pengundi

Posted: 07 Jun 2013 02:08 AM PDT

Oleh Mohd Farhan Darwis
June 07, 2013

KUALA LUMPUR, 7 Jun — DAP akan membangunkan rangkaian 'Ubah' di luar negara bagi mendekati kumpulan pengundi luar negara selepas parti itu memberi fokus kepada serangan tanpa henti oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) dengan penglibatan media kawalan Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai demi membina alasan bagi mengharamkan parti DAP.

Rangkaian berkenaan dijangka akan mendekati sekitar 500,000 rakyat Malaysia di luar negara terutamanya mereka yang berada di Singapura, Eropah, Amerika, Australia dan Asia-Pasifik.

"Ada lebih banyak ruang dan peluang untuk mendapatkan sokongan daripada 500,000 rakyat Malaysia luar negara yang layak mengundi tetapi tidak berbuat demikian," kata Lim Guan Eng (gambar) dalam satu kenyataan di sini.

Beliau turut mengemukakan contoh jumlah pengundi yang keluar mengundi sangat tidak memuaskan di luar negara ketika Pilihan Raya 2013, apabila di Great Britain, dengan hampir 80,000 warga Malaysia, hanya 1,200 yang mengundi di Kedutaan Malaysia di London.

Setiausaha Agung DAP itu turut menegaskan kepentingan warga Malaysia yang menetap di luar negara semakin meninggi berikutan perakuan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundian luar negara di Kedutaan Malaysia sewaktu pilihan raya ini.

Dalam kenyataan sama Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengumumkan pelantikan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok sebagai Pegawai Perhubungan Politik Kerajaan Negeri Selangor dan tiga ahli majlis pimpinan Pakatan Rakyat  (PR) bagi Kerajaan Negeri Selangor mewakili DAP iaitu Tony Pua, Datuk Teng Chang Khim dan Gobind Singh Deo.

"Ini telah diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 5 Jun 2013," katanya.

DAP jelasnya akan terus tabah dan mempertahankan status parti di luar dan dalam mahkamah berikutan usaha BN untuk menang dengan taktik kotor dengan mengharamkan DAP selepas mereka kalah teruk dalam pilihan raya umum tahun 2013.

"BN sedang cuba balas dendam dengan berusaha untuk membatalkan pendaftaran DAP secara tidak sah berdasarkan penipuan tidak berasas dan mendakwa pemimpin PKR, PAS dan DAP dengan dakwaan remeh di mahkamah untuk membatalkan kelayakan wakil rakyat yang sudah dilantik," katanya.

CEC DAP tegas Lim secara terang mencela perbuatan jahat BN yang cuba mewujudkan penipuan kononnya tidak ada notis diberikan kepada lebih 700 perwakilan sedangkan sebenarnya notis telah dihantar.

"Malah surat siasatan RoS tentang kegagalan menghantar notis pun merujuk hanya 4 cawangan dengan kurang daripada 15 perwakilan, BUKAN lebih 700 perwakilan. Dan 3 daripada 4 cawangan yang dimaksudkan telah pun menghantar perwakilan ke Kongres Kebangsaan DAP pada bulan Disember tahun lalu," tambahnya.

"Bukan sahaja BN kalah kepada DAP dalam PRU ke 13 dengan DAP memenangi 38 daripada 51 kerusi Perlimen yang ditandingi dan 95 daripada 103 kerusi DUN, malah BN juga kalah kepada Pakatan Rakyat apabila ia menang undi popular sebanyak 51% untuk pertama kali dalam sejarah berbanding 48 peratus undi popular BN."

Pemilik kereta yang terperangkap di dalam runtuhan dikenal pasti

Posted: 07 Jun 2013 02:06 AM PDT

June 07, 2013

GEORGE TOWN, 7 Jun — Polis mengenal pasti pemilik kereta jenis Perodua Kelisa yang terperangkap di dalam runtuhan akibat dihempap oleh tanjakan konkrit susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung di sini sebagai Rohaizad Md Sofar. 

Jurucakap polis berkata bagaimanapun polis tidak dapat mengesahkan sama ada Rohaizad, 43, yang beralamat di Sungai Dua, Gelugor di sini, adalah mangsa yang masih tersepit di dalam kenderaan itu.

"Kita meminta kerjasama semua pihak yang mengenali pemilik kenderaan itu untuk membantu siasatan bagi mengenal pasti mangsa," katanya.

Mangsa bagaimanapun belum dapat dikeluarkan lagi dari kereta itu dan kerja mengalih sisa tanjakan konkrit yang telah dipotong itu sedang giat dijalankan.

Semalam, runtuhan penyambung susur keluar Jambatan Kedua Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di Batu Maung itu menghempap sebuah kereta dan seorang mangsa dipercayai terperangkap di dalam runtuhan itu.

Dalam kejadian itu, dua bahagian konkrit iaitu 180 ton konkrit keras dan 100 ton konkrit lembut runtuh secara tiba-tiba dan menghempap sebuah kenderaan.

Tiga orang iaitu dua pekerja asing dan seorang wanita tempatan cedera dalam kejadian itu.

Sementara itu, kerja mengangkat sisa runtuhan tanjakan konkrit yang dipotong sedang giat dijalankan oleh pasukan penyelamat di kawasan kejadian.

Jurucakap bomba berkata runtuhan tanjakan konkrit dan besi itu terpaksa dipotong lebih kecil bagi memudahkan kerja mengalih dan mengangkut dilakukan.

Katanya setelah runtuhan tanjakan itu dialih, barulah bomba dapat mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta akibat dihempap tanjakan konkrit itu. 

Beliau berkata lebih 300 anggota pasukan yang terdiri daripada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, pekerja syarikat pembinaan dan kontraktor sedang bertungkus-lumus mengalihkan runtuhan konkrit dan besi seberat beratus-ratus tan itu. — Bernama

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved