Ahad, 15 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Tahalus siasi boleh dikaji tetapi bukan undur ke belakang, kata Nik Aziz

Posted: 15 Sep 2013 02:52 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
September 15, 2013

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersetuju dikaji kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

"Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada Umno yang sedang kelemasan," katanya.

Beliau dipercayai mengulas resolusi Multaqa Ulama Semalaysia yang dianjurkan Dewan Ulama PAS semalam.

Bagi Nik Aziz (gambar), kerjasama politik PAS  dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu malah ia merupakan keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihan raya umum (PRU) 2008.

Menurut beliau, PAS tidak merasa kesal apabila menyertai Pakatan Rakyat dan keputusan parti tersebut untuk bergabung merupakan satu tindakan tepat.

"Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada bukan Islam dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh Umno kerana parti itu bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah  beliau, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS  selama ini tidak pernah ditentang malah pemimpin-pemimpin DAP khususnya  sentiasa berbincang tentang nilai-nilai Islam.

"Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin Umno sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini," katanya lagi.

Ekoran itu beliau menggesa PAS untuk segera membuat perubahan terutama dalam memahami selok belok suasana politik agar parti yang bertunjangkan gerakan Islam akan terus kekal relevan di pentas politik negara.

"Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia," katanya.

Nik Aziz turut mengulas mengenai pandangan dibangkitkan Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika di Johannesburg, Afrika Selatan apabila dinegara itu zakat diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam.

"Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang bukan Islam yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur," Nik Aziz berkata.

Jelasnya ia sebagai satu lagi contoh bagaimana aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar dan ia perlu diperbaiki oleh PAS.

Malah ia turut menandakan misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat biarpun ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya namun turut memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik.

"Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam," katanya.

Semalam Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti Islam itu mengkaji balik tahaluf siasi (kerjasama politik) yang dibuatnya dengan PKR.

"Amat wajar sekali tahaluf siasi bersama PKR ini dikaji setelah berlaku perkara-perkara yang boleh melemahkan PAS dan merosakkan hubungan di dalam tahaluf siasi," kata Harun.

Cadangan itu dikemukakan beliau melalui ucaptama kepada Multaqa Ulama Semalaysia yang diadakan di Kota Sarang Semut, Alor Setar hari ini.

Ekoran itu multaqa itu membuat resolusi agar Majlis Syura dan AJK PAS Pusat mengkajinya.

Dalam pilihan raya lalu PAS menang 21 kerusi Parlimen dan hilang kerajaan negeri Kedah berbanding PRU-12 menang 23 kerusi Parlimen dan menang di Kedah.

Bagi melaksanakan kajian ini Harun dalam kertasnya itu mencadangkan agar satu jawatankuasa khas ditubuhkan untuk mengkaji dan menilai kemerosotan sokongan pengundi Melayu ekoran tahaluf siasi dengan PKR.

"Pertukaran, perebutan dan penyerahan kerusi potensi PAS kepada PKR juga antara faktor yang perlu dikaji kembali dan ia antara faktor utama yang perlu diberi perhatian," kata Harun.

Kenyataan Muhyiddin angkuh dan sombong, kata Teresa Kok

Posted: 15 Sep 2013 02:24 AM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM
September 15, 2013

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok menyelar kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin  mengenai pegumuman Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memperkasakan ekonomi bumiputera semalam sebagai angkuh dan kurang sensitif dengan kaum bukan bumiputera.

Menurut Teresa, Menteri Pelajaran itu  tidak sepatutnya membuat kenyataan sebegitu.

"Adakah beliau menyedari kenyataannya itu akan menyebabkan ramai pelajar kaum bukan bumiputera tidak boleh belajar di Universiti pilihan mereka, atau tidak mempunyai kelayakan mendapatkan biasiswa malah mengurangkan peluang perniagaan bagi kaum lain.

"Semalam mungkin merupakan hari bertuah buat Muhyiddin tapi hari ini kami, kaum bukan bumiputera menempelak kenyataan itu kerana ia bertentangan dengan slogan 1Malaysia yang dicanangkan Najib," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli parlimen itu, turut menyelar Najib apabila hanya menumpukan pemerkasaan ekonomi bumiputera sahaja tapi bukan pada seluruh kaum di Malaysia.

"Apa yang menghairankan bukankah sekarang ini merupakan masa tepat bagi Najib memikirkan kepentingan semua kaum di negara ini dan bukan hanya tertumpu kepada bumiputera saja kerana tindakan itu seolah-olah menafikan hak kaum bukan bumiputera sebagai penduduk Malaysia," katanya lagi.

Malah beliau juga berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan pada 1971 bagi membantu golongan bumiputera telah melangkaui beberapa dekad, dan terdapat beberapa penambahan polisi tersebut namun mengapa polisi itu masih lagi gagal untuk mencapai sasarannya.

"Apakah maksud DEB ini? Adakah ia polisi yang tidak berakhir kenapa pelan terdahuli gagal yang sekarang ini kononnya akan berjaya? Ekonomi berasaskan satu kaum saja pasti akan membuka lebih dalam jurang perkauman di negara ini," kata Teresa.

Selain itu Teresa juga mengkritik Perdana Menteri itu seolah membutakan rakyat dengan memberi ganjaran sekiranya mereka menunjukkan sokongan terhadap kerajaan.

Tindakan itu dilihat tidak selari dengan janji dibuat kerajaan Barisan Nasional selepas pilihan raya lalu yang ingin melaksanakan dialog perpaduan.

Sebelum ini Muhyiddin dalam reaksinya mengenai pengumuman Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera semalam berkata langkah itu amat dinantikan.

"Pada saya hari ini merupakan hari bertuah dan pastinya majlis yang paling dinantikan. Kami tidak akan peduli atau risau sekirangan kaum bukan bumiputera mahupun komuniti antarabangsa mengkrititik bahawa ia hanya untuk kepentingan tertentu," kata Muhyiddin.

Semalam Najib mengumumkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera yang menurutnya mampu meningkatkan penguasaan golongan berkenaan menjelang 2020.

Beliau berkata, pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30 peratus dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak empat dekad lalu.

"Pertama, daya modal insan Bumiputera perlu ditingkatkan dengan menawarkan peluang pekerjaan serta membantu graduan dari segi latihan tambahan melalui peruntukan tambahan kepada Giat Mara dan memperkasa program latihan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) kepada dua sesi," kata Najib.

Empat pendekatan lain yang diumumkan Perdana Menteri adalah memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat, mengukuhkan aset bukan kewangan, memperhebat keusahawanan dan memantapkan ekosistem penyampaian kerajaan terhadap golongan Bumiputera. Termasuk menambah 10 billion unit saham  bagi memantapkan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat. – September 15, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved