Sabtu, 31 Ogos 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Air: Umno didakwa layan Singapura lebih baik dari negeri Pakatan

Posted: 31 Aug 2013 02:52 AM PDT

August 31, 2013

Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, ini ekoran cadangan Timbalan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanafiah agar laluan air Sungai Muda ke dalam sempadan Pulau Pinang disekat jika kerajaan negeri Pulau Pinang enggan membayar negeri Kedah bagi mengambil air mentah dari sungai tersebut.

Umno, dakwa Steven, sentiasa mengambil pendekatan zaman pra-Merdeka ini terhadap negeri-negeri Pakatan Rakyat, terutamanya melalui sabotaj urusan air di Selangor dan di Kelantan sekaligus menyebabkan penderita rakyat di negeri-negeri tersebut.

"Apa yang paling mengecewakan ialah, Johor melayan Singapura lebih baik dari Umno melayan negeri-negeri PR," katanya.

Johor telah sekian lama menjual air mentah pada harga yang teramat murah kepada Singapura dan kemudiannya membeli balik air yang telah dirawat dengan harga yang jauh lebih tinggi daripada negara jiran tersebut.

Walaupun negara sudah 56 tahun selepas Merdeka dan 50 tahun selepas terbentuknya negara tercinta Malaysia, bagi beliau, Umno masih berlagak macam "tiada Malaysia".

Baru-baru ini, Adun Bakar Bata dari Umno, Ahmad Bashah Md. Hanafiah merangkap Senator dan juga Timbalan Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mencadangkan laluan air Sungai Muda ke dalam sempadan Pulau Pinang disekat jika kerajaan negeri Pulau Pinang enggan membayar negeri Kedah bagi mengambil air mentah dari sungai tersebut.

Perkara ini telah diulang-ulang tetapi Umno masih tidak faham bahawa Pulau Pinang mempunyai hak riparian (riparian water rights) untuk mengambil air dari Sungai Muda yang melalui sempadan negeri secara semulajadi.

Demi semangat perpaduan nasional, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng juga telah meminta untuk berjumpa dengan Menteri Besr Kedah Mukhriz Mahathir bagi membincangkan perkara ini.

"Cadangan oleh Ahmad Bashah menunjukkan bahawa Umno masih terperangkap dalam mentaliti sebelum Merdeka," dakwa Steven.

Pertama sekali, katanya, Ahmad Bashah gagal menunjukkan sebarang semangat perpaduan antara dua negeri berjiran yang bernaung di bawah satu bendera Malaysia.

Keduanya, beliau berlagak seperti penjajah kerana hanya penjajah akan merompak hak rakyat dan mengeksploitasi sumber semula jadi mereka.

Justeru, sempena 31 Ogos, Hari Kemerdekaan dan 16 September Hari Malaysia, beliau menyeru Umno, terutamanya kerajaan negeri Kedah supaya menegakkan semangat kemerdekaan dan jangan berlagak macam penjajah mengenakan tuntutan yang tidak munasabah terhadap rakyat Pulau Pinang.

Putrajaya pertahan Syabas, gesa kerajaan Selangor beri kerjasama

Posted: 31 Aug 2013 02:18 AM PDT

OLEH MUZLIZA MUSTAFA
August 31, 2013

Putrajaya menggesa supaya kerajaan Pakatan Rakyat (PR) negeri Selangor bekerjasama dalam menangani masalah gangguan air yang melanda sekitar Lembah Klang daripada menyalahkan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid mempertahankan Syabas serta berpuas hati dengan langkah berjaga-jaga yang diambil untuk mengatasi masalah tersebut.

"Saya berpuas hati dengna tindakan yang diambil syarikat konsesi air Syabas dalam memberitahu orang ramai terhadap tumpahan minyak dan gangguan air.

"Semua orang bekerja dengan baik untuk mengatasinya. Ini bukan masa cari salah. Saya tidak mahu bercakap tentang politik, mari bekerjasama malah semalam setiausaha negeri juga berada disini untuk memeriksa keadaan," kata beliau.

Kenyataan Mahdzir dibuat selepas Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong membidas Syabas kerana cuba mewujudkan rasa panik di kalangan orang ramai dengan mengatakan berlakunya "krisis air".

Mahdzir berkata loji pemprosesan air Kuala Langat telah kembali ke normal dan akan kembali pulih secara berperingkat dalam tempoh lima hari.

Hari ini beliau juga telah melawat Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) di Bestari Jaya.

Menurutnya lagi, tumpahan minyak tersebut berjaya disekat dan dialihkan daripada memasuki loji.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga, contoh air akan diambil setiap dua jam untuk diuji bagi mengelak sebarang pencemaran, selain perangkap "oil boom" juga dipasang daripada memasuki loji.

Mengenai punca tumpahan minyak, Mahdzir mengesahkan perkara sama seperti Wong, dimana ia berpunca daripada bengkel lori berhampiran sungai.

"Pihak berwajib perlu mengambil tindakan ke atas pesalah tersebut," katanya.

Mahdzir kemudiaan membidas kerajaan negeri Selangor kerana enggan untuk melaksanakan projek Langat 2 sebagai alasan berlaku masalah gangguan air tersebut.

"Loji ini adalah sumber kepada pengguna di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Sebab itu kita perlukan projek Langat 2 supaya pengguna air tidak terjejas," kata beliau.

Daerah yang terjejas adalah sekitar  Petaling, Kuala Lumpur, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Pembantu Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred berkata niat syarikat konsesi tersebut adalah untuk memberi ingatan serta agar mereka mengetahui tentang krisis air atau masalah yang mungkin melanda mereka.

"1 juta pengguna bukan angka kecil. Kami bukan cuba untuk wujudkan panik tapi hanya mahu memberitahu orang ramai tentang apa yang berlaku dan kami sampaikan situasi tersebut.

"Pada masa sama berharap mereka dapat menguruskan dengan baik apabila gangguan air berlaku," terang beliau.

Awal hari ini, Wong membidas Syabas kerana "mewujudkan panik dikalangan orang awam" ekoran tumpahan minyak di Sungai Selangor yang menyebabkan gangguan air besar-besaran di Lembah Klang.

Beliau berkata Syabas tidak perlu mengeluarkan kenyataan yang menyebabkan orang ramai panik, malah punca tumpahan minyak tersebut juga tidak benar seperti yang dikatakan.

Beliau berkata empat loji yang ditutup sebelum sudah beroperasi semula pada jam 4 pagi tadi dan mula merawat sepenuhnya pada jam 6 pagi.

"Simpanan air sudah penuh," kata beliau sebaik Syabas semalam mengaktifkan pelan kecemasan ekoran tumpahan minyak tersebut.

Wong berkata Syabas tersalah beri maklumat kepada orang ramai tentang perkara tersebut.

"Adakah ini gangguan air? Ya. Adakah tumpahan itu teruk? Ya. Adakah ia krisis? Tidak. Kerana kita sudah mula menanganinya sejak petang semalam," kata Wong kepada The Malaysian Insider.

Bengkel tersebut telah pun ditutup selepas diberikan notis arahan, malah Wong juga berkata tindakan undang-undang bakal dikenakan ke atas pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

"Sepatutnya bengkel tersebut menyimpan minyak dalam tong, tapi sebaliknya yang berlaku... ia menyebabkan minyak tersebut mengalir dan masuk ke dalam sungai," tambah beliau lagi.

Menurut Wong lagi, semua minyak telah dikeluarkan daripada sungai dan bekalan air akan pulih secara berperingkat bergantung kepada lokasi kawasan yang terjejas akibat gangguan bekalan air.

"Semua minyak telah dikeluarkan, bekalan air yang terganggu akan pulih berperingkat.

"Kalau jauh lokasi dengan loji mungkin memakan masa sedikit, tapi kalau hampir mungkin akan cepat dapat air semula," ujarnya lagi. – 31 Ogos, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved