Sabtu, 10 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Ahmad Husni tidak pertahan jawatan MT, peluang pemimpin muda laksana pembaharuan - Bernama

Posted: 10 Aug 2013 02:20 AM PDT

August 10, 2013
Latest Update: August 11, 2013 01:20 am

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi memberi laluan kepada golongan baharu pada pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata keputusan itu adalah sejajar dengan perubahan semasa yang turut diterjemah menerusi mesej rakyat pada pilihan raya umum Mei lepas.

"Kita perlu mengambil kira bahawa dunia telah berubah dan keputusan pilihan raya adalah mesej daripada rakyat, mereka mahukan pembaharuan.

"Dalam konteks pembaharuan, Umno memerlukan golongan baharu untuk berada dalam kepimpinan parti yang membawa kewibawaan, idea dan kompetensi baharu," katanya ketika ditemui pemberita pada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Sungai Rokam di sini hari ini.

Ahmad Husni, yang juga anggota Parlimen Tambun, berkata beliau akan lebih menumpukan kepada kementerian yang diterajuinya memandangkan suasana ekonomi serta kewangan semakin mencabar.

"Krisis ekonomi global tidak menunjukkan ia akan berakhir dalam masa terdekat, jadi kita perlu memastikan struktur kewangan negara di bawah kepimpinan kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik," katanya.

Katanya usaha mengukuhkan struktur kewangan akan melonjak kekuatan ekonomi domestik yang akan meletakkan negara pada landasan betul dalam mencapai pertumbuhan yang disasarkan.

Beliau menyertai Umno pada 1983 sebagai anggota Pergerakan Pemuda Bahagian Menglembu dan pernah berada dalam barisan Exco Pemuda Umno pada 1987 sehingga 1993 sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Tambun.

Pada 2009 beliau bertanding jawatan MT dan mendapat 1,529 undi dan dilantik sebagai Bendahari Umno. – Bernama, 10 Ogos, 2013.

Karpal minta Kuan Yew jaga tepi kain sendiri

Posted: 10 Aug 2013 02:01 AM PDT

August 10, 2013
Latest Update: August 10, 2013 05:05 pm

Pengerusi DAP Karpal Singh hari ini membidas bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew dengan memintanya menguruskan isu dalaman parti sendiri sebelum mengulas hal ehwal orang lain.

"Kenyataannya (Lee) bahawa pakatan tidak akan dapat mentadbir negara ini dengan berkesan jika menguasai kerajaan persekutuan adalah tidak berasas," kata Karpal pada sidang media di Pulau Pinang.

Katanya Lee berhak melontarkan pandangan, namun beliau harus terlebih dahulu melihat urusan partinya iaitu People's Action Party (PAP) yang hilang enam kerusi pada pilihan raya umum lepas, selain kalah dalam dua pilihan raya kecil baru-baru ini.

"Seperti biasa Lee mahu menjadi juara di rantau ini. Saya fikir sudah tiba masanya beliau membiarkan orang lain pula memimpin. Beliau sepatutnya menikmati hari-hari tuanya," kata Karpal.

Lee menerusi buku bertajuk "One's Man View of The World" yang dilancarkan minggu lepas, antara lain berkata pakatan tidak akan mampu mentadbir Malaysia.

Sementara itu, mengulas gesaan beberapa pihak agar beliau mengisytiharkan hartanya, Karpal Singh yang juga Anggota Parlimen Bukit Gelugor mengulangi beliau tidak akan melayan gesaan daripada mereka yang tidak berkenaan.

"Tidak ada masalah untuk saya isytiharkan harta. Saya akan hanya berbuat demikian apabila Ketua Menteri (Lim Guan Eng) tetapkan tarikh," katanya.

Karpal digesa mengisytiharkan hartanya oleh pelbagai pihak susulan dakwaan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar RM50 juta kepadanya untuk merasuah hakim dan pendakwa raya.

Mengenai biografi pertamanya bertajuk "Karpal Singh: Tiger of Jelutong", beliau berkata buku dengan 325 muka surat itu ditulis Tim Donoghue dan mengambil masa 26 tahun untuk disiapkan. – Bernama, 10 Ogos, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved