Rabu, 10 Julai 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tabung Haji yakin subsidi jemaah mampu dikekalkan

Posted: 10 Jul 2013 02:33 AM PDT

July 10, 2013

Tabung Haji (TH) yakin pemberian subsidi kepada bakal jemaah haji akan diteruskan pada masa akan datang tetapi jumlahnya bergantung kepada keuntungan hasil pelaburan yang dibuatnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail berkata tahun ini TH memberi sejumlah RM5,575 subsidi kepada setiap jemaah haji bagi memastikan kos mengerjakan haji kekal sebanyak RM9,980.

Katanya, hasil pelaburan bergantung kepada perancangan efektif dan sistematik pengurusan TH yang perlu seiring dengan kestabilan ekonomi negara bagi menggalakkan lebih banyak perniagaan dan pelaburan.

"Tabung Haji kena berjaya supaya ia mampu menanggung subsidi, kalau tidak berjaya, jangankan subsidi, nak bayar dividen pun tidak boleh.

"Kejayaan itu timbul daripada suasana ekonomi yang menggalakkan perniagaan, dan kebanyakan pelaburan Tabung Haji dilakukan di Malaysia," katanya.

Ismee berkata subsidi yang ditanggung TH merupakan satu per tiga daripada kos sebenar mengerjakan haji iaitu kira-kira RM15,000.

Kos haji hanya sekali dinaikkan iaitu pada tahun 2008 daripada RM8,973 kepada RM9,980 berikutan banyak pembangunan dilakukan kerajaan Arab Saudi untuk keselesaan jemaah haji. - Bernama, 10 Julai, 2013.

GST lebih efisien berbanding cukai jualan, kata pakar

Posted: 10 Jul 2013 02:14 AM PDT

July 10, 2013

Cukai barangan dan perkhidmatan (GST) lebih efisien dan menyebabkan kurang herotan ekonomi berbanding cukai jualan yang akan digantikan, kata pakar ekonomi.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd (MARC), Nor Zahidi Alias, berkata struktur GST akan menyediakan insentif kukuh bagi perniagaan untuk berdaftar dengan pihak berkuasa cukai, dan seterusnya menambah baik kecekapan kutipan. 

"Salah satu cara ia akan memberi manfaat kepada ekonomi ialah GST adalah neutral berkaitan dengan kuasa pasaran dan perniagaan, tidak seperti cukai jualan," katanya.

Nor Zahidi berkata, cadangan kadar tujuh peratus akan memberi kesan minimum kepada harga dalam tempoh jangka sederhana dan panjang berbanding cukai jualan sekarang antara lima peratus dan 10 peratus.

Katanya, terdapat kemungkinan inflasi tinggi dalam fasa awal, terutama jika aktiviti pencatutan tidak dibendung dengan baik. Sementara itu RHB Research berkata pengenalan GST dijangka membawa kepada kenaikan sekali inflasi, bergantung kepada paras barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan indeks harga pengguna (IHP) yang akan terbabit. 

Pelaksanaan GST dijangka menambah antara 0.8 dan dua mata peratusan kepada IHP, mengandaikan kira-kira 20 peratus dan 50 peratus barangan dan perkhidmatan dalam kumpulan IHP akan tertakluk kepada empat peratus GST, kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya.

Dalam Bajet 2013, kerajaan menyatakan adalah penting untuk melaksanakan rejim cukai baharu bagi memastikan kewangannya kekal kukuh, kata firma itu.

Ketua Ekonomi Nomura International bagi Asia kecuali Jepun, Rob Subbaraman berkata, cukai penggunaan akan meningkatkan hasil kerajaan dan mengurangkan defisit fiskal yang seterusnya juga boleh meningkatkan lebihan akaun semasa.

"Cukai penggunaan boleh berfungsi meningkatkan lebihan akaun semasa kerana ia boleh mengurangkan penggunaan isi rumah berbanding pendapatan, yang seterusnya meningkatkan tabungan peribadi," katanya.

Nomura, dalam laporan 'Asia's Rising Risk Premium' berkata lebihan akaun semasa Malaysia semakin mengecil dalam tempoh dua tahun lepas, mencecah paras rendah dalam tempoh 10 tahun pada 3.7 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dalam suku pertama 2013 berbanding 10 peratus daripada KDNK pada 2011.

"Pengurangan lebihan akaun semasa itu adalah disebabkan kombinasi daripada eksport lemah, permintaan domestik kukuh dan harga komoditi rendah," kata firma itu. - Bernama, 10 Julai, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved