Ahad, 29 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Karpal tidak akan undur selagi pembangkang gagal bentuk kerajaan

Posted: 29 Sep 2013 02:51 AM PDT

September 29, 2013

Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar) menegaskan beliau tidak akan berundur dari politik selagi pakatan pembangkang gagal membentuk kerajaan pusat.

Pemimpin veteran DAP itu tidak menolak kemungkinan yang beliau akan terus kekal menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

"Saya tidak akan undur dan bersara dalam waktu terdekat. Memang hasrat saya untuk menyerahkan kepimpinan kepada generasi muda. Kita semakin tua dan orang (pemimpin) tua perlu bersara satu hari nanti.

"Saya akan bersara dalam masa munasabah. Munasabah bermaksud lepas apa yang kami mimpikan iaitu untuk jadi kerajaan Persekutuan menjadi kenyataan. Lepas itu baru bagi kepada orang muda," katanya pada sidang media di Kongres Khas DAP hari ini.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Karpal, 73, berkata beliau dan kepimpinan generasi lama dalam parti itu termasuk penasihat DAP Lim Kit Siang, 72, perlu berundur bagi memberi laluan kepada generasi muda untuk menerajui parti itu.

Kerjaya politik Karpal, seorang peguam, bermula pada 1970 apabila beliau menyertai parti itu.

Beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Kedah pada 1974, dan mula menjadi anggota parlimen Jelutong, Pulau Pinang pada 1978.

Karpal gagal mempertahankan kawasan Jelutong yang dipegang melebihi 20 tahun pada Pilihan Raya Umum 1999.

Sejak 2004, Karpal menjadi wakil rakyat bagi kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan memegang jawatan sebagai Penasihat DAP pada tahun yang sama. – Bernama, 29 September, 2013.

Kerajaan cadang agihan BR1M dua kali tahun depan, kata Ahmad Husni

Posted: 29 Sep 2013 01:52 AM PDT

September 29, 2013

Kerajaan bercadang melaksanakan agihan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali pada tahun depan, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata selain itu kaedah penyaluran BR1M juga mungkin dibuat melalui transaksi kepada akaun bank penerima.

Sungguhpun begitu, beliau berkata nilai BR1M hanya akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2014 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, 25 Oktober ini.

"Kita telah menyediakan draf pertama yang telah dibentangkan kepada perdana menteri, jadi sekarang kita sedang memperkukuhkan lagi pemberian BR1M.

"Nilai sebenar masih belum dipastikan lagi, tetapi ia lebih daripada RM500 yang diberi sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sekolah Agama Rakyat Ehsaniah di Kampung Dato Ahmad Said Tambahan II, Gugusan Manjoi di Perak hari ini.

Katanya kaedah agihan BR1M sebanyak dua kali ini membolehkan penerima menggunakannya secara berhemat berbanding pemberian sekaligus.

Ahmad Husni berkata apabila dasar rasionalisasi subsidi dilaksanakan, kerajaan juga sedang meneliti model bantuan terbaik bagi membantu golongan yang mempunyai pendapatan keluarga RM4,000 sehingga RM5,000.

"Kerajaan juga melihat bagaimana mahu membantu golongan ini. Ia lebih kepada konteks apabila kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi, kita juga menyatakan kerajaan akan terus membantu, tetapi kita bantu mereka ini dalam bentuk yang lain, yang ini perinciannya saya tidak boleh beritahu, kita tunggu pembentangan belanjawan nanti," katanya.

Agihan BR1M 1.0 kepada golongan yang layak mula dilaksanakan oleh kerajaan tahun lepas.

Bagi BR1M 2.0 yang terkandung dalam pembentangan Belanjawan 2013 oleh Najib di Parlimen pada 28 Sept 2012, bantuan tunai RM500 diberi kepada rakyat Malaysia dengan pendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan sementara individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan layak menerima bantuan RM250. – Bernama, 29 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved