Ahad, 1 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Parti politik dan NGO lulus resolusi kutuk krisis Mesir, desak sidang khas Parlimen

Posted: 01 Sep 2013 03:03 AM PDT

OLEH MD IZWAN
September 01, 2013

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik Pakatan Rakyat (PR) hari ini meluluskan resolusi mengutuk rampasan kuasa di Mesir selepas selesai Sidang Meja Bulat Isu Rampasan Kuasa Mesir yang diadakan di ibu kota hari ini.

Dalam resolusi yang dibacakan oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menggesa pemerintah tentera supaya mengembalikan kuasa dan hak kepada rakyat Mesir.

"Kami pertubuhan politik dan ngo Malaysia yang menyertai sidang meja bulat mengenai Mesir pada 1 September 2013 mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai dan penindasan politik di Mesir.

"Kami sebulat suara menolak rampasan kuasa pihak tentera, kebebasan politik di Mesir dan perlantikkan kepimpinan pemerintah yang tidak sah kerana ia bertentangan dengan lunas demokrasi dan kehendak rakyat Mesir," kata beliau semasa membacakan resolusi tersebut.

Mohamad juga berkata usaha untuk memberi tekanan kepada pemerintah tentera Mesir akan diteruskan tanpa henti, serta menggesa supaya pihak antarabangsa mengambil tindakan terhadap pihak tentera yang merampas kuasa.

"Dengan kesegaran dan hak asasi manusia adalah impian rakyat Mesir tanpa mengira bangsa, masyarakat sejagat semua seluruh dunia bersolidariti dengan perjuangan demokrasi di Mesir.

"Kami berikrar untuk berusaha dengan segala upaya bagi menamatkan pemerintahan tentera dan kembalikan kuasa kepada presiden Morsi yang dipilih secara sah," kata Mohamad semasa membaca resolusi itu lagi.

Dalam sidang sama, cadangan oleh Presiden Ikram Malaysia Syed Ibrahim Syed Noh mendesak supaya satu sidang khas Parlimen juga dimasukkan dalam resolusi tersebut.

"Kami juga yang telah berbincang pada sidang hari ini, menyeru Parlimen Malaysia meluluskan satu resolusi seperti yang dibentangkan oleh saudara Syed Ibrahim tadi.

"Kami mendesak Parlimen Malaysia mengadakan satu sidang khas untuk mengutuk keras kekejaman di Mesir," kata Mohamad lagi.

Turut kelihatan dalam sidang meja bulat tersebut beberapa wakil daripada NGO seperti Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), wakil DAP Zairil Khir Johari dan wakil daripada PKR, Tian Chua serta Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, wakil Freedom and Justice Party (FJP), Ahmed Fahmy, juga turut hadir pada sidang meja bulat hari ini.

Pengasas Jawatankuasa Hal Ehwal Luar FJP tersebut menggesa masyarakat antarabangsa supaya bersama menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Mesir yang dinafikan hak demokrasi mereka, disamping membidas beberapa negara arab lain yang bersekongkol dengan rampasan kuasa.

"Hak asas fundamental rakyat Mesir telah dinafikan, rampasan kuasa yang tidak demokratik ini perlu ditentang.

"Rampasan ini didalangi oleh mereka yang tidak bertanggungjawab, yang mahu melihat Mesir berpecah serta didalangi oleh anasir luar seperti Israel dan juga negara arab seperti Arab Saudi," katanya lagi.

Bulan lalu, Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi digulingkan dalam satu rampasan kuasa oleh pihak tentera.

Sehingga kini pertempuran antara penyokong Morsi dari gerakan Ikhwanul Muslimin dan pemerintah tentera masih belum berhenti walaupun sudah mengorbankan banyak nyawa.

PAS juga telah menghantar memorandum bagi menyeru Kabinet membuat ketetapan bahawa kerajaan Malaysia mengadakan Sidang Dewan Rakyat tergempar mengutuk insiden di Mesir. – 1 September, 2013.

Melayu DAP: Tanda Putera propaganda kerajaan, biar rakyat menilai

Posted: 01 Sep 2013 02:54 AM PDT

OLEH MD IZWAN
September 01, 2013

Pemimpin Melayu DAP, Zairil Khir Johari membidas filem kontroversi Tanda Putera sebagai sebuah filem propaganda kerajaan Barisan Nasional (BN), menyifatkannya sebagai sejarah versi berat sebelah yang dibuat oleh pemerintah.

Ahli Parlimen DAP Bukit Bendera itu berkata peranan kerajaan dalam mewujudkan propaganda sememangnya sudah diketahui, serta menyeru agar pemimpin dalam DAP agar tidak cepat melatah mengkritik filem tersebut.

"Tanda Putera sememangnya ditaja oleh kerajaan, jadi ini dilihat sebagai satu propaganda kerajaan yang sudah memang selama ini berterusan melalui BTN (Biro Tata Negara )dan media.

"Ini adalah satu lagi cara mereka wujudkan propaganda, versi sejarah mereka sendiri," kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun, Zairil berkata filem tersebut adalah sebuah produk budaya dan sekiranya wujud kesilapan ataupun ketidakpuashatian ianya mestilah didebat secara sihat untuk memberi kefahaman kepada masyarakat.

"Saya rasa apa-apa pun, filem ini adalah satu produk budaya... jadi janganlah haramkannya, jangan kita larang, kita boleh balasnya dengan naratif kita sendiri. Maksudnya, kalau kita nak lawan kita kenalah guna hujah.

"Ini mungkin versi mereka, kita boleh terangkan ini pula versi kita. Kemudiaan, masyarakat boleh berdebat, berhujah dan membuat keputusan sendiri," ujarnya lagi.

Zairil juga menyatakan pendirian tidak bersetuju dengan langkah kerajaan Pulau Pinang yang menasihati pawagam-pawagam di negeri yang ditadbir DAP baru-baru sehingga menimbulkan kritikan terutamanya di kalangan pemimpin BN.

"Bagi saya, saya secara peribadi tidak menyokong apa-apa usaha untuk menyekat ataupun mengharamkan apa-apa output budaya.

"Biarlah, biar rakyat sendiri yang menghakimi dan menilai produk itu... jangan kita sebagai kerajaan mengongkong output ekspresi budaya," tegasnya lagi.

Minggu lepas, kerajaan negeri Pulau Pinang menyeru pengusaha pawagam di negeri itu tidak menayangkan Tanda Putera atas penyebaran maklumat yang tidak tepat berhubung tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Namun, pemimpin utama PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak setuju dengan tindakan kerajaan Pulau Pinang tersebut.

DAP telah mengkritik filem berkenaan yang kemudiannya disambut oleh MCA menyuaraksn kebimbangan berhubung babak dan dialog dalam filem berkenaan yang boleh mencetus ketegangan kaum.

Penasihat DAP Lim Kit Siang kesal dengan filem Tanda Putera yang masih menayangkan babak beberapa pemuda Cina kencing di tiang bendera laman bekas Menteri Besar Selangor Datuk Idris Harun meskipun filem itu telah dittangguhkan oleh kerajaan BN bagi mengelak musim Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggelar tindakan Lim sebagai satu perbuatan bodoh kerana Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri sahaja yang berhak membatalkan tayangan sesebuah filem dan bukannya kerajaan negeri.

Ahmad Shabery berkata beliau mahu penjelasan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang atas usaha mereka untuk menahan penyangan filem Tanda Putera di negeri itu.

Beliau menambah usaha kerajaan negeri yang dikuasai DAP itu hanyalah satu gerakan yang mahu menghancurkan seni filem tempatan.

Katanya, agensi di bawah kementeriannya akan meneliti terlebih dahulu sejauh mana kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan bagi menghalang tayangan sesebuah filem di tempat mereka. – 1 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved