Sabtu, 7 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Raja Nong Chik gesa BN terima saranan Anwar

Posted: 07 Sep 2013 02:23 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
September 07, 2013
Latest Update: September 08, 2013 01:23 am

Raja Nong Chik mahu BN terima tawaran Anwar. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 September, 2013.Raja Nong Chik mahu BN terima tawaran Anwar. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 7 September, 2013.

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin hari ini menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menerima cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding bersama Pakatan Rakyat (PR) agar perbagai permasalahan dapat diselesaikan secara permuafakatan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan itu menegaskan sekiranya parti Melayu lain seperti PAS ingin menyertai rundingan tersebut, maka cadangan itu perlu diambil kira oleh BN.

"Jika semua parti Melayu sedia duduk bersama untuk berbincang maka BN harus menyahut seruan perpaduan itu demi rakyat. Demi pihak majoriti yang ingin melihat kerjasama tersebut, BN harus menyahut seruan ini.

"Sekiranya orang Melayu mampu untuk bersatu maka kaum lain akan menghormati pemuafakatan ini dan menjadikan negara lebih stabil dalam jangka masa panjang," katanya semasa ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam persetujuannya itu, Raja Nong Chik sempat mengecam Anwar dengan melabelkannya sebagai pencetus perpecahan kaum Melayu sambil meragui keikhlasannnya mencadangkan untuk berunding dengan BN.

"Saya melihat cadangan Anwar itu sebagai 'ada udang di sebalik batu'," katanya.

The Malaysian Insider melaporkan pemimpin veteran Tengku Razaleigh Hamzah menyatakan tawaran Anwar itu perlu dipertimbangkan.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata, sekiranya ia mendatangkan manfaat tidak salah untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak merebut peluang tersebut.

Katanya, sebarang tawaran yang melibatkan kepentingan rakyat perlu dipertimbangkan secara serius bagi memastikan nasib rakyat terbela dan tidak diabaikan.

Anwar semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara.

Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Umno secara jelas menolak rundingan damai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).

Beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir melihat cadangan pemimpin pembangkang itu sebagai usul terdesak. - 7 September, 2013.

Raja Nong Chik sahkan bertanding jawatan MT

Posted: 07 Sep 2013 01:23 AM PDT

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
September 07, 2013
Latest Update: September 07, 2013 05:14 pm

Orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Raya di Lembah Pantai hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, September 7, 2013.Orang ramai yang menghadiri sambutan Hari Raya di Lembah Pantai hari ini. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, September 7, 2013.

Datuk Raja Nong Chik Zainal Raja Zainal Abidin (gambar) hari ini mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Umno akan datang.

Beliau menjelaskan Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan telah menyenarai pendek dua nama iaitu dirinya bersama Datuk Seri Zulhasnan Rafique bagi merebut jawatan MT Umno mewakili‎ Wilayah Persekutuan.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pewakilan yang telah memilih kami berdua bagi merebut jawatan MT Umno dalam pemilihan kali ini," katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri Lembah Pantai hari ini.

Beliau menggesa agar semua ahli Umno membuat persiapan awal bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kerana kerjasama yang erat perlu dijalinkan bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

Katanya, tumpuan bagi merebut undi golongan muda penting bagi memastikan BN memenangi pilihan raya umum akan datang terutamanya di kawasan Lembah Pantai.

"Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, sokongan golongan muda yang mengundi BN begitu baik," katanya.

Timbalan Pengerusi BN Wilayah Persekutuan itu turut melihat hasrat Tengku Razaleigh Hamzah atau dikenali sebagai Ku Li bagi merebut jawatan tertinggi dalam pemilihan Umno akan datang tidak sesuai.

Beliau berkata tumpuan seharusnya diberikan kepada meningkatkan sokongan ahli Umno kerana pencapaian Pengerusi Umno Datuk Seri Najib Razak dalam memimpin Umno sangat baik kerana dua negeri telah berjaya dirampas semula oleh pihak pembangkang iaitu Kedah dan Perak.

Mengulas mengenai cadangan Ku Li bagi mengehadkan jawatan tertinggi Umno hanya boleh dipegang selama tiga penggal, beliau menjelaskan cadangan itu boleh dibincangkan.

"Saya tidak katakan itu cadangan yang tidak baik malah perkara itu boleh dibincang di peringkat MT dan persidangan Umno nanti. Perkara ini ada baik dan buruknya," katanya.

The Malaysian Insider melaporkan semalam Ku Li masih berahsia sama ada akan bertanding dalam pemilihan Umno Oktober ini, namun beliau tidak menafikan pertemuan dengan beberapa Ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat (PR) untuk mendapatkan sokongan.

Beliau berkata beberapa perkara perlu dipertimbangkan sebelum membuat keputusan, serta mengambil pendirian untuk tunggu dan lihat dahulu.

Menyentuh mengenai cara pemilihan baru yang bakal dilaksanakan pada kali ini, Ku Li menyifatkan ia masih demokratik tetapi perlu dijalankan secara telus.

Katanya, jawatan presiden dan timbalan presiden yang tidak dipertandingkan atas alasan bagi mengelak perpecahan perlu berlandaskan perlembagaan. - 7 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved