Ahad, 8 September 2013

The Malaysian Insider :: Bahasa


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

The Malaysian Insider :: Bahasa


Krisis dalaman PKR kerana asalnya dari Umno, kata penganalisis politik

Posted: 07 Sep 2013 10:17 PM PDT

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
September 08, 2013
Latest Update: September 08, 2013 01:38 pm

Krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti pembangkang diketuai Datin Seri Wan Azizah Ismail dilihat sebagai cerminan kepada sifat Umno, kata penganalisis politik tanah air, ekoran majoriti pemimpin PKR adalah serpihan daripada parti tunjang Melayu tersebut.

Kebanyakan pemerhati politik tanah air berpendapat, krisis terbuka antara Timbalan Presiden Azmin Ali dan juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlakunya konflik antara kepentingan parti dan kepentingan individu kepimpinan, yang mana dapat dilihat dalam Umno pada suatu ketika dahulu.

Bukan lagi krisis terpencil, Azmin sebelum ini secara terbuka mengkritik kepimpinan parti yang dilabel "parti keluarga" itu dengan Wan Azizah sebagai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, dan anak mereka Nurul Izzah Anwar (gambar) sebagai Naib Presiden.

Malahan, terdapat juga ura-ura Azmin akan menentang Wan Azizah dalam pemilihan parti berkenaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, meskipun pertandingan merebut jawatan parti itu normal, namun PKR perlu membuktikan sikap keterbukaan sekiranya Azmin benar-benar bertanding menentang Wan Azizah dalam pemilihan akan datang.

"Kita tahu berlakunya krisis antara Azmin dan Khalid, dan juga Wan Azizah... namun kita tak tahu berapa serius krisis ataupun keretakan itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"PKR adalah parti serpihan Umno, dan Umno suatu ketika pernah mengalami insiden sama sehingga mengakibatkan perpecahan, namun bagi PKR kita sedar krisis telah berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Azmin dilihat lantang dalam menyuarakan kenyataan keras, terutamanya ketika pelantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Dalam laman mikro Twitter miliknya, Azmin pernah dilaporkan berkata,"rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman, muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan kerabat."

Kenyataan itu kemudiannya menerima liputan meluas media, yang menunjukkan krisis dalaman PKR semakin meruncing sehingga sampai ke tahap terbuka.

"Jika benar Azmin bertanding, PKR perlu mengalu-alukannya," kata Azizuddin, dan menambah ia adalah bukti jelas sekiranya PKR melaksanakan prinsip demokrasi seperti dilaungkan mereka.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pensyarah di UUM, berkata  keretakan yang berlaku dalam PKR bukanlah perkara mengejutkan kerana parti itu mirip kepada "abang" politik mereka Umno.

"Memang ada budaya Umno... mereka datang daripada Umno," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelasnya lagi, pertandingan adalah lumrah, namun dengan aspirasi individu berbeza dari parti ia bakal menghancurkan parti.

"Jika mereka tidak menerima jawatan tertentu, mereka akan kejar," katanya, dan menambah jika Azmin bertanding menentang Wan Azizah, Anwar akan tertekan untuk menyebelahi isteri ataupun anak didiknya.

Perkara itu bagaimanapun disanggah Prof Madya Shaharuddin Badaruddin yang menganggap pertandingan dalam parti tidak boleh dianggap sebagai perpecahan kerana ia adalah lumrah dalam politik.

"Jika pertandingan membawa perpecahan umpama Umno dulu, dengan wujudnya parti Semangat 46, itu dikira perpecahan... namun setakat pertandingan, itu lumrah," katanya.

Beliau melihat perkara seumpama itu adalah kelaziman perbezaan pendapat dan "tegur-menegur" berlaku menjelang pemilihan parti.

"Ia berlaku dalam semua parti... tidak semestinya parti mengetuai kerajaan atau sebaliknya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Ia normal, Kalau ada persaingn kepimpinan pasti ada pertelagahan ideologi, nak urus parti macam mana... Ia bukan perpecahan," katanya lagi. – 8 September, 2013.

Ini kisah pengarah Tanda Putera, Shuhaimi Baba

Posted: 07 Sep 2013 10:04 PM PDT

OLEH ELIZABETH ZACHARIAH
September 08, 2013
Latest Update: September 08, 2013 09:04 pm

Pertemuan bersama pengarah yang kini dilanda kontroversi, Datin Paduka Shuhaimi Baba diadakan di sebuah restoran masakan Itali di Bangsar.

Sesampainya beliau di sana, minuman kegemarannya Cafe Latte dipesan untuk menghilangkan dahaga.

"Saya sukakan tempat ini. Pasta Aglio Olio di sini merupakan kegemaran saya," katanya.

Pembikin filem berusi 63 tahun ini mengenakan seluar panjang berwarna hitam dan kemeja lengan panjang dan berkasut merah.

Matanya kelihatan lesu memberi isyarat pertarungan beliau sejak beberapa hari ini untuk mempromosikan hasil kerja tangan terbarunya.

Filem terbarunya, Tanda Putera dimulakan tayangan pada dua minggu lalu hangat mencetuskan kontroversi malah kerajaan negeri Pulau Pinang juga cuba menyemarakkan lagi suasana.

Mengulas mengenai suara sumbang yang mengkritik karya terbarunya, beliau berkata ramai memberi komen tidak membina.

"Mereka yang kuat mengkritik itu seharusnya menonton filem itu terlebih dahulu sebelum mengemukakan komentar," katanya.

Beliau masih mahu Tanda Putera dikenang sebagai filem yang menceritakan perjuangan Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail berjuang memimpin negara.

Menepis dakwaan beliau tidak mengalami peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969, katanya beliau sendiri merupakan penuntut Institut Teknologi Mara ketika itu.

"Saya dan rakan melihat sekumpulan perusuh menanggalkan seluar mereka dan kami sangat terkejut," katanya.

Pengarah filem itu dilahir dan dibesarkan di Seremban bersama empat adik beradik perempuan dan tiga adik beradik lelaki.

"Saya anak kelima dan arwah ibu menyangka dia tidak akan beranak lagi namun dikurniakan seorang lagi cahaya mata tujuh tahun kemudian.

"Atap rumah kami dahulu selalu diterbangkan angin semasa menikmati makan tengahari ketika cuaca hujan dan berangin.

Katanya, meskipun beliau tidak mempunyai cita-cita awal untuk menjadi pembikin filem, keluarganya merupakan penggemar filem.

"Filem pertama yang saya tonton di pawagam adalah filem Hindustan. Makcik saya sewaktu keluar temu janji bersama teman lelakinya, mengheret saya dan kakak bersama."

Shuhaimi berkata beliau sering menggunakan wang saku sekolah untuk pergi menonton filem.

"Saya datang dari keluarga yang susah. Ayah seorang kerani kerajaan manakala ibu hanyalah seorang suri rumah. Kami menonton pelbagai filem dari tempatan hinggalah ke antarabangsa," jelas beliau.

Shuhaimi memberitahu hanya dirinya sahajalah yang menjadi pembikin filem dalam ahli keluarganya.

Selain minatnya dalam filem, beliau turut teruja membaca buku, satu tabiat yang diwarisi dari ayahnya.

"Abang dan kakak akan menunggu ayah membeli dan menghabiskan bacaan sesuatu buku sebelum kami bergilir-gilir membacanya," katanya sambil tertawa kecil.

Semasa menyertai kelab filem di fakultinya, beliau diminta untuk menghasilkan filem berdasarkan buku.

Bakat dalam pembikinan filem menyebabkannya terpilih menerima biasiswa di bawah Pelan Colombo untuk mengikuti latihan secara profesional di British Broadcasting Corporation.

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Shuhaimi pernah menjadi pembersih hotel dan pelayan restoran bagi menanggung sara diri di United Kingdom kerana biasiswanya hanya mencakupi yuran pengajian.

Dua tahun selepas itu, pada 1982 beliau kembali ke Malaysia dan menyertai TV3 dan Astro yang meminta beliau mewujudkan rangkaian Melayu.

Pada masa itu, beliau sempat menerbitkan beberapa filem yang telah memenangi anugerah dalam dan luar negara. Beliau pernah menggondol anugerah pengarah terbaik, sinematografi terbaik dan banyak lagi.

Layar Lara 1997 menjadi kejayaan terbesar buat dirinya.

Buat masa ini, Shuhaimi menyibukkan dirinya dengan melancong dan akan menuju ke Phuket selepas ini setelah semua kemelut yang melanda dirinya selesai. - 8 September, 2013.

Kredit: http://www.themalaysianinsider.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Malaysia Insider Online

Copyright 2010 All Rights Reserved