Selasa, 2 Julai 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kedudukan Saifuddin Nasution di pejabat MB Selangor masih kabur

Posted: 02 Jul 2013 02:43 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
July 02, 2013

Kedudukan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai perhubungan politik menteri besar Selangor masih lagi kabur buat masa ini walaupun sebelum ini Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan pelantikan mengenai jawatan itu.

Ketua Umum PKR itu mengumumkan Saifuddin dilantik sebagai pegawai perhubungan politik kepada menteri besar Selangor  sewaktu menggulung perbahasan Kongres Tahunan Nasional ke-9 PKR di Dewan Sivik MBPJ pada hujung Mei lalu.

"Pengesahan berkenaan perlu dijawab sendiri oleh Tan Sri Khalid Ibrahim," kata Saifuddin apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider hari ini. 

"Jawatan jurucakap politik itu masih belum diwujudkan di negeri Selangor,"  tambah beliau.

Sementara itu, Pengerusi PKR Selangor Mohamed Azmin Ali pada awal bulan lalu mendedahkan ada di kalangan anggota PKR Selangor yang kurang senang dengan perlantikan Saifuddin ke jawatan berkenaan.

Azmin memberitahu pelantikan berkenaan seolah-olah meminggirkan pemimpin PKR Selangor yang lain.

Sinar Harian turut melaporkan ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamarudin pada Jun lalu belum menerima maklumat rasmi berhubung pelantikan Saifudin ke jawatan tersebut.

Zuraida memberitahu PKR mengalu-alukan pelantikan tersebut jika benar ia dibuat demi kepentingan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Awal bulan lalu, Abdul Khalid memberitahu tugas Saifuddin di pejabat menteri besar Selangor akan diumumkan pada minggu berikutnya namun sehingga kini pelantikan berkenaan masih kabur.

Abdul Khalid membayangkan antara tugas jurucakap berkenaan adalah membantu penglibatan kerajaan negeri dalam pembangunan desa dan luar bandar.

Menteri besar itu turut memberitahu pelantikan Saifuddin bukan lagi ura-ura. Beliau bercakap selepas mempengerusikan mesyuarat Exco pertama kerajaan negeri selepas Pilihan Raya 2013 di bangunan Setiausaha Kerajaan negeri (SUK) di Shah Alam, Selangor pada Jun tahun ini.

Pada Pilihan Raya 2013, Saifuddin yang bertanding mewakili PKR untuk kerusi Parlimen Kulim-Bandar Baharu  tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dengan majoriti 1,871 undi. - 2 Julai, 2013.

Pemberian kewarganegaraan di Sabah digantung hingga selesai RCI

Posted: 02 Jul 2013 01:51 AM PDT

July 02, 2013

Pemberian taraf kewarganegaraan di Sabah digantung dahulu hingga siasatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu pendatang asing tanpa izin di Sabah selesai, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.  

Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa permohonan dan pemberian taraf kewarganegaraan akan diteruskan sebaik sahaja siasatan RCI itu tamat.

Beliau juga memaklumkan bahawa pemberian taraf kewarganegaraan berjalan seperti biasa di Sarawak, antaranya melalui program 'outreach' bagi memastikan anak-anak tempatan dapat menikmati kemudahan pendidikan dan bantuan kerajaan. 

"Saya berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak bahawa kita tidak mahu masyarakat yang tidak berstatus warganegara, menjadi masyarakat yang terbuang dan tersisih di masa hadapan," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu). 

Tiong ingin tahu rancangan kementerian untuk menyelesaikan masalah permohonan taraf kewarganegaraan anak-anak Sabah dan Sarawak. 

Wan Junaidi berkata kuasa khas di bawah undang-undang negeri akan diberikan kepada ketua kampung, ketua kaum dan kapitan Cina membantu Jabatan Pendaftaran Negara mengenalpasti status perkahwinan dan kewarganegaraan ibu bapa. 

Beliau juga meminta wakil-wakil rakyat yang mempunyai masalah kewarganegaraan di kawasan masing-masing untuk membawa dokumen berkaitan dan berjumpa dengan beliau.

Menjawab soalan asal Tiong mengenai jumlah permohonan taraf kewarganegaraan yang telah diluluskan kerajaan di Bintulu, Sarawak sejak lima tahun lalu, Wan Junaidi berkata sebanyak 1,507 permohonan diluluskan. 

Mengenai jumlah kes yang masih tertunggak, Wan Junaidi berkata: "Pada masa ini, tidak ada permohonan taraf kewarganegaraan Malaysia di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan yang dikategorikan sebagai tertunggak." 

Sehubungan itu, beliau berkata beban untuk membuktikan kelayakan untuk dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia adalah di bawah tanggungjawab pemohon. - Bernama, 2 Julai, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved