Selasa, 3 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pusat sehenti urus visa pelancong dari Bangladesh beroperasi 1 Oktober - Bernama

Posted: 03 Sep 2013 02:41 AM PDT

September 03, 2013
Latest Update: September 04, 2013 01:41 am

Sebuah pusat sehenti, dikendalikan agensi dilantik kerajaan akan mula beroperasi di Bangladesh pada 1 Oktober ini bagi menguruskan visa pelancong dari negara itu, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Alias Ahmad.

Beliau berkata pewujudan pusat itu dipersetujui Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam dan butirannya sedang diperincikan.

Katanya langkah itu antara lain bertujuan membanteras kegiatan pemalsuan visa dan pemerdagangan orang kerana bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini 6,136 pelawat dari Bangladesh dilarang masuk ke Malaysia kerana menggunakan visa palsu.

Visa palsu itu dipercayai ada kaitan dengan kegiatan pemerdagangan orang, katanya dalam sidang media di ibu pejabat Imigresen di sini hari ini.

"Pusat sehenti itu bertanggungjawab untuk memastikan setiap pelawat dari Bangladesh yang berhasrat memasuki Malaysia wajib memiliki tiket penerbangan pergi balik, nombor telefon untuk dihubungi, alamat penginapan hotel atau alamat tempat tinggal sepanjang tempoh mereka berada di Malaysia dan duit poket RM2,000.

"Pengeluaran visa untuk warga Bangladesh dinamakan Visa Luar Negara (VLN), sistem visa ini akan mencatatkan data lengkap setiap pelawat ke Malaysia dan data tersebut boleh diperoleh di semua pintu masuk Imigresen di seluruh Malaysia," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata urusan permohonan visa pekerja untuk warga Bangladesh masih tidak berubah dan melalui prosedur sama.

Mengenai Program Penyelesaian Menyeluruh Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (6P), beliau berkata sejak operasi bermula 1 Sept lepas, sejumlah 8,904 warga asing diperiksa dalam 57 operasi yang dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 2,586 ditangkap atas pelbagai kesalahan imigresen.

"Sebanyak 771 warga asing dari Indonesia ditangkap diikuti Myanmar (579), Bangladesh (389) dan Nepal (243), serta dari Kemboja, Vietnam, India, Pakistan, Filipina, China, Nigeria dan Thailand," katanya.

Kesemua yang ditahan akan dihantar pulang dengan segera dan warga asing yang tidak mempunyai pasport atau dokumen perjalanan akan dirujuk kepada kedutaan mereka untuk proses penghantaran pulang, katanya.

Alias berkata majikan yang didapati bersalah menggaji atau melindungi pekerja asing tanpa izin boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau enam sebatan atau ketiga-tiganya.

Mengenai seorang anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi mengesan pekerja asing tanpa izin di sebuah tapak pembinaan di Negeri Sembilan yang dikatakan diugut dengan sepucuk pistol, beliau berkata laporan polis telah dibuat mengenai insiden itu. - Bernama, 3 September, 2013

KPN: Anggota kongsi gelap berselindung di negara jiran - Bernama

Posted: 03 Sep 2013 02:32 AM PDT

September 03, 2013
Latest Update: September 04, 2013 01:32 am

Ops Cantas Khas yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak lebih dua minggu lepas, dilihat telah memberi tekanan kepada anggota kongsi gelap apabila mereka cuba mencari perlindungan di negara jiran.

Berikutan itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) berkata operasi memburu kumpulan kongsi gelap kini tertumpu di kawasan sempadan negara termasuk di pintu-pintu masuk.

Untuk operasi dalam negeri, katanya PDRM menjalinkan kerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Jabatan Imigresen dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita akan pantau semua pintu masuk sempadan supaya mereka tidak dapat keluar," katanya kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Pertauliahan Kor Sukses Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, hari ini.

Khalid berkata anggota kongsi gelap melarikan diri ke luar negara berikutan penahanan ketua-ketua kongsi gelap serta kesukaran menjalankan aktiviti jenayah disebabkan operasi pihak berkuasa, selain mahu menghapuskan tatu kumpulan pada anggota badan supaya sukar dikesan polis.

Beliau berkata PDRM mungkin bekerjasama dengan pihak berkuasa negara-negara jiran bagi menahan mereka yang diburu.

Dalam Ops Cantas Khas yang bermula 17 Ogos lepas, di seluruh negara PDRM menangkap 4,777 orang dan merampas 136 kenderaan curi, lapan senjata api, sebuah bom tangan, 54 peluru dan 133 senjata berbahaya.

Kementerian Dalam Negeri turut mengumumkan senarai 49 kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.

Dalam pada itu, Khalid berkata polis juga akan menyiasat warga asing yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap setelah laporan Ops 6P Jabatan Imigresen Pulau Pinang semalam mendapati adanya pintu bilik penginapan atau rumah kongsi warga asing di Bayan Lepas, mempunyai lambang kongsi gelap.

"Jika benar ini berlaku kita akan ambil-alih kes supaya siasatan senang dilakukan dan semasa disiasat semua elemen-elemen penting juga akan dilihat," katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata pihaknya sedang menyiasat kes itu.

"Polis setakat ini tidak mengesan pembabitan warga asing dalam kumpulan kongsi gelap tetapi sedia siasat," katanya ketika dihubungi Bernama. - Bernama, 3 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved