Isnin, 30 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


ISA juga tidak seharusnya diguna kepada ahli politik, kata Karpal

Posted: 30 Sep 2013 02:27 AM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
September 30, 2013

Peruntukan untuk tidak menggunakan akta tahanan tanpa bicara terhadap ahli politik telah sedia ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dimansuhkan pada 2011, kata Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar).

"Ya ... ia telah lama wujud dalam ISA, Tun Razak dah katakan perkara itu," kata Karpal ketika ditemui pemberita di Parlimen hari ini, sambil merujuk kepada perdana menteri kedua Tun Abdul Razak.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memberikan respon terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah yang akan dibaca untuk kali kedua di Parlimen esok bagaimanapun percaya pindaan berkenaan akan tetap dilaksanakan.

"Mereka akan luluskannya ... saya percaya, mereka selalu lakukan begitu.

"Kita tidak boleh mansuhkan semua akta pencegahan untuk menarik undi, kemudian kita perkenalkan akta baru," katanya membidas tindakan Putrajaya meminda akta berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri telah membuat bacaan kali pertama pindaan akta berkenaan minggu lalu yang memperuntukkan penahanan tanpa bicara atas alasan mengekang kes jenayah berat yang semakin berleluasa.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menentang pindaan berkenaan yang menurut mereka bercanggah dari aspek hak asasi manusia.

Kumpulan aktivis Gerakan Rakyat Tolak ISA 2.0 menggelarkan akta berkenaan "seiras" dengan ISA kerana memperuntukkan tahanan tanpa bicara terhadap pesalah.

Mereka telah menganjurkan demonstrasi di perkarangan Parlimen hari ini, dengan disertai kira-kira 50 peserta sebelum menyerahkan memorandum kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

"Amat mengejutkan apabila sebuah rang undang-undang yang mempunyai kepentingan awam dan memberi kesan yang begitu mendalam tidak melalui proses konsultansi yang telus dan menyeluruh," kata memorandum mereka.

"Pindaan ini dibuat tanpa rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam dan masyarakat madani, apatah lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa hari-hari kerajaan lebih mengetahui telah berakhir."

Jelas mereka lagi, Seksyen 19A dalam rang undang-undang berkenaan turut memberi kuasa mutlak kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk menahan tertuduh selama dua tahun tanpa perlu mendakwa.

"Perkara ini bercanggah dengan Perkara 10 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang mana menetapkan setiap orang dituduh mestilah mendapat hak untuk dibicarakan secara adil di mahkamah dan juga bercanggah dengan kedaulatan negara," kata intipati memorandum mereka yang turut diserahkan kepada media. - 30 September, 2013.

Mahkamah arah ujian umur ke atas amah bunuh majikan

Posted: 30 Sep 2013 02:12 AM PDT

September 30, 2013

Prabowo (kanan) bersama ibubapa Wilfrida di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. - Gambar The Malaysian Insider, 30 September, 2013.Prabowo (kanan) bersama ibubapa Wilfrida di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini. - Gambar The Malaysian Insider, 30 September, 2013.Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan telah mengarahkan pembantu rumah warga Indonesia yang berhadapan tuduhan membunuh majikan menjalani ujian di Unit Tulang Hospital Universiti Sains Malaysia untuk menentukan umurnya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim turut memerintahkan Wilfrida Soik menjalani penilaian psikiatri.

The Star Online melaporkan calon presiden Indonesia Prabowo Subianto dan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayatino, turut hadir di mahkamah.

Terdahulu, peguam yang dilantik Subianto, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membuat permohonan untuk Wilfrida menjalani pemeriksaan menentukan umurnya. Beliau dikatakan berumur 17 tahun.

Kes ini telah menarik perhatian di Indonesia kerana tertuduh mendakwa dirinya menjadi mangsa penyeludupan manusia.

Dia dituduh membunuh majikannya di Pasir Mas pada tahun 2010.

Prabowo, pemimpin dari Partai Gerakan Indonesia Raya, tiba di Kota Bharu dalam usaha keras untuk "menyelamatkan" Wilfrida dan menimbang untuk membuat rayuan secara terus kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Laman portal The Tribunnews.com melaporkan Prabowo pernah melanjutkan pelajaran di Kuala Lumpur semasa bapanya, Sumitro Djoyohadikusumo, bertugas di Malaysia.

Beliau mempunyai hubungan rapat dengan Najib memandangkan kedua-dua bapa mereka adalah rakan rapat.

Wilfrida, 17, telah bekerja sejak berusia 12 tahun dan dikatakan telah menjadi mangsa penyeludupan manusia.

Menurut laporan, Wilfrida pada tahun 2010 telah ditawarkan oleh beberapa lelaki yang berjaya mendapatkannya pekerjaan di Malaysia.

Untuk membantu beliau masuk ke Malaysia, mereka memalsukan sijil miliknya bagi mendapat kebenaran sebagai seorang dewasa.

Sebaik sahaja tiba di Malaysia, Wilfrida telah bekerja sebagai pembantu rumah dengan seorang wanita tua yang menghidap penyakit Parkinson. Wanita itu ditemui mati pada 7 Disember 2010, dan Wilfrida ditahan dua minggu kemudian.

Seramai 220,000 pembantu rumah dari Indonesia bekerja di Malaysia, diikuti oleh Hong Kong (152,000) dan Singapura (90,000) namun, beberapa kes penderaan berprofil tinggi mengakibatkan Indonesia telah mengkaji semula untuk menghantar rakyat mereka ke Malaysia dan negara-negara ini.

Jakarta juga telah mengetatkan peraturan untuk rakyatnya bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia.

Agus Triyanto, yang berkhidmat di jabatan buruh Kedutaan Indonesia memberitahu The Malaysian Insider bulan lalu bahawa bermula tahuun 2017, pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia tidak perlu tinggal di rumah majikan mereka. – 30 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved