Isnin, 2 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Nurul Izzah: Aku mahu hidup seribu tahun lagi!

Posted: 02 Sep 2013 02:39 AM PDT

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA
September 02, 2013
Latest Update: September 02, 2013 06:01 pm

Nurul Izzah telah memenangi jawatan Naib Presiden PKR dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti pada tahun 2010. The Malaysian Insider pic by Afif Abd Halim, 2 September 2013.Nurul Izzah telah memenangi jawatan Naib Presiden PKR dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti pada tahun 2010. The Malaysian Insider pic by Afif Abd Halim, 2 September 2013.Pada 15 tahun lalu, pada 2 September 1998 satu peristiwa penting berlaku dalam arena politik di Malaysia apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat oleh perdana menteri pada ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad daripada jawatan timbalan perdana menteri dan menteri kewangan kerana dikatakan terbabit dengan aktiviti seks dan liwat.

Peristiwa itu bukan sahaja mengubah hidup Anwar daripada pembesar politik kanan negara kepada orang paling dibenci Barisan Nasional (BN), ia turut mengubah hidup anak sulung hasil perkongsian hidupnya bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah, gadis biasa yang meminati muzik Radiohead berubah hidupnya menjadi aktivis politik dan kini menjadi Naib Presiden PKR merangkap ahli Parlimen Lembah Pantai.

"Saya rasa 1998 adalah tahun di mana keremajaan saya dirampas. Tetapi saya tidak menyesal, cuma yang saya kesal adalah bapa saya masih lagi menanggung kesakitan akibat dipukul ketika ditahan dulu.

"Reformasi tercetus tatkala saya bergelar seorang mahasiswi, gadis belasan tahun. Sebulan sebelumnya saya sibuk dengan dunia akademik sebagai mahasiswi Universiti Teknologi Petronas," kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insider mengimbas kembali peristiwa 15 tahun lalu yang mengubah hidupnya.

Anwar ditangkap pada 20 September 1998, selepas menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu rakyat dan menjelaskan mengenai apa yang berlaku kepada dirinya selain melancarkan gerakan reformasi.

Sejak hari itu Anwar dipenjarakan serta naik dan turun mahkamah sebelum dibebaskan enam tahun kemudian. Nurul Izzah menemani ibunya Dr Wan Azizah berjuang untuk membebaskan Anwar.

"Kami beruntung kerana mempunyai banyak sokongan di sekeliling kami untuk melawan balik. Ia untuk mendapatkan kembali demokrasi. Ia untuk kembalikan papa kepada kami serta membebaskan tahanan politik lain," katanya.

Pembebasan Anwar pada 2004 selepas enam tahun dipenjara tidak menghentikan wanita ini daripada terus berjuang menggunakan platform politik.

Nurul Izzah pertama kali bertanding pilihan raya pada 2008 semasa pilihan raya umum ke-12 dan berjaya mengalahkan Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil yang juga seorang menteri.

Pada 2010, beliau memenangi jawatan Naib Presiden PKR dengan undi tertinggi dalam pemilihan parti itu.

Jika tidak kerana peristiwa 2 September itu, Nurul Izzah kini mungkin seorang jurutera yang tidak perlu memikirkan hal politik seperti hari ini.

"Semangat reformasi ini mengingatkan saya kepada kata-kata Chairil Anwar, 'aku mahu hidup seribu tahun lagi!'," katanya merujuk kepada penyair Indonesia itu dan berikrar untuk terus aktif berpolitik sehingga reformasi politik dan ekonomi berlaku di Malaysia.

"Kerana perjuangan ini merentasi masa, melangkaui individu dan memaknakan kemerdekaan diri," katanya.

Pada pilihan raya 5 Mei lalu, naib presiden PKR itu sekali lagi menumbangkan gergasi politik Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk mempertahankan kerusi Parlimen Lembah Pantai bagi penggal kedua.

Sempena ulang tahun ke-15 tarikh 2 September, ibu kepada dua anak ini akan mengumpulkan bahan bersejarah mengenai peristiwa itu dan akan diterbitkan.

"Bila tiba tarikh 2 September, saya persiapkan senarai warkah papa dari penjara dan nilai maknanya satu persatu. Insya Allah ia akan dibuku dan diterbitkan tidak lama lagi," katanya. – 2 September, 2013.

Dialog BN, PR: Keputusan ada pada PM

Posted: 02 Sep 2013 01:49 AM PDT

OLEH EILEEN NG
September 02, 2013

Keputusan berada di tangan Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil pertemuan BN dengan PR atau tidak.Keputusan berada di tangan Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil pertemuan BN dengan PR atau tidak.Jika ia terserah kepada ahli majlis tertinggi Umno untuk membuat keputusan, jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dialog antara Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) mengenai isu yang melanda negara, pastinya akan ditolak secara terang-terangan.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa kebanyakan ahli majlis tertinggi menolak cadangan ketua pembangkang itu untuk membincangkan isu yang menekan negara sekarang selepas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang membangkitkan isu itu untuk dibincangkan dalam mesyuaratnya Jumaat lalu.

Majoriti ahli majlis tertinggi berkata, Anwar `terdesak' dan `tidak boleh dipercayai'.

Seorang ahli tertinggi Umno yang enggan namanya didedahkan, memberitahu The Malaysian Insider, bahawa perdana menteri sendiri yang membangkitkan cadangan Anwar pada permulaan mesyuarat.

"Ramai juga yang hadir menentang idea itu. Kebanyakannya berpendapat Anwar terdesak dan mahu kekal relevan selepas kalah dalam petisyen pilihan raya," kata sumber itu.

Datuk seri Nazri Aziz dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam kelihatan paling meragui tawaran Anwar untuk mengadakan dialog itu.

Mereka menuduh Anwar tidak jujur dan menyatakan bahawa satu-satunya alasan untuk tawaran berdialog itu ialah Anwar berjuang untuk terus relevan, terutama sejak petisyen yang difailkan parti pembangkang ditolak oleh mahkamah.

"Ada beberapa ahli majlis tertinggi seperti Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Datuk Saifuddin Abdullah yang memberikan pandangan lebih sederhana dan munasabah," katanya.

Awang menyatakan mengenai orang Melayu mahu melihat perpaduan, sementara Saifuddin berkata, majlis perlu memberi maklum balas terhadap tawaran itu secara berstrategi, terutama sejak Najib ada bercakap mengenai perdamaian kebangsaan pasca PRU13.

Perdana menteri, kata sumber itu, hanya mendengar tanpa memberikan pandangannya.

Anwar menganjurkan beberapa siri rapat umum dengan nama Black 505 selepas membantah keputusan pilihan raya umum 5 Mei lalu.

"Walaupun kami membantah kesahihan keputusan pilihan raya lalu, kami bersedia untuk meletakkan ke tepi perbezaan demi negara," katanya.

"Kita percaya adalah sangat mustahak untuk perdana menteri mengadakan mesyuarat meja bulat antara kerajaan BN dengan PR untuk membincangkan isu yang dibankitkan dan menghasilkan penyelesaian yang komprehensif," katanya.

Anwar dalam ucapan Hari Kemerdekaan, berkata beliau meminta pertemuan segera diadakan antara kedua-dua parti untuk menyelesaikan masalah yang melanda negara.

"Pertemuan antara kedua-dua pihak PR dan BN perlu diadakan serta merta untuk menyelamatkan Malaysia," katanya.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengesahkan majlis tertinggi sudah mencapai kata sepakat mengenai perkara itu, tetapi menyerahkan kepada Najib untuk mengumumkannya. – 2 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved